Gender sebagai satu angkubah penyelidikan telah mula digunakan dalam bidang hubungan antarabangsa.

1.1 PENGENALAN

Persoalan gender dan teori feminisme merupakan satu pendekatan baharu dalam kajian disiplin Hubungan Antarabangsa. Terdapat tiga teori atau pendekatan yang dominan dalam kajian Hubungan Antarabangsa iaitu realisme, idealisme dan globalisme. Antara ketiga-tiga teori ini, pendekatan realisme merupakan pendekatan yang paling dominan dalam menilai aspek keselamatan, peperangan dan kedaulatan nasional. Pendekatan ini merupakan pendekatan yang dianggap sebagai maskulin kerana ia melibatkan stereotaip terhadap lelaki iaitu kegagahan, kekerasan dan keberanian. Namun, ia bukan suatu yang benar secara realitinya. Penglibatan wanita dalam beberapa cabang kajian Hubungan Antarabangsa membuktikan bahawa wanita juga harus diambil kira dalam penganalisaan subjek Hubungan Antarabangsa. Sekadar memberi contoh umum, beberapa nama pemimpin wanita yang gah dalam arena antarabangsa seperti Margaret Tatcher, Indira Ghandi dan Aung San Suu Kyi. Terdapat juga wanita yang memainkan peranan penting dalam suasana peperangan seperti Florence Nightingle. Selain itu, wanita juga kerap dijadikan mangsa dan golongan terpinggir dalam peperangan dan tenaga buruh. Dalam siri peperangan dan konflik, jumlah korban wanita lebih tinggi daripada lelaki dan dijadikan mangsa jenayah rogol. Dalam aspek tenaga buruh pula, wanita merupakan penerima upah yang paling rendah selain hanya berperanan dalam bidang tidak formal. Tambahannya, penyertaan wanita dalam proses pembuatan keputusan dan organisasi antarabangsa masih lagi rendah untuk memberi impak terhadap perjuangan hak wanita. Sistem ekonomi kapitalisme yang secara falsafahnya membentuk sikap tamak telah memangsakan wanita dalam aktiviti pemerdangan wanita untuk pelbagai tujuan. Maka, seharusnya persoalan feminisme diguna pakai dalam disiplin Hubungan Antarabangsa. Dalam bahagian pertama esei ini akan menerangkan pengertian gender dan feminisme untuk memberi penjelasan makna kepada kedua-duanya. Dalam bahagian seterusnya pula, ia akan menghuraikan teori feminisme dalam aspek Hubungan Antarabangsa selain beberapa hujah empirik yang dikemukakan sebagai pembuktian bahawa persoalan wanita dalam disiplin ini bukan satu isu yang bersifat spekulatif semata-mata. Bahagian seterusnya, esei ini akan memberi beberapa contoh pecahan pendekatan dalam teori feminisme tetapi ia hanya akan difokuskan terhadap dua pendekatan sahaja iaitu feminis liberal dan feminis Marxist. Seterusnya, esei ini akan mengemukakan contoh peranan wanita dalam aspek Hubungan Antarabangsa dan Ekonomi Politik Antarabangsa. Terakhir, rumusan bagi keseluruhan esei beserta kesimpulan dan cadangan.
2.1 TAKRIFAN GENDER DAN FEMINISME
Dalam bahagian ini, definisi gender dan feminisme akan dijelaskan dan dihuraikan dengan memberi perhatian kepada pendapat beberapa orang sarjana seperti J. Ann Tickner dan Joshua S. Goldstein. Pendefinisan gender amat penting bagi membezakan ia dengan pemahaman antara jantina dan gender. Pendefinisian feminisme pula mustahak supaya ia secocok dengan perbincangan esei ini kerana istilah ini boleh dikatakan memberi pemahaman berbeza mengikut perbezaan etnik, budaya dan tahap pendidikan.

