HURAIKAN PERUNTUKAN PENTING HAK ASASI MANUSIA. SEJAUH MANAKAH IA DIPERTAHANKAN DALAM PRAKTIK POLITIK DI MALAYSIA.

1.0 PENGENALAN

Hak asasi manusia wujud dalam masyarakat yang mendokong nilai-nilai demokratik seperti kebebasan untuk bercakap, kebebasan untuk berekspresi dan kebebasan untuk mengutarakan pemikiran. Demi menjamin setiap individu memiliki hak ini tanpa diskriminasi, semua orang harus dilayan secara sama rata tidak mengira agama, bangsa dan keturunan. Sebagai sebuah negara demokrasi berparlimen, Malaysia memiliki perspektifnya yang tersendiri terhadap kebebasan asasi. Kewujudan pelbagai fahaman politik, agama, etnik dan keturunan menyebabkan kebebasan asasi di Malaysia lebih bersifat kebebasan yang dikawal dan terbatas. Hal ini adalah untuk menjamin ketenteraman dan keharmonian masyarakat. Hak asasi manusia di Malaysia ini dijamin melalui peruntukan dalam Bahagian Kedua, Kebebasan Asasi, Perlembagaan Persekutuan. Terdapat sembilan peruntukan hak asasi manusia iaitu Perkara 5. Kebebasan diri, Perkara 6. Keabdian dan kerja paksa dilarang, Perkara 7. Perlindungan daripada undang-undang jenayah dan perbicaraan berulang, Perkara 8. Sama rata, Perkara 9. Larangan buang negeri dan kebebasan bergerak, Perkara 10. Kebebasan bercakap berhimpun dan berpersatuan, Perkara 11. Kebebasan beragama, Perkara 12. Hak terhadap pendidikan dan Perkara 13. Hak terhadap harta. Kebebasan asasi ini bukan satu konsep kebebasan yang mutlak tetapi ia mempunyai batasan-batasan untuk mengelakkan kebebasan daripada membawa kepada ketidakstabilan. Pelbagai peruntukan lain membataskan kebebasan asasi ini selain kewujudan undang-undang sekatan. Penulisan ini bertujuan untuk menilai hak asasi manusia daripada segi teori dan praktiknya dalam politik di Malaysia. Oleh itu, esei ini akan menghuraikan persoalan tentang asal-muasal kewujudan hak asasi manusia, jaminan terhadap hak asasi manusia dan huraian mengenai peruntukan-peruntukan penting hak asasi manusia dalam amalan politik. Tiga amalan politik iaitu sekatan kebebasan asasi oleh pihak kerajaan, isu kebebasan asasi sebagai modal politik parti-parti pembangkang dan kewujudan masyarakat sivil atas dasar hak asasi manusia akan dibincangkan sambil disokong beberapa hujahan dan contoh. Bahagian seterusnya pula akan membincangkan sejarah, fungsi dan perkara-perkara lain berkaitan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM). Dalam bahagian terakhir, rumusan akan dibuat dengan meringkaskan seluruh bahagian esei ini serta memberi beberapa cadangan dan harapan kepada perkembangan hak asasi manusia di Malaysia.

2.0 HAK ASASI MANUSIA
2.1 Pengertian dan Konsep
Hak asasi manusia difahami umum sebagai prinsip-prinsip asas dalam kehidupan berpolitik sesebuah masyarakat seperti hak bebas mengeluarkan pendapat, menganuti sesuatu agama, bergerak dan lain-lain. Menurut Norraihan Zakaria (2007), Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) contohnya menghadapi masalah definisi konsep hak asasi manusia. Bagi menyelesaikan kecelaruan konsep hak asasi atau hak asasi manusia, terdapat dua sumber bagi menentukan praktik hak asasi manusia iaitu Deklarasi Hak Asasi Manusia (DUHAM) atau Universal Declaration of Human Rights (UDHR) dan Perlembagaan Persekutuan. Namun, SUHAKAM dipersoalkan pula kredibilitinya dalam memperjuangkan hak asasi manusia kerana apabila SUHAKAM menjadikan DUHAM sebagai rujukan ia dituduh mementingkan hak individu dan bersikap kebaratan. Jika SUHAKAM menggunakan Perlembagaan Persekutuan pula ia akan dituduh mengabaikan hak-hak individu.

Konsep hak asasi boleh dibahagikan kepada dua iaitu hak semula jadi (natural rights) dan hak sivil (civil rights). Hak semula jadi merupakan hak manusia yang ada secara automatik sejak mereka lahir. Menurut John Locke, hak semula jadi bagi manusia ialah hak kepada hidup, bebas,anggota badan dan harta. Hak sivil pula ialah hak yang diperolehi seseorang warganegara bagi sesebuah negara melalui kuatkuasa undang-undang. Contohnya, seseorang rakyat Malaysia yang berumur 21 tahun memiliki hak untuk mengundi apabila mencapai tahap umur tersebut.
2.2 Faktor Kemunculan Hak Asasi oleh Thomas Hobbes, John Locke dan Jean Jacques Rousseau
Menurut Norraihan Zakaria (2007), terdapat tiga faktor kemunculan hak asasi manusia berdasarkan ilmu falsafah daripada tiga orang ahli falsafah iaitu Thomas Hobbes, John Locke dan Jean Jacques Rousseau. Pertama, hasil kezaliman pemerintah. Kedua, persaingan ekonomi. Ketiga, kemunculan aliran rasionalisme.

