ISU GEREJA METHODIST DAMANSARA UTAMA – JABATAN AGAMA ISLAM SELANGOR (JAIS)

1.1 PENGENALAN

Kehidupan bermasyarakat merupakan satu kerelaan bagi anggota yang memiliki tabiat, adat, sistem perundangan dan minat yang sama untuk berkongsi kehidupan (Malik Bennabi 2009). Masyarakat hidup dalam satu sistem politik yang mengandungi pelbagai struktur seperti parlimen, mahkamah, parti politik, badan bukan kerajaan dan orang awam ke arah pembentukan dasar-dasar awam dan undang-undang yang dipersetujui selaras dengan konsep masyarakat itu sendiri. Maka, politik dan masyarakat adalah saling mempengaruhi. Isu yang berlaku dalam lingkungan masyarakat akan memberi kesan kepada fungsi-fungsi dan kegiatan-kegiatan struktur dalam sistem politik. Hal ini jelas dalam isu pemeriksaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) terhadap Gereja Methodist Damansara Utama atau Damansara Utama Methodist Church (DUMC) di Petaling Jaya, Selangor pada 3 Ogos 2011. Polemik berkenaan isu pemeriksaan ini telah timbul berdasarkan beberapa hujah seperti hujah pemeliharaan akidah umat Islam di Malaysia jelas termaktub dalam undang-undang bertulis iaitu Perkara 11. Perlembagaan Persekutuan yang mana ia menegah penyebaran agama lain dalam kalangan orang Islam. Selain itu, isu ini dipolemikkan dengan hujah pemeliharaan hubungan antara agama dan etnik di Malaysia. Wujud juga hujah-hujah lain berkaitan isu Gereja-JAIS ini seperti isu kerenah birokrasi dan pengurusan wang zakat oleh institusi Baitulmal, isu bidang kuasa Sultan di negeri Selangor dalam hal ehwal Islam dan isu kedudukan Datuk Dr. Hassan Mohd Ali sebagai Exco Kerajaan Negeri Selangor. Beberapa kerangka teori dan konsepsual akan digunakan sebagai alat analisis. Teori Marxisme berkenaan unsur materialisme digunakan untuk menghuraikan faktor tindakan 12 orang Islam yang terlibat dalam majlis di gereja manakala Teori Masyarakat Majmuk bagi tindakan politicking yang antara parti-parti politik sehingga menimbulkan konflik etnik. Kerangka konsepsual dalam perbincangan isu ini akan menyentuh dua konsep hubungan etnik iaitu hubungan interetnik dan intraetnik. Keseluruhannya, esei isu Gereja-JAIS ini akan menjelaskan latar belakang isu, menghuraikan teori dan konsep serta menganalisis kesan isu ini terhadap politik iaitu politicking antara parti politik dan penyertaan politik oleh masyarakat sivil. Analisis juga mengambil kira kesan isu ini terhadap masyarakat iaitu kerisauan masyarakat Islam terhadap gerakan murtad dan kekeruhan hubungan etnik.


2.1 KERANGKA TEORI DAN KONSEPTUAL

Kerangka teori dan konsepsual yang akan digunakan sebagai alat analisis isu Gereja-JAIS ini ialah Teori Marxisme mengkhusus kepada unsur materialisme atau kebendaan dan Teori Masyarakat Majmuk. Kerangka konsepsual bagi isu Gereja-JAIS ini pula ialah konsep hubungan interetnik dan hubungan intraetnik. Kerangka teori dan konsepsual ini akan digunakan dalam tiga bahagian esei iaitu latar belakang isu, kesan isu terhadap politik dan kesan isu terhadap masyarakat.

2.2 Unsur Materialisme dalam Teori Marxisme dan Teori Masyarakat Majmuk

Teori Marxisme berasal daripada pemikiran ahli sosiologi dari Jerman iaitu Karl Marx. Ia kemudiannya diperkembangkan oleh beberapa aliran utama iaitu aliran Marx yang asal, revisionisme dan sosial-demokrat. Selain itu, terdapat juga pembahagian perkembangan idea Marx ini kepada beberapa tahap iaitu Marx Tua dan Marx Muda iaitu perbezaan pendapat sama ada perkembangan idea Marx ini merupakan sambungan daripada idea asal beliau iaitu The German Ideology atau ia merupakan perubahan yang radikal terhadap idea asal tersebut (Franz Magnis Suseno 2003: 7).

Walau bagaimanapun, perkembangan tahap-tahap dalam teori Marxisme ini adalah berdasarkan prinsip yang paling asas iaitu ekonomi sebagai penentu perkembangan sejarah manusia. Falsafah bagi teori Marxisme ini ialah baik atau buruk seseorang atau sesuatu itu adalah disebabkan ekonomi. Maka, unsur materialisme merupakan angkubah bebas yang mengimpak terhadap angkubah bersandar iaitu masyarakat atau individu itu sendiri. Bagi manusia, tempat untuk berlindung, pakaian dan makanan merupakan unsur materialisme atau kebendaan yang asas bagi menjalani kehidupan.