2.1.1 Takrif Gender
Takrifan gender dibuat untuk membezakan ia dengan jantina. Jantina ialah fitrah biologi seseorang manusia dirujuk sebagai lelaki dan wanita. Istilah jantina merujuk kepada alat atau organ pembiakan lelaki mahupun wanita. Gender memberi takrifan lain kepada lelaki dan wanita, ia merujuk kepada sifat maskulin dan feminin yang dibentuk oleh pengalaman sosial seseorang. Maka, pandangan setiap orang terhadap lelaki dan wanita adalah berlainan antara satu sama lain. Umumnya, gender merupakan konstruk sosial bukan biologi.
Menurut J. Ann Tickner (1997), gender ialah ciri-ciri wanita yang dikonstruk secara sosial dan budaya, ia berbeza mengikut masa dan tempat. Menurut Joshua S. Goldstein (2004) pula, pendokong ‘difference feminism’ berpendapat gender bukan sahaja sekadar konstruk sosial dan budaya tetapi fitrah biologi. Namun, majoriti berpendapat bahawa kontruk sosial dan budaya lebih besar pengaruhnya daripada biologi. Hal ini menunjukkan bahawa kejadian semulajadi seperti perbezaan hormon dalam tubuh lelaki dan wanita masih diterima sebagai faktor yang membezakan sifat lelaki dengan wanita seterusnya memiliki fungsi sosial berlainan. Contohnya, kewujudan hormon testosteron dalam tubuh lelaki memberi mereka sifat berani dan agresif. Pengalaman sosial sebagai pembentuk sifat feminin dan maskulin dikuatkan lagi dengan pendapat Peterson dan Runyan (1993), gender merujuk kepada tingkah laku dan tanggapan yang dibentuk melalui pengalaman sosial. Ia membezakan antara maskulin dan feminine. Maka, jelas bahawa pengalaman sosial dan budaya memberi pengaruh besar terhadap peranan wanita dalam pelbagai lapangan kehidupan.

2.2.2 Takrif Feminisme
Persoalan gender sering dikaitkan dengan feminisme kerana wanita dilihat sebagai golongan terpinggir dan perlu dibela. Takrifan ini penting agar ia dapat memberi kejelasan makna terhadap feminisme. Dalam bahagian ini, takrif feminisme akan diberi mengikut pemahaman amalan politik, masyarakat dan bidang akademik.

Pertama, feminisme dalam amalan politik sering dirujuk sebagai gerakan kumpulan-kumpulan pendesak wanita di Amerika Syarikat dan Eropah. Mereka memperjuangkan kepentingan kaum wanita melalui tindakan politik sejak akhir abad ke-19 hingga kini. Kumpulan-kumpulan ini wujud dalam pendekatan pluralisme yang mengiktiraf pelbagai kumpulan berkepentingan dan kumpulan pendesak ke arah pembentukan dasar-dasar dan keputusan kerajaan. Contohnya, dalam gelombang kedua atau ‘second wave feminism’ pada akhir 1960-an dan awal 1970-an, gerakan feminis liberal di Amerika Syarikat menuntut pindaan terhadap ‘Equal Rights Amendment’ yang memberi wanita hak sama rata dengan lelaki terutamanya dalam proses perundangan.
Kedua, istilah feminisme difahami sebagai kualiti diri dan sifat-sifat kewanitaan. Sifat-sifat kewanitaan ini merupakan stereotaip bagi wanita. Ia bukan satu perkara yang benar tetapi hanya satu bentuk kepercayaan. Maka, sifat-sifat kewanitaan seperti kelembutan, kasih sayang, sensitif, pemalu dan pasif hanyalah satu bentuk kepercayaan yang telah menjadi stereotaip sedangkan ia tidak boleh dianggap sebagai pengetahuan. Hal ini kerana salah satu ciri pengetahuan ialah terbukti kebenarannya. Contohnya, terdapat juga wanita yang bersifat tegas, berani dan aktif seperti Aung San Suu Kyi dan Benazir Bhutto.
Ketiga, istilah feminisme dalam bidang akademik boleh dirujuk dalam pelbagai disiplin ilmu. Dalam disiplin ilmu Sains Politik, terdapat sub-disiplin iaitu Hubungan Antarabangsa. Jadi, dalam bidang Hubungan Antarabangsa inilah istilah feminisme dikaitkan dengan persoalan-persoalan kaum wanita. Persoalan-persoalannya ialah peranan kaum wanita dalam politik global, penyertaan dalam proses pembentukan dasar, fungsi dalam ekonomi politik dan diskriminasi terhadap golongan wanita. Persoalan-persoalan ini telah dijadikan bahan kajian dan pendekatan baharu dalam disiplin ilmu.