2.2.1 Kezaliman Pemerintah
Faktor ini menekankan kemunculan hak politik dan hak sosial. Ketiga-tiga ahli falsafah Hobbes, Locke dan Rousseau hidup dalam era kezaliman monarki dari 1588 Masihi hingga 1712 Masihi. Hobbes berpendirian bahawa manusia mempunyai sifat alamiahnya iaitu buas dan tamak. Ia disifatkan Hobbes sebagai “war of all against all” yang mana semua manusia berperang untuk memenuhi keinginan masing-masing.

Zaman Pencerahan menyaksikan ketidakadilan sosial, penindasan dan sikap egoistik monarki di Eropah. Pihak monarki pada masa tersebut telah mengenakan cukai yang tinggi, merampas harta benda dan membunuh untuk kepentingan mereka. Oleh itu, keadaan ini menyebabkan kemunculan falsafah hak asasi. Hobbes menghasilkan karyanya Leviathan, Locke dengan Two Treaties of Government dan Rousseau dengan The Social Contract. Inti pati karya-karya ini ialah perlunya kontrak diwujudkan untuk menjamin pemerintah dan rakyat saling menghormati hak masing-masing. Kerajaan harus memelihara keamanan manakala rakyat harus taat kepada kerajaan selagi ia tidak berlaku zalim.
2.2.2 Persaingan Ekonomi
Faktor ini menekankan hak ekonomi dan hak sosial. Sifat tamak dan eksploitasi manusia telah melanjutkan perkembangan hak asasi manusia. Kewujudan negara-negara yang bersaing untuk memenuhi keperluan ekonomi masing-masing ini telah mengakibatkan konflik antara negara-negara sebagaimana empayar British telah berkonflik dengan koloni Amerika. Contohnya, cukai barangan seperti kertas, kaca dan cat ditentang kerana tiada wakil daripada 13 koloni termasuk Amerika untuk dijemput untuk membahaskan usul di parlimen British.
Selain itu, Britain, Perancis dan Belanda telah berperang sesama sendiri demi keuntungan. Persaingan ekonomi sememangnya telah melahirkan sikap tamak dan jurang sosial antara yang kaya dengan yang miskin. Tindak balas terhadap keadaan ekonomi yang menyebabkan penjajahan dan eksploitasi daripada sebuah negara ke atas negara lain telah menyebabkan John Locke mengemukakan idea falsafah ekonomi liberalisme yang menekankan bahawa kerajaan harus membiarkan pasaran berjalan bebas (laizzez faire). Hal ini akan menjamin hak peniaga-peniaga kecil daripada dikenakan cukai yang membebankan seterusnya melahirkan keadilan sosial kepada semua.

2.2.3 Aliran Rasionalisme
Faktor ini menekankan hak untuk hidup dan kebebasan. Rasionalisme ialah mentaliti manusia moden. Pengetahuan diperolehi dengan kaedah penaakulan manusia (human reasoning). Persoalan hak oleh ketiga-tiga ahli falsafah ini berbeza dengan persoalan hak oleh St. Thomas Aquinas yang bersandarkan hujah teologi atau konsep ketuhanan. Bagi Aquinas, kematian atas sebab pembunuhan ialah ketentuan Tuhan atau takdir. Namun, bagi Hobbes, Locke dan Rousseau sesuatu kematian atas sebab pembunuhan tidak wajar dirasionalkan sebagai ketentuan Tuhan. Maka, hak untuk hidup bagi manusia harus dipertahankan melalui peruntukan hak asasi manusia dalam undang-undang atau perlembagaan. Oleh itu, jelas bahawa hak asasi manusia juga didorong oleh pemikiran manusia yang semakin mementingkan rasional berbanding hanya menerima epistemologi ketuhanan.
2.3 Hak Asasi dan Aliran Falsafah Politik Liberalisme
Hak asasi manusia terdapat dalam aliran falsafah politik liberalisme. ‘Liber’ berasal daripada bahasa Latin yang bermaksud bebas. Kebebasan yang dimaksudkan dalam aliran falsafah ini ialah kebebasan individu. Aliran liberalisme bertujuan untuk memelihara dan mempertahankan hak asasi individu daripada dihakis dan didominasi pemerintah (Saliha Hassan, 1999). Oleh itu, negara ideal bagi aliran falsafah politik ini ialah apabila segenap lapisan rakyat dapat dipertahankan haknya daripada campur tangan kerajaan kerana setiap individu dapat memenuhi keperluan dan kehendak masing-masing. Sistem kerajaan demokrasi ialah kerajaan yang paling cocok dengan aliran liberalisme maka ia juga sesuai dengan amalan hak asasi manusia. Contohnya, negara-negara dengan sistem demokrasi dan ekonomi kapitalisme seperti Amerika Syarikat dan Britain menyuburkan konsep hak asasi manusia dan ia menjadi pegangan masyarakat.
2.4 Deklarasi Hak Asasi Manusia dan Perlembagaan Persekutuan sebagai Jaminan
Soal hak asasi manusia dijamin melalui Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat (DUHAM) atau Universal Declaration of Human Rights (UDHR). Dalam konteks Malaysia pula ia dijamin melalui Perlembagaan Persekutuan. DUHAM atau UDHR merupakan hak asasi manusia yang telah diisytiharkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersaatu (PBB) pada 10 Disember 1948. Perisytiharan ini diusahakan oleh Setiausaha Agung PBB yang menjemput John Peters Humphrey dari Kanada untuk menjadi penggubal utama DUHAM atau UDHR. Beliau telah dibantu oleh Eleanor Roosevelt dari Amerika Syarikat, Jacques Maritain dan René Cassin dari Perancis, Charles Malik dari Lubnan, P. C. Chang dari Republik China dan lain-lain wakil mengikut negara. Hak asasi manusia dalam DUHAM atau UDHR ini mengandungi ** perkara.
Jaminan hak asasi manusia di Malaysia pula terdapat dalam Bahagian Kedua, Kebebasan Asasi, Perlembagaan Persekutuan. Perlembagaan Persekutuan ini ialah hasil daripada Suruhanjaya Reid dengan mengambil kira kepentingan Raja-raja Melayu dan seluruh kaum di Tanah Melayu ketika zaman pra merdeka dari tahun 1956 hingga 1957. Ia mengandungi sembilan perkara yang menyentuh pelbagai jaminan terhadap hak dan kebebasan. Walaubagaimanapun, jaminan-jaminan tersebut masih lagi dibatasi oleh peruntukan-peruntukan lain dalam Perlembagaan Persekutuan yang bertujuan menjaga keamanan dan kestabilan.
3.0 PERUNTUKAN-PERUNTUKAN PENTING HAK ASASI MANUSIA DALAM PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN
Peruntukan hak asasi manusia dalam Perlembagaan Persekutuan terdapat dalam Bahagian Kedua: Kebebasan Asasi. Walaubagaimanapun, dalam praktik politik di Malaysia hanya lima perkara yang akan dibincangkan kerana ia sering menjadi persoalan kepada pencabulan hak asasi manusia di negara ini. Perkara-perkara tersebut ialah Perkara 5. Kebebasan diri, Perkara 8. Sama rata, Perkara 9. Larangan-buangan negeri, dan kebebasan bergerak, Perkara 10. Kebebasan bercakap, berhimpun dan menubuh persatuan.