Oleh itu, manusia memerlukan unsur materialisme ini untuk meneruskan kelangsungan hidup mereka. Kegagalan untuk memenuhi keperluan ini akan membantutkan perkembangan sejarah manusia kerana terdedah dengan ancaman kemusnahan akibat kebuluran, bencana alam dan persekitaran yang tidak sesuai dengan sifat semulajadi manusia. Maka,

“…Kemestian untuk memenuhi keperluan asas ini menganjurkan motivasi atau keterpaksaan kepada manusia untuk mendapatkannya…”

(Muhamad Nadzri 2009: 73)

Teori Masyarakat Majmuk pula diperkenalkan oleh J.S. Furnivall (1948) dan M.G. Smith (1965). Sarjana-sarjana ini memperkenalkan Teori Masyarakat Majmuk bagi menghuraikan keadaan masyarakat plural di Asia Tenggara yang terdiri daripada etnik Melayu, Eropah, Cina dan India. Berdasarkan pemahaman teori ini, masyarakat majmuk ini bergaul tetapi tidak bergabung kerana setiap segmen dalam masyarakat ini mempunyai agama, kebudayaan, bahasa, idea dan cara hidup sendiri. Tambahannya, sebagai individu, mereka bertemu tetapi hanya di pasar iaitu semasa membeli dan menjual. Teori ini turut menjelaskan keadaan masyarakat majmuk yang hidup sebelah-menyebelah tetapi berasingan dalam satu unit politik yang sama (Mansor Mohd Noor et al. 2006: 32).

Selain itu, Leo Kuper (1974, 1977) menyatakan bahawa Teori Struktural Fungsionalisme dan Teori Marxisme mempunyai kekurangan dalam menerangkan keadaan masyarakat. Ia tidak dapat menerangkan kewujudan pelbagai ras dan etnik yang memisahkan masyarakat. Apabila sesuatu konflik berlaku dalam masyarakat majmuk, konflik berkenaan adalah mengikut garisan pemisah ras bukan kelas. Ia tidak berlaku mengikut garisan kelas dalam masyarakat sebagaimana dijelaskan Teori Marxisme (Mansor Mohd Noor et al. 2006: 33). Maka, teori ini sesuai diguna pakai bagi menjelaskan keadaan masyarakat majmuk di Malaysia yang secara umumnya bergaul antara satu sama lain tetapi dalam hal-hal tertentu terpisah akibat perbezaan agama, bahasa, budaya mahupun sistem persekolahan hasil segregasi antara kaum yang didasari polisi-polisi kolonial British.


2.3 Konsep Hubungan Interetnik dan Intraetnik

Hubungan antara kaum di Malaysia boleh dijelaskan dengan menggunakan dua konsep hubungan etnik iaitu hubungan interetnik dan hubungan intraetnik. Hubungan interetnik merupakan hubungan antara satu etnik dengan etnik yang lain. Contohnya, hubungan antara etnik Melayu dan etnik Cina (Zaid Ahmad et al. 2010: 191). Hubungan ini wujud berasaskan perbezaan warna kulit, bahasa dan agama. Ia terbentuk akibat daripada penghijrahan imigran Cina dan India dari tanah asal mereka iaitu China dan India hasil dasar-dasar British ketika era penjajahannya. Konsep kedua ialah hubungan intraetnik iaitu hubungan antara sesama kaum atau keturunan. Contohnya, kaum Melayu mempunyai pelbagai pecahan keturunan seperti Jawa, Minangkabau, Bugis dan Banjar. Selain itu, hubungan intraetnik ini boleh terbentuk akibat fahaman politik yang berbeza seperti orang Melayu UMNO dan orang Melayu PAS atau orang Cina MCA dan orang Cina DAP. Hal ini adalah kerana politik kepartian di Malaysia sering memperlihatkan dominasi satu etnik sahaja dalam sesebuah parti (Zaid Ahmad et al. 2010: 192-193).


3.1 LATAR BELAKANG ISU GEREJA METHODIST DAMANSARA UTAMA-JABATAN AGAMA ISLAM SELANGOR (JAIS)

Pada 3 Ogos 2011, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan pihak polis telah melakukan pemeriksaan di sebuah gereja iaitu Gereja Methodist Damansara Utama di Petaling Jaya, Selangor. Pemeriksaan tersebut dijalankan setelah sumber maklumat yang dirahsiakan melaporkan bahawa terdapat orang Islam terlibat dalam satu majlis penghargaan atau thanksgiving dinner program di gereja tersebut pada pukul 8.00 malam. Pemeriksaan tersebut mendapati bahawa terdapatnya penglibatan 12 orang Islam yang terdiri daripada golongan ibu tunggal dan miskin. Hasil pemeriksaan tersebut menunjukkan terdapat pelbagai unsur-unsur yang menimbulkan syak wasangka berkenaan tujuan sebenar majlis tersebut diadakan. Sebahagian besar hasil pemeriksaan mendapati kewujudan unsur-unsur yang boleh dikaitkan dengan usaha menarik orang Islam yang hadir untuk menukar agama atau murtad. Perbuatan menyebarkan agama lain kepada orang Islam merupakan tindakan yang bertentangan dengan Perkara 11. Fasal (4). Perlembagaan Persekutuan yang melarang pengembangan iktikad atau kepercayaan agama terhadap orang-orang Islam.