3.1 TEORI FEMINISME
Dalam pengkajian bidang Hubungan Antarabangsa, tiga pendekatan iaitu realisme, idealisme dan globalisme digunakan sebagai pendekatan utama atau ‘grand theory’ untuk menerangkan hubungan antarabangsa, soal keselamatan, kedaulatan nasional dan ekonomi politik. Pengkajian mengikut pendekatan seperti ini menghasilkan satu analisa yang bersifat berat sebelah dan gagal melihat persoalan-persoalan kecil dalam Hubungan Antarabangsa. Oleh itu, terdapat pelbagai pendekatan alternatif dalam pengkajian sesuatu disiplin ilmu seperti feminisme dan ‘environmentalisme’ atau politik hijau. Teori-teori seperti ini menawarkan suatu analisa itu skop yang lebih luas dan pelbagai.
3.2 Teori Feminisme sebagai Pendekatan Alternatif Disiplin Hubungan Antarabangsa
Salah satu teori alternatif ialah teori feminisme. Ia termasuk dalam disiplin Hubungan Antarabangsa pada akhir 1980-an. Menurut Rashila Ramli (2002), kelambatan kehadiran pendekatan feminisme ini adalah kerana kurangnya sarjana feminis yang berkepakaran dalam bidang Hubungan Antarabangsa selain penumpuan sarjana Hubungan Antarabangsa hanya kepada pendekatan realis dan positivis. Pendapat Joshua S. Goldstein (2004) pula menyatakan realisme ini bersifat maskulin dan mengkonstruksi Hubungan Antarabangsa sebagai dunia sang lelaki atau ‘man’s world’. Pendapat ini mengukuhkan lagi hujah bahawa Hubungan Antarabangsa telah mengalami satu tempoh masa yang mana ia telah mengabaikan aspek feminisme dalam pengkajiannya.
Terdapat beberapa orang sarjana feminis yang mula menceburi bidang Hubungan Antarabangsa iaitu Jean Elstein, Cynthia Enloe dan J. Ann Tickner. Cetusan ini telah diteruskan oleh Christine Sylvester dan turut mendapat tempat dalam pemikiran sarjana neorealis iaitu Robert Keohane. Sarjana neorealis ini mula mengiktiraf kewujudan dan impak ‘low politics’ dalam politik antarabangsa berbanding hanya ‘high politics’ seperti soal ketenteraan. Maka, lensa feminis telah digunakan dalam menganalisa soal keselamatan, kedaulatan, peperangan dan keamanan seterusnya meluaskan skop kajian disiplin ilmu ini. Politik global telah dicorakkan dengan isu penyertaan wanita dalam politik, ekonomi dan sosial selain memberi perhatian terhadap diskriminasi dan pengabaian terhadap nasib golongan wanita.

3.2 Bukti-bukti Empirik Feminisme sebagai Persoalan dalam Hubungan Antarabangsa

Terdapat beberapa persoalan dan sanggahan terhadap kerelevanan teori feminisme sebagai salah satu aspek penyelidikan yang harus dinilai dalam Hubungan Antarabangsa. Persoalan-persoalan ini merangkumi soal sejauh mana kerelevanan lensa feminis dalam melihat kajian Hubungan Antarabangsa dan soal sama ada gender bagi wanita tidak penting sedangkan lelaki diberi perhatian dalam menilai isu-isu keselamatan dan peperangan. Hal ini kerana terdapatnya kepercayaan bahawa lelaki ialah golongan pemimpin, terlibat secara langsung dalam ketenteraan dan memiliki kadar tenaga buruh yang tinggi. Jadi, bahagian ini akan menyatakan beberapa contoh empirik sebagai hujahan bahawa lensa feminis harus diambil kira kepentingannya.

Pertama, Perdana Menteri Britain, Margaret Tatcher ialah seorang wanita yang terlibat secara langsung dalam penyelesaian konflik peperangan antara Falkland Islands dan Argentina pada tahun 1982 berkaitan isu kedaulatan dan integriti wilayah. Hal ini menunjukkan bahawa wanita juga mampu menangani isu keselamatan. Kedua, Indira Ghandi (1917-1984) menduduki kerusi Perdana Menteri India semasa peperangan dengan Pakistan pada tahun 1971. Contoh ini menunjukkan bahawa wanita juga memiliki keupayaan untuk bertahan dalam suasana konflik seterusnya menidakkan stereotaip wanita yang bersifat sensitif dan ‘fragile’. Ketiga, isu gender dan feminisme telah dijadikan isu keselamatan atau diistilahkan sebagai ‘gendering security’. Contohnya, Amerika Syarikat telah menggunakan alasan penindasan rejim Taliban terhadap wanita di Afghanistan sebagai satu bentuk pengabsahan tindakan ketenteraan mereka. Tindakan ini berlaku ketika perang anti keganasan tahun 2001. Keempat, jenayah seksual iaitu rogol terhadap wanita telah digunakan sebagai strategi ketenteraan dan penghapusan etnik. Perkara ini berlaku kepada etnik Bosnia dan Rwanda. Di Bosnia dan Herzegovina, kira-kira 20,000 hingga 35,000 wanita telah dirogol sebagai strategi penghapusan etnik.
Berdasarkan contoh-contoh yang telah dikemukakan, maka jelas bahawa wanita juga mampu untuk menjadi pemimpin negara dan menangani konflik dan peperangan, wanita telah dijadikan subjek bagi isu keselamatan seperti dalam kes Afghanistan, Bosnia dan Herzegovina dan Rwanda. Oleh itu, penyelidikan Hubungan Antarabangsa harus mengambil kira gender dan teori feminisme sebagai salah satu angkubah dalam disiplinnya.