3.1 Perkara 5. Kebebasan Diri
Terdapat beberapa hak dalam Perkara 5. Kebebasan Diri. Pertama, seseorang tidak boleh diambil nyawanya kecuali melalui proses perundangan yang sah. Contohnya, seseorang yang disabitkan bersalah membunuh boleh dihukum gantung sampai mati melalui peruntukan Seksyen 302 dalam Kanun Keseksaan (Akta 574). Kedua, seseorang juga tidak boleh dilucutkan kebebasan dirinya kecuali menurut undang-undang seperti tahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (AKDN) dilakukan sah melalui undang-undang sekatan yang bertujuan untuk menjamin keselamatan dan keamanan negara. Hak terhadap nyawa dan kebebasan diri ini dijamin melalui Perkara 5, Fasal (1). Ketiga, seseorang juga berhak untuk dibicarakan menurut peruntukan Perkara 5, Fasal (2). Dalam perkara ini, Mahkamah Tinggi atau hakim Mahkamah Tinggi wajib mendengar pengaduan mengenai penahanan yang menyalahi undang-undang. Keempat, dalam Perkara 5, Fasal (3) ini pula ada menyebut tentang hak terhadap khidmat guaman kerana seseorang yang ditahan berhak untuk mengetahui sebab penahanan dan berhak diwakili oleh pengamal undang-undang.
3.2 Sama Rata
Kesamarataan penting kerana ia mengelakkan diskriminasi dan ketidakadilan dalam menegakkan hak asasi manusia. Peruntukan Perkara 8, Fasal (1) ini menjamin kesamarataan semua orang di sisi undang-undang dan hak terhadap pembelaan melalui perundangan. Oleh itu, tiada diskriminasi harus berlaku oleh sebab perbezaan agama, kaum, keturunan, tempat lahir atau jantina sebagaimana diperuntukkan dalam Perkara 8, Fasal (2). Walaubagaimanapun, peruntukan ini tertakluk kepada beberapa perkara dan fasal dalam Perlembagaan Persekutuan. Berdasarkan Perkara 8, Fasal (5) terdapat enam peruntukan yang menyebut tentang hal-hal yang tidak terbatal atau terlarang akibat Perkara 8. Sama rata ini. Selain itu, Perkara 8. Sama rata ini juga harus dibaca bersama Perkara 153. Perezapan kuota mengenai perkhidmatan, permit, dsb., untuk orang Melayu. Hal ini kerana kesamarataan bagi semua kaum untuk tujuan pendidikan dan perniagaan dibezakan atas sebab keistimewaan kepada orang Melayu dan bumiputera yang dipersetujui melalui konsep kontrak sosial.
3.3 Perkara 9. Larangan Buangan Negeri dan Kebebasan Bergerak
Menurut peruntukan Perkara 9, Fasal (1) ini, setiap warganegara memiliki hak untuk tidak dibuang negeri atau ditahan daripada masuk ke mana-mana bahagian Persekutuan kecuali atas sebab keselamatan Persekutuan, ketenteraman awam, kesihatan awam atau hukuman bagi pesalah yang dibuat secara sah di sisi undang-undang. Selain itu, setiap warganegara juga jelas memiliki hak untuk bergerak bebas dalam Persekutuan dan bermastautin dalam mana-mana bahagian yang dikehendaki mereka. Sebagai pengenalan diri, setiap orang wajib membawa kad pengenalan atau Mykad sebagai bukti kewarganegaraan Malaysia apabila diminta oleh pihak berkuasa.
3.4 Perkara 10. Kebebasan Bercakap, Berhimpun dan Berpersatuan
Kebebasan asasi seterusnya ialah berkenaan dengan kebebasan setiap warganegara untuk bercakap atas tujuan mengembangkan fikiran, berhimpun secara aman dengan syarat tidak bersenjata dan menubuhkan persatuan. Kebebasan untuk melakukan perkara-perkara ini dijamin melalui Perkara 10, Fasal (1). Kebebasan ini juga tertakluk kepada fasal-fasal seterusnya seperti perkara-perkara yang menjejaskan ketenteraman awam, perkara-perkara fitnah dan sensitiviti kaum. Persoalan sejauh mana kebebasan ini dijamin dan dipertahankan akan dapat dilihat melalui penilaiannya dalam amalan politik di Malaysia.
4.0 PRAKTIK POLITIK MALAYSIA DAN HAK ASASI MANUSIA
Praktik politik di Malaysia dan hak asasi manusia berdasarkan Perlembagaan Persekutuan mempunyai kaitan antara satu sama lain kerana amalan politik di Malaysia memerlukan keabsahan oleh peruntukan hak asasi manusia dan dalam masa yang sama peruntukan hak asasi manusia ini memberikan keabsahan terhadap amalan politik agar ia tidak menyalahi undang-undang. Dalam amalan demokrasi terdapat pelbagai aktor politik contohnya ahli politik, parti politik, badan bukan kerajaan, kumpulan berkepentingan, kumpulan pendesak, media massa dan orang awam. Aktor-aktor ini mengabsahkan kewujudannya dan mendapat autoriti untuk bertindak melalui peruntukan kebebasan asasi dalam Perlembagaan Persekutuan. Hal ini amat mustahak demi menjamin kestabilan dan keharmonian masyarakat majmuk di Malaysia.
Terdapat tiga keadaan praktik politik yang dikemukakan sebagai paling kerap dijadikan budaya politik tidak kira daripada parti pemerintah, pembangkang mahupun masyarakat sivil. Pertama, hak asasi sering dipertikaikan dan disekat dengan peruntukan yang terdapat dalam Perlembagaan Persekutuan atau undang-undang sekatan lain demi memelihara dan mengekalkan kuasa pemerintahan. Kedua, isu sekatan hak asasi manusia dijadikan oleh pihak pembangkang sebagai modal untuk meraih simpati dan sokongan politik. Ketiga, wujud masyarakat sivil dalam bentuk kumpulan berkepentingan dan kumpulan pendesak yang mendasarkan kewujudan mereka atas nama hak asasi manusia. Ketiga-tiga praktik politik ini memperlihatkan sejauh mana hak asasi manusia berdasarkan Perlembagaan Persekutuan telah dipertahankan di Malaysia.
4.1 Sekatan Hak Asasi sebagai Alat Pengekalan Kuasa dan Dominasi Kerajaan
Bagi ahli falsafah politik Niccolo Machiavelli, keutamaan bagi pemerintah bukan untuk berkelakuan baik tetapi untuk mengekalkan kedudukannya sebagai penguasa. Prinsip ini dapat dilihat dalam amalan politik di Malaysia. Kerajaan sering menyekat kebebasan asasi mana-mana sahaja pihak yang dilihat memberi ancaman kepada kepentingan politik mereka. Dua contoh peristiwa yang dikemukakan di dalam bahagian ini ialah Mogok Utusan 1961 dan Operasi Lalang 1987.