Terdapat beberapa unsur-unsur yang didapati menimbulkan syak ketika pemeriksaan diadakan. Pertama, sejumlah tiga orang Islam daripada 12 orang keseluruhannya cuba dibawa keluar melalui pintu belakang ketika JAIS melakukan pemeriksaan. Perbuatan sebahagian orang Islam ini seolah-olah cuba untuk melarikan diri daripada disiasat dan diambil keterangan berkenaan tujuan kehadiran mereka dalam majlis di gereja tersebut. Kedua, aturcara majlis tersebut memuatkan nyanyian lagu ‘Allahuakbar dan Alhamdulillah’ antara jam 8.50 malam hingga 9.25 malam. Nyanyian tersebut merupakan suatu perbuatan di tempat yang tidak sepatutnya iaitu di sebuah gereja. Ketiga, terdapat edaran soalan kuiz dalam kalangan hadirin yang mana JAIS telah menemui kertas soalan kuiz tersebut dikoyakkan dan dibuang dalam tong sampah. Soalan kuiz tersebut menyenaraikan 12 soalan yang tidak signifikan untuk ditanyakan kepada orang bukan Islam yang berjumlah 80 peratus daripada hadirin yang hadir. Antara soalan kuiz tersebut ialah ‘apakah maksud perkataan Islam?’, ‘apakah maksud perkataan Muslim?’, ‘apakah maksud perkataan Quran?’, ‘apakah lima rukun Islam?’ dan ‘apakah enam perkara iman muslim?’.[1]

Pemeriksaan JAIS terhadap gereja ini telah menjadi polemik dalam kalangan masyarakat Malaysia akibat daripada percanggahan kenyataan antara Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Exco Kerajaan Negeri Selangor yang menjaga Hal Ehwal Islam Selangor, Datuk Dr. Hasan Mohd Ali. Ia telah menimbulkan kontroversi dan percanggahan pendapat apabila Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyatakan rasa kesal terhadap tindakan serbuan JAIS di gereja tersebut selain meminta JAIS mengemukakan laporan penuh. Beliau turut menyatakan pendirian kerajaan negeri yang mana ia sentiasa terbuka kepada perbincangan dan dialog antara agama serta meningkatkan kefahaman antara satu sama lain ke arah toleransi dan keharmonian penganut antara agama.[2]

Dalam satu kenyataan lain, Datuk Dr. Hassan Mohd Ali menyatakan anggota Penguatkuasaan JAIS dan polis telah menjalankan pemeriksaan di premis gereja terbabit namun dihalang oleh penganjur. Walau bagaimanapun, setelah perbincangan dilakukan hampir satu jam, pihak JAIS telah melakukan pemeriksaan dan mendapati wujud usaha untuk melupuskan bahan bukti. Berdasarkan kenyataan beliau ini, tiada serbuan atau tangkapan dilakukan sebaliknya mereka diarahkan untuk melaporkan diri di Bahagian Penguatkuasaan JAIS untuk siasatan lanjut. Dalam pada itu, kenyataan akhbar oleh beliau turut menyatakan siasatan awal JAIS boleh melibatkan pendakwaan terhadap mereka yang terlibat di bawah Seksyen 10 Enakmen Jenayah Syariah 1995. Maka, jelas bahawa terdapatnya percanggahan kenyataan antara Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Datuk Dr. Hassan Ali berkenaan tindakan JAIS terhadap gereja tersebut sama ada ia merupakan pemeriksaan atau serbuan.


3.2 Keperluan Materialisme sebagai Alat Manipulasi Gerakan Kristianisasi

Masalah murtad atau pengkristianan dalam kalangan orang Islam dipengaruhi oleh unsur materialisme atau ekonomi. Keperluan seseorang terhadap makanan, pakaian dan tempat tinggal mempunyai kesan dalam proses gerakan bagi menarik minat orang Islam terhadap agama lain. Hal ini kerana rasa kebergantungan untuk mendapatkan materialisme ini boleh mengikat mereka kepada institusi yang memberikan bantuan secara psikologikal iaitu rasa tertawan dengan nilai-nilai kemanusiaan yang dipamerkan. Ia secara tidak langsung membentuk satu persepsi baharu bahawa Islam itu sendiri gagal memelihara keperluan ekonomi umatnya dan pada masa yang sama menambah minat kepada agama Kristian yang jelas menggoyah atau membatalkan terus iman seseorang muslim. Sememangnya gerakan pengkristianan itu sendiri sering mengambil peluang atau bersifat oppurtunist apabila terdapat orang Islam yang miskin dan ditimpa bencana serta kesusahan. Bantuan mereka kepada orang Islam benar-benar merupakan satu bentuk dakyah untuk menarik minat orang Islam terhadap Kristian.

Hal ini jelas dalam isu Gereja-JAIS kerana 12 orang Islam yang menghadiri majlis di gereja tersebut menurut laporan akhbar ialah ibu tunggal dan mengalami kesempitan hidup tetapi tidak menerima bantuan daripada hasil kutipan wang zakat daripada institusi Baitulmal. Baitulmal telah dipersalahkan kerana terdapatnya kerenah birokrasi yang menyulitkan permohonan untuk mendapatkan bantuan. Maka, sebagai alternatif mereka telah menerima bantuan daripada pihak gereja yang lebih mudah didapati berbanding bantuan daripada Baitulmal itu sendiri. Sebagaimana yang telah disentuh dalam huraian unsur materialisme dalam Teori Marxisme, keterpaksaan untuk mendapatkan keperluan material ini telah memotivasikan mereka untuk mendapatkannya. Oleh itu, kehadiran 12 orang Islam di Gereja Methodist Damansara Utama tersebut boleh dikatakan sebagai keterpaksaan untuk memenuhi keperluan materialisme tersebut. Perkara sebegini turut berlaku di Indonesia apabila gerakan Kristianisasi ini memberikan bantuan kepada mangsa bencana alam di Jawa Timur, perkhidmatan kesihatan, rawatan dan ubat-ubatan percuma di kawasan perkampungan di Pati dalam masa yang sama menyebarkan propaganda Kristian kepada penduduk di petempatan tersebut (Umar Hasyim 1979: 280-281).