4.1 PENDEKATAN-PENDEKATAN DALAM TEORI FEMINISME
Terdapat pelbagai pendekatan dalam teori feminisme. Secara umumnya, kesemua pendekatan ini melihat ketidaksamarataan layanan terhadap wanita baik dari segi undang-undang, politik, ekonomi mahupun sosial. Perkara yang membezakan kesemuanya ialah punca kepada ketidaksamarataan tersebut dan jalan penyelesaiannya. Menurut Tong (1998), terdapat beberapa pecahan dalam pendekatan feminisme iaitu liberal, Marxist, radikal, sosialis, ‘psycho-analitic’, pasca colonial dan ‘postmodern’. Selain itu, terdapat pendekatan-pendekatan lain seperti ‘cultural feminism’ atau feminisme budaya dan ‘stand-point feminism’. Dalam bahagian ini, hanya dua pendekatan akan dihuraikan iaitu pendekatan feminis liberal dan feminis Marxist.
4.1.1 Pendekatan Feminis Liberal

Pendekatan feminis liberal ialah pendekatan yang menumpukan usaha pembebasan wanita sesuai dengan kata ‘liber’ daripada perkataan Latin yang bermaksud bebas. Pandangan utama feminis liberal ialah wanita dan lelaki memiliki hak yang sama rata dan kepayaan yang setanding. Pendekatan feminis liberal awal boleh dikesan dalam penulisan Mary Wollstonecraft iaitu ‘A Vindication of The Rights of Women’ yang diterbitkan pada tahun 1792. Dalam karya ini, Wollstonecraft menggagaskan idea bahawa penyertaan dan pendidikan terhadap wanita dapat menyedarkan dan menjaga hak mereka seterusnya menyelesaikan masalah ketidaksamarataan gender antara lelaki dan wanita.
Secara realitinya, wanita dipinggirkan dan dimangsakan dalam banyak aspek. Antaranya dalam isu pelarian, pencabulan hak asasi, pemerdagangan wanita dan jenayah seksual dalam peperangan. Oleh itu, wanita haruslah digalakkan penyertaannya dalam politik global agar ia dapat menjadi mangkin kepada penyelesaian masalah-masalah tersebut. Bagi feminis liberal, kesamarataan antara lelaki dan wanita hanya akan dapat dicapai dengan menghapuskan sekatan undang-undang dan halangan lain. Contohnya, pergerakan feminis liberal di Amerika Syarikat telah berjaya mendesak pemindaan undang-undang iaitu ‘The Nineteenth Amendment’ pada tahun 1920. Pindaan bersejarah ini telah memberi hak untuk mengundi kepada wanita di Amerika Syarikat lalu menyelesaikan masalah ‘women’s suffrage’.
Dalam bidang Hubungan Antarabangsa, feminis liberal melihat ketidakseimbangan gender mengakibatkan kemahiran yang dimiliki wanita telah disia-siakan (waste of talent). Maka, peranan wanita juga harus diambil kira dan dihargai dalam politik global. Caranya dengan menggalakkan penyertaan wanita dalam setiap peringkat bermula daripada peringkat tertinggi iaitu pembentukan undang-undang dan dasar antarabangsa yang lebih saksama atau ‘egalitarian’ sehingga tahap keanggotaan dalam ketenteraan. Sesungguhnya, kemampuan nasional dapat menjamin negara yang lebih sejahtera. Kemampuan nasional ini termasuklah penyertaan wanita dalam pemilihan duta, tentera dan ahli politik. Hal ini dapat dibuktikan melalui contoh pemimpin-pemimpin seperti Margaret Tatcher (Britain), Indira Ghandi (India), Benazir Bhutto (Pakistan), Megawati Sukarnoputri (Indonesia), Corazón Aquino (Filipina) dan Aung San Suu Kyi (Myanmar).
4.1.2 Pendekatan Feminis Marxist
Pendekatan ini berteraskan teori ekonomi oleh ahli falsafah, Karl Marx yang melihat pemisahan manusia mengikut kelas ekonomi dan fungsi sosial. Pendekatan ini boleh dikesan dalam tulisan sahabat baik Karl Marx iaitu Friedrich Engels (1884) dalam ‘The Origins of The Family, Private Property and The State’. Bagi feminis Marxist, penindasan wanita bukan kerana dominasi lelaki, sekatan perundangan mahupun fahaman seksisme yang berpendirian bahawa perbezaan biologi atau jantina lain lebih rendah dan tidak bernilai. Penindasan dan peminggiran terhadap wanita berlaku kerana sistem ekonomi kapitalisme itu sendiri. Golongan borjuis atau kapitalis melayan wanita sebagai kelas kedua dalam masyarakat.
Kelas pemerintah atau kapitalis telah menekan kelas pekerja. Dalam hal ini, wanita menerima tekanan yang lebih berbanding lelaki. Tambahannya, penindasan akan semakin teruk jika terdapat diskriminasi yang bertindan lapis seperti perbezaan etnik dan perbezaan warna kulit. Konsep harta peribadi (private property) juga telah mengakibatkan ketidakadilan dalam ekonomi dan hubungan sosial. Lelaki dianggap lebih utama berbanding wanita. Berdasarkan tulisan Friedrich Engels, lelaki dan wanita terpisah mengikut fungsi sosial dan ekonomi. Dalam fungsi ekonomi, lelaki bekerja sebagai buruh yang berbayar manakala wanita hanya menjalankan tugas di rumah dan tidak berupah. Jika terdapat wanita yang bekerja dan dibayar upah sekalipun, kadar upahnya lebih rendah berbanding lelaki. Dalam fungsi sosial pula, lelaki merupakan pemimpin atau ketua dalam masyarakat manakala wanita hanya berperanan sebagai ibu dan isteri.
Maka, mengikut pandangan feminis Marxist wanita hanya akan dapat dibebaskan dengan menggantikan sistem kapitalisme kepada sistem sosialisme. Langkah paling awal yang boleh diusahakan untuk membebaskan wanita daripada penindasan ialah menetapkan kadar upah yang setimpal antara pekerja wanita dan pekerja lelaki. Kebebasan mutlak bagi wanita pula dapat dicapai apabila semua kelas pekerja daripada pelbagai bangsa dan institusi sosialisme (negara) telah bersatu untuk mencetuskan revolusi ke arah masyarakat yang saksama. Ketika itu tiada lagi soal penindasan terhadap wanita kerana layanan diberikan secara sama rata melalui konsep pemiliknegaraan dan pembahagian yang saksama.
4.2 Isu Feminisme dalam Hubungan Antarabangsa dan Ekonomi Politik Antarabangsa
Kedua-dua pendekatan feminisme yang telah dibincangkan iaitu feminis liberal dan feminis Marxist dapat diaplikasikan dalam pendekatan Hubungan Antarabangsa dan Ekonomi Politik Antarabangsa. Kedua-dua pendekatan ini dapat menerangkan keupayaan wanita dalam politik global, peranan wanita dalam ekonomi dan memberi preskriptif bagi perjuangan gerakan feminisme. Terdapat pelbagai isu yang menarik perhatian masyarakat dunia dan dijadikan isu keselamatan.