4.1.1 Peristiwa Mogok Utusan 1961
Sekatan kebebasan asasi dalam peristiwa ini ialah kebebasan akhbar. Kebebasan akhbar dijamin oleh Perkara 10. Kebebasan bercakap, berhimpun dan berpersatuan. Isu ini berpunca daripada Dasar Empat Perkara oleh Lembaga Pengarah pada tahun 1959. Pertama, Utusan Melayu akan memberi sokongan kepada parti pemerintah kerana ia akan menguntungkan perniagaan. Kedua, Utusan Melayu akan menyiarkan berita yang benar tetapi membataskan kepala berita kepada parti pembangkang. Ketiga, Utusan Melayu akan memberi keutamaan jumlah berita kepada menteri-menteri Perikatan. Keempat, Utusan Melayu akan mengkritik secara membina apabila keputusan buruk telah dibuat oleh parti pemerintah. Isu ini bertambah serius apabila Tan Sri Ibrahim Fikri Bin Mohamad iaitu mantan Ketua Penerangan UMNO dan ahli Majlis Tertinggi dilantik sebagai pengarah urusan dan ketua pengarang bagi Syarikat Utusan.
Peristiwa mogok berlangsung selama 93 hari, bermula pada 21 Julai 1961 sehingga 21 Oktober 1961 di bangunan Utusan Melayu, Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur. Ia bertujuan menentang Dasar Empat Perkara dan membidas tindakan pemindahan pengarang Utusan Melayu, Said Zahari. Sepanjang peristiwa ini, terdapat dua peruntukan Kebebasan Asasi yang telah disekat. Pertama, Perkara 9. Larangan buangan negeri dan kebebasan bergerak kerana Pengarang Utusan, Said Zahari telah dipindahkan ke Singapura kerana ia didakwa sebagai batu penghalang pelaksanaan Dasar Empat jika berkhidmat di pejabat Utusan di Kuala Lumpur. Selepas itu, Tunku Abdul Rahman telah menghalang Said Zahari daripada memasuki Malaysia akibat keadaan politik yang terus mendesak kepentingan kerajaan selain kritikan-kritikan Utusan Melayu terhadap kepimpinan Tunku. Hal ini jelas bertentangan dengan kebebasan warganegara daripada dibuang negeri tetapi ia dirasionalkan atas dasar kestabilan dan ketenteraman awam.
Kedua, Perkara 10. Kebebasan bercakap, berhimpun dan berpersatuan. Wartawan dan editor Utusan tidak lagi mempunyai kebebasan untuk menentukan rencana dan berita jika ia menggugat kepentingan kerajaan dan menteri-menteri dalam Perikatan. Hal ini jelas bertentangan dengan Perkara 10. Kebebasan bercakap, berhimpun dan berpersatuan. Kebebasan akhbar nyata telah disekat oleh parti pemerintah dan akhbar itu sendiri telah dijadikan kerajaan sebagai alat hegemoni parti pemerintah sehingga ke hari ini. Realitinya, Syarikat Utusan telah berjaya menjaga kepentingan perniagaan mereka dengan memberi keutamaan kepada kerajaan manakala kerajaan telah mendapat manfaat daripada kerjasama tersebut kerana akhbar Utusan Melayu dijadikan sebagai saluran rasmi lidah pemerintah. Walaubagaimanapun, massa telah dinafikan hak untuk mendapat maklumat dan berita yang telus, tidak bias dan lebih berkredibiliti.
4.1.2 Operasi Lalang 1987
Pada tahun 1987, krisis ekonomi dan konflik perebutan jawatan dalam UMNO antara Tun Dr. Mahathir dan Tengku Razaleigh Hamzah telah menghangatkan suasana politik. Selain itu, ketegangan etnik juga telah ditimbulkan pemimpin-pemimpin di peringkat nasional. Antara isunya ialah penggunaan bahasa Mandarin dalam majlis rasmi, papan tanda dan iklan serta peraturan wajib kepada pemakaian songkok dan tudung pada majlis konvokesyen di Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Oleh itu, Akta Keselamatan Dalam Negeri (AKDN) telah digunakan untuk menahan 106 orang daripada pelbagai cabang politik dan sosial sebagai langkah drastik untuk mententeramkan suasana politik Malaysia waktu itu.