4.1 ISU GEREJA METHODIST DAMANSARA UTAMA-JABATAN AGAMA ISLAM SELANGOR (JAIS): PERSPEKTIF POLITIK DAN MASYARAKAT

Isu ini telah menjadi polemik yang hangat dalam media massa baik media arus perdana mahupun media alternatif sejak 3 Ogos 2011. Lebih menarik, ia berlaku dalam bulan Ramadhan iaitu salah satu bulan Islam yang istimewa kerana umat Islam diwajibkan berpuasa selama sebulan. Pelbagai isu-isu sampingan telah berbangkit hasil percanggahan kenyataan Tan Sri Khalid Ibrahim dan Datuk Dr. Hassan Ali. Bahagian ini bertujuan untuk membincangkan kesan-kesan isu ini melalui perspektif politik dan masyarakat. Isu ini merupakan isu yang terpusat kepada permasalahan masyarakat itu sendiri berbanding politik. Namun, ia menjadi satu perdebatan yang hangat dalam politik Malaysia kerana sifat isu berkaitan agama itu sendiri adalah eksploitatif bagi parti-parti politik seterusnya menjadikan ia modal untuk berpolitik. Kesannya turut didapati dalam masyarakat itu sendiri hasil laporan berita yang berterusan berkenaan isu tersebut.


4.2 Kesan Terhadap Politik

Kesan terhadap politik dapat dilihat melalui politicking antara parti pemerintah terutamanya UMNO dan parti pembangkang terutamanya PAS kerana ia melibatkan isu masyarakat Islam. Ia merupakan manifestasi hubungan intraetnik yang terdapat dalam kalangan rakyat Malaysia. Selain itu, kewujudan masyarakat sivil melalui badan bukan kerajaan atau non government organization (NGO) turut memperlihatkan peranannya dalam isu ini bagi mendesak pihak-pihak tertentu bagi memenuhi kehendak dan tuntutan mereka.

4.2.1 Politicking antara Parti Pemerintah dan Parti Pembangkang

Politicking merupakan satu wahana bagi parti-parti politik memperkembangkan sokongan dan faedah-faedah daripada golongan sasaran mereka. Isu pemeliharaan akidah, hubungan etnik dan peranan Baitulmal merupakan hujah-hujah yang dikemukakan oleh parti-parti politik bagi menarik sokongan rakyat selain untuk mendedahkan kelemahan parti lawan. Penjanaan agenda yang tersusun dan bersifat persuasif akan menguatkan lagi sokongan sedia dan menarik individu-individu atas pagar untuk menyokong sesuatu parti mengikut isu yang mempengaruhi mereka.

Bagi parti pemerintah terutamanya UMNO, isu ini merupakan isu pemeliharaan akidah dalam kalangan umat Islam di Malaysia. UMNO menyampaikan pemujukan terhadap golongan sasaran mereka iaitu orang Melayu dan orang yang beragama Islam melalui media massa arus perdana iaitu media elektronik seperti TV1, TV2 dan TV3 serta media cetak iaitu Utusan Malaysia dan Berita Harian. Naib presiden UMNO, Datuk Seri Shafie Apdal menyatakan bahawa PAS tidak seharusnya menegakkan perjuangan DAP dalam isu pemeriksaan JAIS jika benar memperjuangkan Islam. Sikap itu menurut beliau hanya untuk mengekalkan sokongan pengundi bukan Melayu dan sekutu politiknya iaitu DAP. Beliau turut menyatakan PAS sebagai sebuah parti politik tidak seharusnya campur tangan dalam urusan JAIS kerana tindakan tersebut hanya akan membantutkan perkembangan dan kemajuan jabatan tersebut.[3] Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak juga turut menyatakan pendirian UMNO terhadap isu pemeriksaan JAIS terhadap gereja ini sebagai selaras dengan Perlembagaan Persekutuan yang melarang penyebaran agama lain terhadap orang Islam. Di samping itu, beliau turut menyatakan tuduhan PAS yang mengatakan UMNO sebagai tangan ghaib dalam isu pemeriksaan JAIS sebagai tidak masuk akal kerana JAIS tertakluk di bawah kerajaan negeri Selangor yang diketuai Parti Keadilan Rakyat (PKR).[4]

Selain itu, pemimpin-pemimpin UMNO menimbulkan persoalan sikap PAS yang tidak konsisten dalam memperjuangkan kepentingan agama Islam. Jika selama ini PAS merupakan parti politik yang tegas dan lantang bersuara demi kepentingan umat Islam, dalam isu Gereja-JAIS ini ia lebih bersikap terbuka dan bertoleransi terhadap kepentingan hubungan etnik dan antara agama. Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyatakan bahawa sikap PAS itu tidak menunjukkan keikhlasan PAS dalam mempertahankan kesucian Islam.[5] Bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik pula menganggap bahawa sikap berdolak-dalik pembangkang dalam isu tersebut merupakan bukti kegagalan pihak pembangkang dalam menyelesaikan masalah pemesongan akidah. Kegagalan ini dinyatakan berpunca daripada keinginan untuk menjaga kepentingan politik pihak tertentu dalam pakatan pembangkang.[6]