Contohnya, kes pemerdagangan wanita atau ‘human trafficking’ telah menjadi isu di peringkat global. Sebuah badan bukan kerajaan iaitu United Methodist Committee on Relief (UMCOR) membentuk satu kerjasama dengan United Nations Children’s Fund (UNICEF) untuk menangani masalah kanak-kanak perempuan Afghanistan yang ingin diseludup ke Arab Saudi. Selain itu, UMCOR juga menjalankan usaha membanteras pemerdangangan wanita di Eropah Timur seperti di Armenia, Azerbaijan dan Georgia yang ingin diseludup ke Kosovo atas alasan peluang pekerjaan. Kes ini merupakan isu ekonomi politik antarabangsa kerana ia bersifat rentas sempadan. Maka, ia dianggap sebagai isu global dan telah mendapat perhatian masyarakat dunia melalui peranan badan bukan kerajaan.
Dalam Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu 1979, satu resolusi telah dicapai di peringkat global mengenai diskriminasi terhadap golongan wanita. Resolusi tersebut dinamakan sebagai The United Nations Convention on the Elimination of all forms of Discrimination Against Women dan sebuah badan bebas telah dibentuk iaitu Committee on the Elimination of Discrimination against Women (CEDAW) demi memastikan pelaksanaannya di semua negara-negara di dunia. Hal ini menunjukkan bahawa soal feminisme ini telah mendapat perhatian di peringkat organisasi supranasional secara tidak langsung membuktikan bahawa ia menjadi isu di peringkat antarabangsa.
5.1 PERANAN WANITA DALAM ARENA ANTARABANGSA
Golongan lelaki mendominasi hal ehwal antarabangsa baik dari segi kepimpinan, ketenteraan, dan kesarjanaan. Hal ini tidak bermakna golongan wanita tidak memiliki peranan dalam arena antarabangsa. Golongan wanita banyak terlibat dalam organisasi-organisasi antarabangsa sebagai aktivis-aktivis hak asasi manusia dan tenaga buruh dalam industri pelancongan. Jika dilihat secara menyeluruh dan teliti, sumbangan wanita sangat besar dalam arena antarabangsa. Walaubagaimanapun, sumbangan dan peranan mereka tidak jelas dan kurang dihargai kerana peranan yang dimainkan oleh mereka bersifat tidak popular selain kurangnya hebahan kepada umum. Maka, dalam bahagian ini terdapat dua contoh peranan wanita yang akan dikemukakan berteraskan Hubungan Antarabangsa dan Ekonomi Politik Dunia.
5.1.1 Wanita dalam Pendekatan Hubungan Antarabangsa
Aktor bukan negara merupakan pendekatan yang digunakan dalam bahagian ini. Committee on The Elimination of Discrimination against Women (CEDAW) merupakan aktor bukan negara yang memainkan peranan untuk memperjuangkan hak-hak wanita selain mengusahakan pembanterasan diskriminasi terhadap golongan wanita. Ia merupakan badan bebas yang ditubuhkan selaras dengan pembentukan The United Nation Convention on The Elimination of All Forms of Discrimination Against Women oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dalam Perhimpunan Agung pada tahun 1979. Tujuannya adalah untuk memastikan semua inti pati konvensyen ini yang mengandungi 30 Artikel dipraktikkan secara menyeluruh di seluruh negara-negara di dunia. Ia melibatkan 27 orang keanggotaan dari pelbagai negara dalam jawatankuasa tertinggi. Kesemua anggota dalam jawatankuasa ialah wanita.
Perjuangan wanita dalam badan bebas ini menggunakan pendekatan feminis liberal kerana ia menggunakan undang-undang sebagai jalan penyelesaian, menuntut kesamarataan dan penyertaan wanita dalam politik. CEDAW telah diiktiraf di 185 buah negara seluruh dunia termasuk Malaysia pada tahun 1995. Isu yang diperjuangkan di setiap negara ialah diskriminasi terhadap golongan wanita yang dilihat berterusan sedangkan ia nyata bertentangan dengan konsep hak asasi manusia. Mereka telah mempersoalkan layanan yang berat sebelah antara golongan wanita dan lelaki. Terdapat tiga artikel yang memperlihatkan isu feminisme dalam The United Nation Convention on The Elimination of All Forms of Discrimination Against Women.