Dalam penahanan yang dijalankan pada 27 Oktober 1987, ahli-ahli politik telah ditahan seperti Lim Kit Siang (DAP), Karpal Singh (DAP), Ibrahim Ali (UMNO), Halim Arshat (PAS) dan Chandra Muzaffar (ALIRAN). Penggunaan akta ini jelas menyekat kebebasan asasi kerana ia telah menidakkan hak seseorang untuk dibicarakan oleh mahkamah. Walaubagaimanapun, tindakan ini sah di sisi Perlembagaan Persekutuan kerana Perkara 149. Undang-undang menentang perbuatan subversif, tindakan yang memudaratkan ketenteraman awam, dsb. memperuntukkan fasal yang membenarkan undang-undang sekatan iaitu Akta Keselamatan Dalam Negeri (AKDN) untuk diguna pakai. Penahanan ini jelas bermotifkan kepentingan politik parti pemerintah kerana penahanan dua tahun hanya melibatkan individu daripada parti pembangkang.
Selain itu, beberapa buah akhbar telah diharamkan penerbitannya iaitu The Star, Sin Chew Jit Poh, The Sunday Star dan Watan. Tindakan pengharaman ini bertentangan dengan Perkara 10. Kebebasan bercakap, berhimpun dan berpersatuan tetapi dirasionalkan dengan alasan mengelakkan ketegangan kaum antara Melayu dan Cina bertambah runcing. Pada 30 Oktober 1988, ahli keluarga tahanan telah berhimpun di Taman Tasik sebagai tanda sokongan kepada ahli keluarga mereka dalam tahanan yang melancarkan mogok lapar sejak 27 Oktober 1988 lagi. Mereka telah berkumpul secara aman dengan tanpa senjata sebagaimana yang dibenarkan oleh Perkara 10. Kebebasan bercakap, berhimpun dan berpersatuan. Belon-belon tertulis nama tahanan telah dilepaskan sebagai simbolik kebebasan. Setelah itu, mereka telah disuraikan dengan tatacara yang melebihi kuasa sepatutnya oleh anggota Unit Simpanan Persekutuan atau Federal Reserce Unit (FRU).
Sekatan-sekatan terhadap kebebasan asasi sepanjang peristiwa Operasi Lalang dan mogok Operasi Lalang ini menunjukkan sikap pemerintah yang cenderung menggunakan undang-undang sekatan dan alasan ketenteraman awam untuk menahan dan memberhentikan pelbagai laporan akhbar yang menggugat kepentingan kerajaan. Tambahannya, penahanan ini sengaja diada-adakan oleh kerajaan untuk mengalih perhatian rakyat daripada krisis ekonomi yang melanda Malaysia, konflik perebutan kuasa dalam pemilihan UMNO dan keputusan mahkamah yang mengisytiharkan kewujudan UMNO sebagai haram kerana tidak didaftarkan.
4.2 Isu Kebebasan Asasi sebagai Modal Politik
Di Malaysia, terdapat pelbagai undang-undang sekatan yang bertujuan untuk mengelakkan kebebasan asasi daripada bersifat kebebasan mutlak. Ada antara undang-undang ini menyekat hak asasi manusia iaitu Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960, Akta Rahsia Rasmi 1972, Akta Hasutan 1948 dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984. Penggubalan dan penguatkuasaan undang-undang ini sah di sisi Perlembagaan Persekutuan tetapi ia boleh dipersoalkan daripada konteks moral. Autoriti perundangan rasional menetapkan agar undang-undang ini memenuhi dua syarat iaitu sah daripada segi perundangan dan segi rasional penerimaan masyarakat. Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 contohnya tidak diterima sebagai sah di sisi moral kerana ia boleh menahan seseorang tanpa dibicarakan di mahkamah terlebih dahulu selain isu layanan buruk terhadap tahanan-tahanan akta ini. Isu Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 ini digunakan oleh pakatan pembangkang untuk menggambarkan kelemahan dan kezaliman pemerintah terhadap pembelaan hak asasi manusia di Malaysia. Dua contoh bagi praktik politik ini ialah Reformasi 1998-1999 dan Demonstrasi Gerakan Mansuhkan ISA 2009.