Pihak pembangkang tidak terkecuali dalam politicking isu Gereja-JAIS ini. Parti pembangkang yang terlibat secara aktif dalam isu ini ialah PAS kerana adanya peranan Datuk Dr. Hassan Ali sebagai Exco Kerajaan Negeri Selangor yang bertanggungjawab mengeluarkan kenyataan yang bercanggah dengan kenyataan rasmi Menteri Besar Selangor. Kenyataan-kenyataan PAS berhubung isu ini dapat diambil daripada pimpinan tertinggi PAS dan pendapat-pendapat kolumnis dalam akhbar rasmi PAS iaitu Harakah. Pada awalnya, PAS bersikap tidak ambil peduli dengan kenyataan-kenyataan yang menentang pendirian PAS sebagai sebuah parti yang bermatlamatkan pemeliharaan kesucian Islam. Namun, akhirnya ia mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang walaupun bukan pendirian rasmi berkenaan isu tersebut sebagaimana yang didesak banyak pihak, ia boleh dianggap sebagai sikap PAS terhadap isu tersebut.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang membincangkan hal ini dalam ruangan kolum akhbar Harakah yang di bawah tajuk ‘Hak untuk pertahan Islam dan kebebasan beragama’. Beliau menyatakan secara jelas bahawa UMNO merupakan sebuah parti yang tidak layak untuk berbincang malah mempertahankan Islam kerana UMNO menurut beliau hanya mendirikan masjid tetapi tidak semestinya menunaikan solat apabila sudah membincangkan hal-hal kenegaraan. Menurut beliau lagi, UMNO memperjuangkan isu Gereja-JAIS sebagai isu murtad hanya satu omongan kosong sebagaimana pendapat Saidina Ali K.W. kerana ia zahirnya benar tetapi matlamatnya adalah kebatilan. Hal ini kerana kenyataan media massa milik UMNO hanya memperjuangkan isu tersebut untuk menarik undi orang Melayu dan Islam untuk menyokong parti tersebut dalam Pilihan Raya Umum ke-13 akan datang. Menurut beliau lagi, Islam dalam UMNO hanya Islam yang terpimpin dan bukannya Islam yang memimpin.[7]

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad pula berpendapat bahawa isu Gereja-JAIS sengaja diperbesarkan oleh media massa semata-mata untuk menutup isu yang masih hangat diperkatakan dalam kalangan masyarakat iaitu isu BERSIH yang menuntut pilihan raya adil dan bersih di Malaysia dan isu pemberian MyKad kepada Mismah yang merupakan imigran dari Indonesia.[8] Isu BERSIH ini merupakan isu yang banyak diberi liputan oleh media massa dan terdapat sebilangan penyokong telah berdemonstrasi pada 9 Julai 2011 di Kuala Lumpur. Perkara sebegini mendedahkan kelemahan UMNO dan Barisan Nasional dalam menangani isu tersebut. Selain itu, kolumnis Harakah, Abdul Shukor Harun berpendapat bahawa isu Gereja-JAIS sengaja dimainkan oleh parti pemerintah untuk melemahkan perpaduan dalam pakatan pembangkang di Selangor. Ia didakwa bertujuan untuk merampas semula negeri Selangor yang kaya dengan sumber dan dalam masa yang sama menegaskan toleransi antara kaum di Malaysia harus dipertahankan.[9]

Jelas bahawa bukan sahaja UMNO yang mempolitikkan isu ini tetapi ia telah turut dipropagandakan oleh PAS untuk memberi imej negatif ke atas parti pemerintah. Gaya politik seperti ini sememangnya sudah menjadi amalan dalam kalangan parti politik di Malaysia. Isu yang ditimbulkan sering menjadi modal bagi parti-parti politik untuk mendapatkan sokongan golongan sasarannya sebagaimana UMNO untuk menarik sokongan orang Melayu Islam dengan memainkan isu pemeliharaan akidah orang Islam manakala PAS melontarkan isu toleransi antara kaum dan agama demi untuk menjaga hati dan sokongan pengundi-pengundi bukan Melayu dan bukan Islam.

4.2.2 Peranan Masyarakat Sivil

Masyarakat sivil merupakan suatu set kesatuan sosial yang memiliki autonomi dan bebas daripada pengaruh pemerintah serta tidak berobjektifkan kuasa. Ia merupakan sebuah kesatuan yang berfungsi sebagai pemerhati bagi pemerintah dan juga dasar yang dilaksanakan (Zaini Othman 2008: 41). Bagi perbincangan ini ia merujuk kepada badan-badan bukan kerajaan yang boleh diklasifikasikan dalam konsep masyarakat sivil tersebut. Dalam isu Gereja-JAIS ini, badan bukan kerajaan ini telah menggunakan saluran penyertaan politik atau partisipasi politik berbentuk konvensional dan bukan konvensional. Bentuk konvensional menekankan kerjasama atau persetujuan elit politik terhadap tindakan-tindakan badan bukan kerajaan untuk mempengaruhi pelaksanaan dasar oleh elit manakala bentuk bukan konvensional adalah yang sebaliknya iaitu bersifat konfrontasi dengan elit (Wilson 1996: 61).

Wakil pertubuhan badan bukan kerajaan Dr. Dzulkhaini Husain telah menyerahkan memorandum kepada Sultan Selangor dengan mengemukakan permintaan terhadap baginda untuk bertindak dengan autoriti sebagai ketua agama negeri melalui Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) selaras dengan Seksyen 6. Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Selangor) 2003. Di samping itu, isi memorandum tersebut menyatakan persetujuan terhadap tindakan JAIS yang melakukan pemeriksaan terhadap gereja tersebut dengan tujuan memelihara kesucian agama Islam selaras dengan peruntukan undang-undang di negeri Selangor iaitu Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor, Enakmen Jenayah Syariah Negeri dan Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan Di Kalangan Orang Islam) 1998. Selainnya, isi memorandum tersebut menyatakan Menteri Besar Selangor tidak perlu menyatakan permohonan maaf kepada orang bukan Islam atas kejadian tersebut, JAIS dan MAIS harus diberi peluang menggunakan bidang kuasa dan mendesak Sultan Selangor untuk menasihati penganut agama lain agar tidak menyebarkan agama mereka kepada orang Islam.[10]