Pertama, dalam Artikel 1 (CEDAW), ia mendesak agar wanita diberi hak-hak dalam lapangan politik, ekonomi, sosial, budaya dan sivil. Hal ini merupakan perkara utama yang harus diambil perhatian untuk mengembalikan hak-hak wanita agar keupayaan mereka tidak disia-siakan sebagaimana pendirian feminis liberal yang menginginkan lebih ramai wanita menceburi pelbagai bidang di peringkat global. Kedua, Artikel 6 (CEDAW) menuntut negara-negara yang mengiktiraf CEDAW untuk menguatkuasakan undang-undang dan kaedah-kaedah yang dirasakan sesuai untuk membanteras aktiviti pemerdagangan wanita dan eksploitasi dalam aktiviti pelacuran. Ketiga, Artikel 8 (CEDAW) mendesak agar negara-negara di dunia memberi peluang yang lebih kepada wanita dalam mewakili kerajaan di peringkat antarabangsa dan dalam menjalankan aktiviti-aktiviti anjuran organisasi antarabangsa. Artikel 8 (CEDAW) ini jelas menunjukkan ciri feminis liberal yang bertujuan untuk menggalakkan penyertaan wanita di peringkat pembuatan keputusan dan undang-undang antarabangsa.
5.1.2 Wanita dalam Pendekatan Ekonomi Politik Antarabangsa
Dalam teras Ekonomi Politik Dunia, peranan wanita boleh dilihat peranannya melalui pendekatan feminis Marxist. Golongan wanita terpaksa meneruskan kelangsungan hidup dalam sistem ekonomi kapitalisme walaupun ia menindas keberadaan wanita dalam fungsi buruh. Perbezaan gender antara wanita dan lelaki telah membentuk corak pembahagian buruh antarabangsa. Peratusan golongan wanita dalam fungsi buruh melebihi golongan lelaki kerana kadar upah buruh yang lebih rendah. Hal ini jelas menunjukkan ciri kapitalisme yang berkehendakkan keuntungan maksimum tetapi ingin meminimakan kos. Hasilnya, wanita tidak memiliki status ekonomi yang sepatutnya. Isu wanita dalam Ekonomi Politik Antarabangsa ialah berkenaan pembahagian buruh dan perkhidmatan tidak berupah.
Dalam pembahagian buruh di negara-negara membangun atau negara dunia ketiga, golongan wanita menerima layanan yang tidak setimpal atau setanding dengan golongan lelaki. Pertama, wanita disekat daripada berkhidmat dalam beberapa jenis pekerjaan atas alasan kelemahan fizikal, kekurangan kemudahan untuk pekerja wanita dan kerisauan bahawa wanita akan menyebabkan permasalahan moral. Kedua, wanita hanya ditemapatkan dalam sektor tidak formal, menerima bayaran upah yang rendah dan pekerjaan yang kurang ciri keselamatan berbanding lelaki. Ketiga, wanita terlibat dalam pekerjaan berstatus rendah dan hanya sesuai untuk wanita sahaja. Hal ini kerana stereotaip wanita seperti sifat lemah dan pasif telah mendominasi mentaliti masyarakat dan dimanifestasikan dalam fungsi ekonomi. Keempat, ketidaksamarataan ekonomi seperti upah rendah, keadaan tempat kerja yang daif dan kurang jaminan keselamatan juga dialami oleh sebahagian besar buruh wanita. Keseluruhannya, peranan wanita dalam tenaga buruh melebihi lelaki tetapi mereka tidak mendapat layanan yang sebaiknya.
Wanita berperanan besar dalam kehidupan seharian. Peranan wanita termasuklah memasak, menjaga kebersihan rumah, penjagaan anak-anak dan layanan terhadap suami. Walaubagaimanapun, khidmat wanita di rumah dan dalam komuniti ini tidak berupah. Hal ini menjadi persoalan bagi sesetengah feminis kerana ia didakwa sebagai penyebab utama mengapa pemilikan harta peribadi bagi wanita tidak setaraf dengan golongan lelaki sedangkan di kebanyakan negara mereka bekerja lebih masa berbanding lelaki. Dalam bentuk angka peratusan, wanita di Jepun menjalankan bebanan kerja melebihi lelaki sebanyak tujuh peratus (7%), di Austria sebanyak sebelas peratus (11%), di Itali sebanyak dua puluh lapan peratus (28%) dan di Kenya sebanyak tiga puluh lima peratus (35%). Mengikut perangkaan jumlah jam seminggu pula, di India wanita bekerja selama 69 jam dalam seminggu berbanding lelaki hanya selama 59 jam. Di Nepal pula, wanita bekerja selama 77 jam seminggu berbanding lelaki hanya selama 56 jam. Perbezaan ini menunjukkan peranan wanita yang besar dalam setiap unit keluarga dan komuniti tetapi masih rendah dari segi pemilikan harta peribadi. Untuk membela nasib kaum wanita, terdapat pelbagai kesatuan yang dibentuk untuk tujuan kebajikan contohnya kesatuan sekerja iaitu Self Employed Women’s Association (SEWA). Kesatuan sekerja ini mewakili kepentingan wanita-wanita yang bekerja sendiri, bermatlamatkan hak-hak dalam isu keselamatan dan kebajikan.
Maka, berdasarkan peranan wanita dalam pembahagian buruh dan peranan dalam keluarga serta komuniti. Jelas bahawa wanita mempunyai peranan yang besar dalam Ekonomi Politik Dunia maka ia harus dihargai dengan memberi wanita status pemilikan ekonomi yang setimpal dengan khidmatnya.
6.1 RUMUSAN