4.2.1 Penggunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 dan Akauntabiliti Polis dalam Reformasi 1998-1999 sebagai Modal Politik Pembangkang Pilihan Raya Malaysia 1999
Dalam Gerakan Reformasi sekitar tahun 1998 dan 1999, seramai 60 orang penyokong Gerakan Reformasi telah ditahan sejak 20 September 1998. Mereka termasuklah ketua pemuda UMNO, Ahmad Zahid Hamidi, ketua pemuda UMNO Negeri Sembilan, Ruslan Kassim, presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Ahmad Azam Abdul Rahman dan Presiden NGO Jemaah Islamiah Malaysia (JIM), Shaari Sungip. Pada 23 September 1998 pula, isteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail menerima arahan sekatan Akta Keselamatan Dalam Negeri yang melarang perjumpaan di rumah beliau, ucapan dalam perhimpunan awam dan menjalankan kegiatan politik. Isu ini bertambah hangat apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim diberi layanan buruk semasa dalam tahanan polis. Mata kiri beliau lebam dan tangan kanannya tercedera apabila pertama kali muncul di khalayak ramai setelah ditahan selama sembilan hari. Sekatan terhadap kebebasan untuk berhimpun juga dapat disaksikan semasa perhimpunan Reformasi 1998-1999. Dalam 16 kali perhimpunan, seramai 262 telah ditahan dengan pihak polis menggunakan kekerasan berlebihan dan layanan buruk.
Isu penahanan dan sekatan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri terhadap kegiatan politik dan layanan buruk Polis Diraja Malaysia menunjukkan sekatan terhadap kebebasan asasi. Perkara ini telah dijadikan modal politik oleh parti-parti politik pembangkang seperti Parti Keadilan Nasional, Parti Tindakan Demokratik (DAP), Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan Parti Islam Semalaysia (PAS) dalam pakatan yang dinamakan Barisan Alternatif. Isu kebebasan asasi ini dijadikan isu hangat dalam setiap ceramah umum, akhbar parti pembangkang dan risalah-risalah menjelang pilihan raya 1999. Kerajaan telah digambarkan sebagai penindas hak rakyat dan zalim. Maka, Barisan Alternatif telah menyeru rakyat agar mengubah kerajaan melalui pilihan raya 1999.
Hasilnya, dalam pilihan raya 1999, lanskap politik negara mula menunjukkan perubahan dengan sokongan yang semakin meningkat terhadap pembangkang. Barisan Alternatif berjaya menguasai dua buah negeri iaitu Kelantan dan merampas negeri Terengganu daripada Barisan Nasional. Maka, terbukti bahawa isu kebebasan asasi telah dijadikan modal politik oleh pihak pembangkang dalam meraih simpati rakyat seterusnya meningkatkan sokongan kepada mereka dalam jumlah pemerolehan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).
4.2.2 Penyertaan Pakatan Rakyat dalam Demonstrasi Gerakan Mansuhkan ISA
Penyalahgunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri atau Internal Security Act (ISA) oleh kerajaan merupakan sekatan kebebasan asasi ke atas ahli-ahli politik. Penyalahgunaan undang-undang ini merupakan isu yang cuba ditimbulkan oleh parti pembangkang dan ditumpang daripada Gerakan Mansuhkan ISA untuk menggambarkan kelemahan kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Bin Tun Abdul Razak. Semasa anjuran demonstrasi ini, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Bin Tun Abdul Razak telah mengumumkan bahawa ISA akan dikaji semula dan ia sedang dalam proses kajian untuk dipinda. Walaubagaimanapun, parti pembangkang terdiri daripada Parti Islam Semalaysia (PAS), Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Democratic Action Party (DAP) telah mengambil peluang ini untuk menyertai demonstrasi anti ISA pada 1 Ogos 2009. Tokoh-tokoh politik yang turut terlibat ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang, Salahuddin Ayub dan Dr. Hatta Ramli.
Pasca pilihan raya 2008 memperlihatkan kerajaan Barisan Nasional jatuh popularitinya kerana kehilangan majoriti dua pertiga walaupun tetap membentuk kerajaan di peringkat persekutuan. Setelah pelantikan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri mengganyikan Tun Abdullah Ahmad Badawi, pelbagai tindakan politik telah diambil oleh beliau untuk mengembalikan sokongan rakyat. Antaranya ialah pembebasan 13 orang tahanan ISA termasuk tiga pemimpin Hindu Rights Action Force (HINDRAF) iaitu P. Uthayakumar, M Manoharan dan T. Vasanthakumar. Bagi pihak pembangkang, mereka mendakwa tindakan kerajaan ini tidak menggambarkan kesungguhan dalam mendaulatkan amalan kebebasan asasi kerana tindakan sebenar yang perlu diambil ialah memansuhkan ISA serta-merta dan menutup Kem Tahanan Kamunting. Oleh itu, penyertaan Pakatan Rakyat dalam menggerakkan rakyat untuk menyertai demonstrasi hanya sebagai satu cara untuk menggambarkan kemarahan rakyat dan kelemahan kerajaan.
Jelasnya, demonstrasi ini hanya merupakan satu alat pembangkang untuk menurunkan semula populariti kerajaan Barisan Nasional di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak kerana rakyat mula meningkatkan kepercayaan terhadap kepimpinan beliau. Kesungguhan ahli-ahli politik pembangkang hanya terbatas sekitar demonstrasi ini sahaja, tidak wujud tekanan-tekanan susulan untuk memansuhkan ISA selepasnya. Maka, jelas bahawa isu sekatan kebebasan asasi ini walaupun memiliki asas yang kukuh untuk ditentang tetapi ia juga telah dijadikan alat politik pakatan pembangkang untuk menjatuhkan populariti kerajaan.
4.3 Masyarakat Sivil dan Hak Asasi Manusia
Menurut Hall (1995), masyarakat sivil adalah agen perubahan sosial yang penting, sama ada sebelum atau selepas proses pendemokrasian, dalam mempengaruhi perkembangan dan perubahan sesebuah sistem politik. Kewujudan pelbagai kumpulan berkepentingan dan kumpulan pendesak ini terdapat dalam konsep pluralism yang menekankan kewujudan banyak kumpulan dengan kepentingan tersendiri seterusnya memberi kesan dalam pembentukan dasar-dasar kerajaan. Antara kumpulan berkepentingan yang wujud di Malaysia ialah Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) dan Amnesty International manakala kumpulan pendesak yang pernah wujud ialah Gerakan Mansuhkan ISA (GMI).