Walau bagaimanapun, kaedah memorandum tidak menunjukkan sebarang perubahan pendirian daripada Menteri Besar Selangor dan kerajaan Pakatan Rakyat untuk menarik balik kenyataan permohonan maaf dan sikap tidak endah terhadap isu murtad yang jelas bagi mereka sebagai satu sikap yang didorong kepentingan politik. Ketidakberjayaan memorandum ini mendorong penyertaan politik beralih daripada bentuk konvensional kepada bukan konvensional. Tindakan sebegini lazim digunakan oleh rakyat apabila sesuatu tindakan berbentuk konvensional tidak mendatangkan kesan maka ia akan beralih kepada bentuk bukan konvensional yang berkonfrontasi dengan elit. Hal ini menyaksikan demonstrasi yang berbentuk protes dengan cara menghadiahkan mangkuk tandas dan penyapu sebagai tanda simbolik terhadap Menteri Besar Selangor diadakan pada 10 Ogos 2011 di hadapan bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) oleh dua badan bukan kerajaan iaitu Pemuafakatan Warisan Melayu Malaysia (Warisan) dan Gerakan Memantau Perkhidmatan Agensi Kerajaan (Gempak).[11]

4.3 Kesan Terhadap Masyarakat

Isu Gereja-JAIS tidak hanya terbatas kesannya terhadap politik tetapi juga kepada masyarakat. Masyarakat yang dimaksudkan bertepatan dengan Teori Masyarakat Majmuk yang melihat banyak segmen dalam masyarakat hidup sebelah-menyebelah tetapi tidak boleh untuk bersatu akibat perbezaan agama, bahasa dan cara hidup. Dalam bahagian ini ia menumpukan kesan terhadap masyarakat Islam yang terkesan dengan isu murtad dan masyarakat bukan Islam dari segi hubungan etnik di Malaysia.

4.3.1 Gerakan Murtad dan Kerisauan Masyarakat Islam

Gerakan untuk memurtadkan orang Islam atau lazimnya melibatkan Kristianisasi terhadap penganut agama Islam sering merisaukan masyarakat Islam. Kes-kes seperti Lina Joy, Noraishah Bukhari dan Hartina Kamarudin adalah antara kes yang mendapat liputan media massa dan perhatian masyarakat. Ia tidak termasuk kes-kes yang tidak mendapat liputan dan perhatian yang mungkin mencapai angka ratusan malah ribuan kes. Bagi membuktikan kewujudan rasa tidak selesa dan kerisauan akan gerakan memurtadkan orang Islam ini, ia akan dibuktikan menerusi saluran media baharu iaitu laman Facebook dan forum dalam akhbar.

Penggunaan saluran media baharu Facebook dalam mengartikulasikan kerisauan berkenaan isu murtad dalam kalangan orang Islam ini mewujudkan perdebatan dan perbincangan hangat antara pengguna-pengguna Facebook. Menurut laporan, sebuah laman Facebook bertajuk ‘1,000,000 umat Islam sokong Jabatan Agama Islam (JAIS) dan Hasan Ali cegah murtad’ telah diwujudkan dengan disertai 7034 orang.[12] Laman ini telah diwujudkan oleh pihak yang menggelarkan dirinya sebagai ‘tentera Allah’. Pihak tersebut berusaha untuk mengumpulkan sejuta umat Islam tanpa mengira fahaman politik untuk menyokong tindakan Dato Dr. Hasan Ali dan JAIS dalam isu tersebut. Lain daripada itu, terdapat suara-suara kerisauan dalam kalangan masyarakat Islam melalui forum-forum dalam akhbar berkisar dengan isu ini.

Dalam ruangan Forum akhbar harian Utusan Malaysia contohnya, terdapat dua orang pembaca mengemukakan pendapat dan persoalan bersangkutan isu murtad. Jamal Lulkhir Jaludin menyatakan hasrat kepada pihak berwajib untuk menubuhkan suruhanjaya siasatan khas atau Suruhanjaya Diraja untuk menangani polemik isu Gereja-JAIS ini demi untuk mengungkai persoalan-persoalan yang tidak seharusnya didiamkan sahaja daripada umum kerana mereka harus untuk mengetahui perkara sebenar yang berlaku. Seorang lagi pembaca, Hariz Chong menimbulkan persoalan kesempitan hidup atau tekanan ekonomi sebagai punca yang membuka peluang kepada gerakan untuk memurtadkan orang Islam melalui penyampaian bantuan. Maka, peranan Baitulmal sebagai institusi untuk mengagihkan zakat kepada para asnaf yang berkelayakan telah dipersoalkan.[13]

4.3.2 Konflik Hubungan Etnik

Secara konsepsualnya, hubungan etnik dalam konteks hubungan intraetnik iaitu hubungan dalam satu keturunan etnik lebih menunjukkan kesan berbanding konteks hubungan interetnik. Orang Melayu digolongkan kepada dua pecahan iaitu golongan yang mengidentifikasikan diri kepada UMNO dan golongan yang mengidentifikasikan diri kepada PAS. Identifikasi diri kepada parti-parti tertentu ini boleh dikaitkan dengan bahan bacaan dan sumber maklumat mereka berkenaan isu Gereja-JAIS. Orang Melayu yang cenderung kepada UMNO akan menggunakan media arus perdana sebagai sumber maklumat manakala orang Melayu yang cenderung kepada PAS akan menggunakan media alternatif untuk mengetahui maklumat berhubung isu ini. Penerimaan maklumat ini akan secara tidak langsung membentuk pendapat dan sikap awam berkenaan satu-satu isu. Maka, pendapat awam berkenaan isu ini adalah berbeza antara orang Melayu UMNO dan orang Melayu PAS. Perbezaan pendapat ini lazimnya akan mengakibatkan konflik jika ia tidak dikawal dengan kebijaksanaan dan didorong emosi yang terlampau.