Esei ini telah menghuraikan dua pendekatan feminisme dan dua contoh peranan wanita dalam pendekatan Hubungan Antarabangsa dan pendekatan Ekonomi Politik Antarabangsa. Dalam bahagian takrifan gender dan feminisme, istilah gender dan feminisme telah diberikan dengan merujuk gender sebagai fungsi lelaki dan wanita yang dikonstruk oleh biologi. Penekanan turut diberikan dengan membezakan istilah gender dan jantina. Istilah feminisme pula telah dijelaskan dengan merujuk pemahamannya dalam amalan politik, masyarakat dan bidang akademik. Bahagian teori feminisme pula telah merangkumi deskriptif mengenai teori tersebut, kedudukannya dalam bidang Hubungan Antarabangsa, kerelevanannya dalam bidang Hubungan Antarabangsa dan bukti-bukti empirik bagi menjelaskan kesignifikanan teori feminisme. Setelah menjelaskan teori feminisme, bahagian seterusnya membincangkan pendekatan feminisme sebagai pecahan dalam teori feminisme. Antara pendekatan feminisme yang telah dikemukakan ialah liberal, Marxist, radikal, sosialis, ‘psycho-analytic’, pasca colonial, ‘postmodern’, budaya dan ‘standpoint’. Dalam bahagian ini hanya dua pendekatan sahaja yang dihuraikan secara panjang lebar iaitu feminis liberal dan feminis Marxist. Penghuraiannya berkisar tentang punca kepada ketidaksamarataan terhadap wanita dan jalan penyelesaiannya. Bahagian seterusnya menerangkan bagaimana isu feminisme telah menjadi isu global dan mendapat perhatian masyarakat antarabangsa. Bahagian peranan wanita dalam arena antarabangsa pula mengemukakan contoh peranan wanita berteraskan pendekatan Hubungan Antarabangsa dan Ekonomi Politik Dunia. Peranan wanita berteraskan Hubungan Antarabangsa menyentuh aktor bukan negara iaitu Committee on The Elimination of Discrimination Against Women (CEDAW) yang menggunakan pendekatan feminis liberal untuk memperjuangkan kesamarataan wanita. Teras Ekonomi Politik Dunia pula mengambil contoh peranan wanita dalam pembahagian buruh di negara dunia ketiga dan isu perkhidmatan wanita tidak berupah. Kesimpulannya, gender telah diterima sebagai satu angkubah penyelidikan Hubungan Antarabangsa. Teori feminisme juga relevan dengan realiti wanita dalam hal politik, ekonomi, sosial dan keselamatan. Maka, hak dan penyertaan wanita yang sama rata dengan lelaki harus diperjuangkan, dipertahankan dan diperkukuh kerana peranan wanita tidak dapat dinafikan dan disia-siakan dengan begitu sahaja. Sebagaimana pepatah “tangan yang menghayun buaian mampu menggoncang dunia”.