4.3.1 Kumpulan Berkepentingan: Suara Rakyat Malaysia (SUARAM)
Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) merupakan kumpulan bersifat kumpulan pendesak kerana ia bertujuan desakan kepada pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (AKDN). Setelah itu, ia telah mengalami perubahan objektif sehingga bergerak atas dasar kepentingan hak asasi manusia di Malaysia. Sejarah penubuhan SUARAM berpunca daripada Operasi Lalang 1987 yang menyaksikan ramai tahanan politik ditahan di bawah AKDN. Penubuhannya telah diusahakan oleh Kumpulan Keluarga Penyokong Tahanan ISA, bekas tahanan ISA dan aktivis-aktivis pada tahun 1989. Perubahan objektif SUARAM ini telah menjadikan SUARAM sebagai kumpulan berkepentingan yang bergerak atas dasar kebebasan asasi, demokrasi dan keadilan di Malaysia.
Sebagai sebuah kumpulan berkepentingan, SUARAM mempunyai beberapa fungsi dan aktiviti tersendiri. Pertama, SUARAM telah melancarkan kempen untuk menubuhkan Independent Police Complaints and Misconduct Commission (IPCMC) yang bertujuan untuk meningkatkan akauntabiliti polis dan membanteras penyelewengan kuasa dalam kalangan anggota polis. Kedua, memberi kesedaran dan pendidikan kepada orang awam mengenai hak asasi manusia serta melatih aktivis-aktivis hak asasi dalam kumpulan-kumpulan kecil hak asasi manusia. Ketiga, SUARAM juga menyediakan khidmat nasihat perundangan mengenai hak asasi, saluran media dan khidmat rujukan hak asasi manusia. Keempat, SUARAM mengadakan pelbagai hubungan dengan komuniti dan agensi lain untuk memperjuangkan taraf hak asasi manusia seperti Asian Forum for Human Rights and Development (FORUM-ASIA) dan Amnesty International.
4.3.2 Kumpulan Pendesak: Gerakan Mansuhkan ISA (GMI)
Objektif utama Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) ialah mendesak kerajaan memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (AKDN) atau Internal Security Act (ISA) dan menutup Kem Tahanan Kamunting. Hal ini kerana ISA digunakan sebagai alat politik parti pemerintah denagan menahan ahli-ahli politik parti pembangkang. Gerakan ini turut menggabungkan kumpulan-kumpulan non-governmental organization (NGO) lain seperti Aliran Kesedaran Negara (ALIRAN), Amnesty International, Bar Council Legal Aid Centre, FOMCA dan MTUC. Penubuhannya dimulakan pada 30 April 2001 atas inisiatif Suara Rakyat Malaysia (SUARAM).
Desakan GMI ialah demonstrasi pada 1 Ogos 2009 di Kuala Lumpur. Walaupun kerajaan tidak membenarkan demonstrasi diadakan dan pihak polis tidak mengeluarkan permit, GMI tetap meneruskan demonstrasi jalanan dengan disertai 20,000 peserta daripada pelbagai golongan masyarakat termasuk parti politik, NGO dan orang perseorangan. GMI diketuai pengerusinya, Syed Ibrahim Syed Noh dan ia turut disertai ahli politik parti pembangkang iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang, Salahuddin Ayub dan Dr. Hatta Ramli. Demonstrasi ini mendapat respon positif daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak yan g mengulangi kenyataan beliau untuk mengkaji dan meminda semula akta kontroversi tersebut.
5.0 AKTA SURUHANJAYA HAK ASASI MANUSIA (SUHAKAM)
Kesan daripada penghakisan hak asasi manusia dalam amalan politik era Reformasi 1998-1999, rang undang-undang bagi Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia dibentang pada April 1999 dan diluluskan pada 20 Julai 1999. Selepas itu, terdapat dua kali pindaan terhadap akta ini pada tahun 2009 sebagai penambahbaikan. Akta ini bertujuan untuk menubuhkan sebuah suruhanjaya hak asasi yang dapat melindungi dan meningkatkan amalan hak asasi di Malaysia. Bagi sesi 2010-2013, SUHAKAM dipengerusikan oleh Tan Sri Hasmy Agam, enam orang pesuruhjaya mewakili enam suruhanjaya kecil dan sembilan sekretariat.