Begitu juga dengan kecenderungan untuk terjadinya konflik hubungan interetnik iaitu antara orang Melayu beragama Islam dengan orang bukan Melayu yang bukan beragama Islam terutamanya Kristian. Polemik yang dihangatkan melalui media massa tanpa kawalan tentunya membuka peluang kepada tekanan hubungan etnik untuk berlaku. Maka, ia perlu diselesaikan dengan melihat terlebih dahulu kepada laporan rasmi daripada JAIS. Dalam hal ini, orang Melayu akan mempunyai kecurigaan dan buruk sangka terhadap gereja dan orang bukan Islam yang dianggap sentiasa mencari peluang untuk memurtadkan orang Islam melalui taktik pemberian bantuan kepada golongan miskin dan ibu tunggal. Orang bukan Islam pula berkecenderungan untuk bersikap ragu-ragu terhadap orang Melayu Islam yang ingin memelihara kesucian agama tetapi dalam masa yang sama menceroboh rumah ibadat agama lain tanpa adab dan tatacara yang betul. Sesungguhnya, perkara-perkara yang membibitkan kekeruhan hubungan etnik ini merupakan satu cabaran besar kepada perpaduan etnik di Malaysia.

5.1 RUMUSAN

Esei ini telah membincangkan isu Gereja-JAIS yang mendapat liputan meluas daripada media arus perdana mahupun media alternatif. Ia turut menimbulkan perdebatan dalam kalangan ahli politik, ahli akademik, aktivis-aktivis dalam badan bukan kerajaan dan orang awam. Bagi memandu perbincangan dalam esei ini Teori Masyarakat Majmuk, Teori Marxisme berkenaan unsur materialisme dan konsep hubungan interetnik serta intraetnik telah digunakan. Isu ini berkisar tentang pertentangan pendirian antara Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Exco Kerajaan Negeri, Datuk Dr. Hasan Ali sama ada tindakan JAIS ke atas Gereja Mathodist Damansara Utama itu ialah serbuan atau pemeriksaan. Pelbagai isu berbangkit muncul berkenaan pemeriksaan JAIS ini seperti isu titah Sultan Selangor yang tidak memperkenankan penubuhan sebuah majlis syura untuk menyelesaikan isu tersebut, isu status premis Gereja Methodist Damansara Utama dan isu pertentangan pendirian dalam PAS antara Dewan Pemuda PAS dengan pimpinan tertinggi PAS. Maka, gembar-gembur isu dalam media massa telah mewujudkan kesan terhadap politik dan masyarakat. Perspektif politik menunjukkan isu ini telah mengakibatkan politicking antara parti pemerintah iaitu UMNO-BN dan parti pembangkang PAS-Pakatan Rakyat. Isu-isu yang dimainkan seperti gerakan untuk memurtadkan orang Islam, matlamat perjuangan PAS yang tidak konsisten berkenaan isu murtad, peranan institusi Baitulmal dan pendirian Menteri Besar Selangor yang dipengaruhi kepentingan politik sehingga mengabaikan soal kesucian agama Islam. Selain itu, muncul gerakan masyarakat sivil melalui tindakan badan bukan kerajaan dalam penghantaran memorandum dan demonstrasi memprotes Menteri Besar Selangor. Tindakan masyarakat sivil ini telah dihuraikan dengan mengambil konsep penyertaan politik yang bercorak konvensional dan bukan konvensional. Isu ini juga telah mengimpak ke atas masyarakat Islam khususnya dan masyarakat Malaysia amnya. Hal ini kerana terdapat kerisauan dalam kalangan masyarakat Islam yang diterjemahkan menerusi penggunaan media baharu iaitu Facebook dan pendapat-pendapat dalam forum di akhbar-akhbar harian. Konteks masyarakat Malaysia pula menunjukkan isu ini sebagai satu ancaman kepada kejernihan hubungan etnik di Malaysia. Perasaan buruk sangka dan curiga dalam kalangan etnik di Malaysia dihangatkan dengan polemik yang wujud sekitar isu Gereja-JAIS. Maka, ia boleh menggagalkan usaha ke arah pelaksanaan konsep 1Malaysia. Kesimpulannya, masyarakat Islam harus sepakat dalam menangani isu murtad tanpa mengira fahaman politik kerana ia merupakan jihad untuk memelihara kesucian dan maruah agama Islam itu sendiri daripada dipersendakan. Bertitik tolak daripada itu, hal-hal toleransi antara agama dan etnik harus mengikut lunas-lunas dalam Perlembagaan Persekutuan kerana ia merupakan undang-undang tertinggi dalam negara. Maka, penyelesaian harus diambil bagi menangani isu murtad dengan melihat punca sebenar kehadiran 12 orang Islam ke majlis di gereja tersebut. Institusi Baitulmal sebagai pengurus zakat harus mereformasikan institusi tersebut daripada mengikut negeri kepada peringkat persekutuan agar ia lebih cekap dalam menangani masalah ekonomi umat Islam dan mengurangkan kerenah birokrasi dalam pengagihan hasil zakat kepada asnaf-asnaf. Akhirnya, masyarakat pelbagai etnik dan agama di Malaysia harus berupaya untuk mengekalkan kejernihan hubungan berlandaskan prinsip perpaduan, keharmonian dan kesaksamaan yang menjadi teras gagsan 1Malaysia.