RUJUKAN

Baylis, J. 2008. The Globalization of World Politics. New York: Oxford University Press.

Ghazali Mayudin (pnyt.). 2002. Politik Malaysia: Perspektif Teori dan Praktik. Bangi: Penerbit UKM.
Goldstein, S. J. 2004. International Relations: Fifth Edition. Washington D.C. : Longman.
Jackson, R. & Sørensen, G. 1999. Introduction to International Relations: Theories and Approches. New York: Oxford University Press.
Momsen, J.H. 1991. Women and Development In The Third World. London: Routledge.
Connor, G. 2004. Human Trafficking: A Global Issue. http://gbgm-umc.org/umcor/ngo/issues/trafficking.cfm [22 Oktober 2010].
Gilbert, H. 2010. An Introduction to Marxist Feminism. http://www.feministezine.com/feminist/philosophy/Introduction-to-Marxist-Feminism.html. [15 Oktober 2010].
2010. Marxist Feminism. http://sociologyindex.com/ marxist_feminism.htm. [15 Oktober 2010].
2009. Self Employed Women’s Association. http://www.sewa.org/. [16 Oktober 2010].
2007. Convention on the Elimination of All Forms of Discrimination against Women. http://www2.ohchr.org/english/law/cedaw.htm. [16 Oktober 2010].


Ulasan

Catat Ulasan