Sebagai sebuah suruhanjaya bebas, SUHAKAM mempunyai beberapa autoriti berdasarkan Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia. Pertama, memupuk kesedaran dan menyediakan pendidikan yang berhubungan dengan hak asasi manusia. Kedua, menasihati dan membantu Kerajaan dalam merumuskan perundangan, arahan, tatacara pentadbiran dan mengesyorkan langkah-langkah yang perlu diambil sesuai dengan hak asasi manusia. Ketiga, mengesyorkan kepada Kerajaan berkenaan dengan penandatanganan atau penyertaan dalam triti dan surat cara antarabangsa yang lain dalam bidang hak asasi manusia. Keempat, menentukan keabsahan sesuatu pelanggaran hak asasi mengikut peruntukan Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia. Kelima, melawat tempat tahanan mengikut tatacara yang ditetapkan undang-undang tempat tahanan tersebut. Keenam, mengeluarkan pernyataan awam mengenai hak asasi manusia.
Oleh itu, kewujudan akta ini dan SUHAKAM diharapkan dapat mewujudkan amalan hak asasi manusia yang lebih matang dalam memelihara hak dan memulihara pembelaan hak terhadap individu seterusnya melahirkan masyarakat yang bahagia.
6.0 RUMUSAN
Esei ini telah membincangkan hak asasi manusia dengan memberi pengkhususan kepada peruntukan-peruntukan penting hak asasi manusia dalam Perlembagaan Persekutuan dan menilai sejauh mana hak asasi manusia telah dipertahankan dalam praktik politik di Malaysia. Dalam bahagian pengenalan, penerangan diberikan mengenai isi-isi penting esei. Bahagian kedua membincangkan erti dan konsep hak asasi manusia mengikut tafsiran Deklarasi Hak Asasi Manusia (DUHAM) dan Bahagian Kedua: Kebebasan Asasi: Perlembagaan Persekutuan, kesejagatan persoalan hak asasi manusia, faktor-faktor kemunculan hak asasi menurut Hobbes, Locke dan Rousseau iaitu kezaliman pemerintah, persaingan ekonomi dan aliran rasionalisme serta penghuraian jaminan hak asasi manusia melalui Deklarasi Hak Asasi Manusia (DUHAM) dan Perlembagaan Persekutuan. Bahagian ketiga menghuraikan empat peruntukan penting hak asasi manusia dalam Perlemabagaan Persekutuan terdiri daripada Perkara Perkara 5. Kebebasan diri, Perkara 8. Sama rata, Perkara 9. Larangan-buangan negeri, dan kebebasan bergerak, Perkara 10. Kebebasan bercakap, berhimpun dan menubuh persatuan. Bahagian keempat pula telah membincangkan praktik-praktik politik di Malaysia yang berkaitan dengan hak asasi manusia. Pertama, sekatan kebebasan asasi oleh parti pemerintah dengan memberi contoh Peristiwa Mogok Utusan 1961 dan Operasi Lalang 1987. Kedua, isu sekatan kebebasan asasi sebagai modal politik parti pembangkang dengan memberi contoh Gerakan Reformasi 1998-1999 dan Demonstrasi Gerakan Mansuhkan ISA (GMI). Ketiga, gerakan masyarakat sivil hak asasi manusia dengan memberi contoh kumpulan berkepentingan Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) dan kumpulan pendesak Gerakan Mansuhkan ISA (GMI). Kesemua contoh-contoh ini telah disokong dengan fakta-fakta peristiwa tersebut seterusnya merasionalkan contoh-contoh praktik politik yang telah dikemukakan. Bahagian kelima pula menerangkan sejarah, objektif dan bidang kuasa Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) yang ditubuhkan untuk mengembalikan dan menyuburkan amalan hak asasi manusia di Malaysia. Oleh itu, parti pemerintah seharusnya tidak menggunakan undang-undang sekatan sebagai alat pengekalan kepada ahli-ahli politik pembangkang kerana ia tidak menggambarkan prinsip-prinsip kebebasan dalam sebuah negara demokrasi. Parti-parti pembangkang pula tidak seharusnya menjadikan kebebasan asasi sebagai alasan untuk melobi rakyat sehingga menyentuh perkara-perkara sensitif berkaitan keistimewaan bumiputera dan sebagainya. Kewujudan masyarakat sivil di Malaysia diharapkan dapat menyuburkan amalan hak asasi manusia di Malaysia dengan bersikap tidak menyebelahi mana-mana pihak dalam memperjuangkan kebebasan asasi. Akhirnya, kita mestilah mewujudkan kebebasan asasi yang terkawal agar keharmonian dan ketenteraman masyarakat menghasilkan negara yang bahagia.


RUJUKAN
Gayathry, V 2003. Malaysia Hak Asasi Dipertikaikan: Undang-undang Mengongkong Kebebasan di Sebuah Negara Demokrasi Berparlimen. London: Amnesty International.
Norraihan Zakaria, 2007. Konsep Hak Asasi Manusia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
2000. Lawan Tetap Lawan: Kisah Perjuangan Rakyat Menuntut Keadilan. Petaling Jaya. Strategic Info Research Development.
2010. Perlembagaan Persekutuan. Petaling Jaya: International Law Book Services.

Ulasan

Catatan Popular