RUJUKAN

Abdul Hadi Awang. 2011. Hak pertahan Islam dan kebebasan beragama. Harakah, 12-14 Ogos: 4-5.

Abdul Shukor Harun. 2011. Toleransi kaum, agama perlu dipertahan. Harakah, 12-14 Ogos: F8.

Abdul Yazid Alias. 2011a. NGO Islam turut personal terdapat nyanyian ‘Allahuakbar’ dan ‘Alhamdulillah’: kuiz Islam ditemui dalam gereja. Utusan Malaysia, 10 Ogos: 5.

Abdul Yazid Alias. 2011b. JAIS didakwa sebu sebuah gereja di Petaling Jaya: MB Selangor minta laporan. Utusan Malaysia, 5 Ogos: 3.

Abdul Yazid Alias. 2011c. Tindakan minta maaf kepada gereja tanpa tunggu penjelasan JAIS dikesali: mangkuk tandas untuk MB. Utusan Malaysia, 11 Ogos: 5.

Azian Aziz. 2011. Lebih 7,000 orang beri sokongan kepada JAIS, Hasan Ali di Facebook. Utusan Malaysia, 9 Ogos: 11.

Azian Aziz. 2011. 45 NGO Islam Selangor desak PKR tidak campur hal ehwal agama Islam: hantar memorandum kepada Sultan. Utusan Malaysia, 9 Ogos: 11.

Franz Magnis Suseno. 2003. Pemikiran Karl Marx dari sosialisme utopis ke perselisihan revisionisme. Jakarta: PT Gramedia Pustaka Utama.

Mansor Mohd Noor, Abdul Rahman Abdul Aziz & Mohamad Ainuddin Iskandar Lee. 2006. Hubungan etnik di Malaysia. Kuala Lumpur: Pearson.

Mohd Asron Mustapha. 2011. Isu gereja bukti kegagalan pembangkang. Utusan Malaysia, 15 Ogos: 4.

Muhamad Nadzri Mohamed Noor. 2009. Politik Malaysia di persimpangan praktik politik dalam PRU 2008 dan kontemporari. Petaling Jaya: Strategic Information & Research Development Centre.

Muhammad Uthman El Muhammady (pntrj). 2009. Asal-usul masyarakat manusia: rangkaian hubungan sosial. Kuala Lumpur: Institut Terjemahan Negara Malaysia.

Wilson, F.L. 1996. Concepts and issues in comparative politics: an introduction to comparative analysis. New Jersey: Prentice Hall.

Zaid Ahmad et al. 2010. Hubungan etnik di Malaysia. Shah Alam: Oxford Fajar.

Zaini Othman. 2008. Masyarakat sivil dan pendemokrasian. Dlm. Ghazali Mayudin (pnyt.). Poltik Malaysia perspektif teori dan praktik. Edisi ke-2. Hlm. 39-59. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.

2011. Forum. Utusan Malaysia, 9 Ogos: 14

2011. Isu gereja: pendirian UMNO selari dengan perlembagaan. Utusan Malaysia, 20 Ogos: 3.

2011. Pas jangan tegakkan perjuangan DAP terutama isu gereja di Damansara Utama. Utusan Malaysia, 18 Ogos: 8.

2011. UMNO selalu berlagak juara dalam isu Islam. Harakah, 12-14 Ogos: N26.


[1] Abdul Yazid Alias. 2011a. NGO Islam turut personal terdapat nyanyian ‘Allahuakbar’ dan ‘Alhamdulillah’: kuiz Islam ditemui dalam gereja. Utusan Malaysia, 10 Ogos: 5.

[2] Abdul Yazid Alias. 2011b. JAIS didakwa sebu sebuah gereja di Petaling Jaya: MB Selangor minta laporan. Utusan Malaysia, 5 Ogos: 3.

[3] 2011. Pas jangan tegakkan perjuangan DAP terutama isu gereja di Damansara Utama. Utusan Malaysia, 18 Ogos: 8.

[4] 2011. Isu gereja: pendirian UMNO selari dengan perlembagaan. Utusan Malaysia, 20 Ogos: 3.

[5] Mohd Asron Mustapha. 2011. Isu gereja bukti kegagalan pembangkang. Utusan Malaysia, 15 Ogos: 4.

[6] Ibid.

[7] Abdul Hadi Awang. 2011. Hak pertahan Islam dan kebebasan beragama. Harakah, 12-14 Ogos: 4-5.

[8] 2011. UMNO selalu berlagak juara dalam isu Islam. Harakah, 12-14 Ogos: N26.

[9] Abdul Shukor Harun. 2011. Toleransi kaum, agama perlu dipertahan. Harakah, 12-14 Ogos: F8.

[10] Azian Aziz. 2011. 45 NGO Islam Selangor desak PKR tidak campur hal ehwal agama Islam: hantar memorandum kepada Sultan. Utusan Malaysia, 9 Ogos: 11.

[11] Abdul Yazid Alias. 2011c. Tindakan minta maaf kepada gereja tanpa tunggu penjelasan JAIS dikesali: mangkuk tandas untuk MB. Utusan Malaysia, 11 Ogos: 5.

[12] Azian Aziz. 2011. Lebih 7,000 orang beri sokongan kepada JAIS, Hasan Ali di Facebook. Utusan Malaysia, 9 Ogos: 11.

[13] 2011. Forum. Utusan Malaysia, 9 Ogos: 14.

Ulasan