MANAKAH YANG LEBIH DIPENTINGKAN OLEH RAKYAT AMERIKA SYARIKAT, KEBEBASAN ATAU KESELAMATAN? BAHASKAN.

1.1 1.1 PENGENALAN

Amerika Syarikat merupakan sebuah negara yang ditegakkan dengan semangat liberalisme, mengamalkan pemerintahan demokrasi dan sistem ekonomi kapitalisme. Kesemua ini meletakkan nilai kebebasan sebagai sesuatu yang ideal. Kebebasan ini sering digerhanakan dengan persoalan nilai keselamatan terutama ketika era Perang Dingin dan pasca 11 September 2001. Maka, pertimbangan harus diberikan kepada dua nilai ini. Esei ini membahaskan pendirian rakyat Amerika yang lebih mementingkan kebebasan berbanding keselamatan. Ia dibahagikan kepada bahagian-bahagian tertentu iaitu bahagian kerangka konseptual, bahagian hujah-hujah yang mendokong pendirian bahawa rakyat Amerika lebih mementingkan kebebasan dan bahagian rumusan. Bahagian kerangka konseptual akan menghuraikan konsep kebebasan dan keselamatan. Penghuraian konsep kebebasan akan dimulakan dengan pendefinisian kebebasan menurut Harrison dan Boyd (2003). Seterusnya, huraian konsep kebebasan akan digarap daripada dua pemikir utama berkenaan kebebasan iaitu John Stuart Mill dan Isaiah Berlin serta petikan ucapan oleh Presiden Amerika Syarikat, Franklin Delano Roosevelt bertajuk The Four Freedom. Bagi konsep keselamatan pula, ia memfokuskan konsep keselamatan negara dan keselamatan insan dengan memetik kajian Sity dan Zarina (2005). Pada bahagian seterusnya, tumpuan diberikan kepada hujah-hujah yang mendokong pendirian bahawa rakyat Amerika lebih mementingkan kebebasan berbanding keselamatan. Hujah-hujah ini dikemukakan dengan menggunakan kaedah bidang politik perbandingan yang disarankan oleh Mahler (1995) dan Wilson (1996). Kaedah-kaedah tersebut ialah analisis berkenaan sejarah, analisis institusi atau struktur kerajaan, kajian kes, dasar awam dan tingkah laku politik. Setiap kaedah ini akan dihuraikan dengan mencontohkan beberapa hal yang berkaitan dengan peristiwa-peristiwa penting dalam peradaban di Amerika Syarikat dan penjelasan berkenaan asas-asas atau falsafah di sebalik prinsip-prinsip yang terkandung dalam kehidupan bernegara di Amerika Syarikat. Selainnya, bahagian ini akan memasukkan beberapa perangkaan atau statistik hasil dapatan kajian sarjana Amerika Syarikat berkenaan pendapat awam tentang kebebasan dan keselamatan. Akhirnya, bahagian rumusan esei ini akan mencakupi keseluruhan idea dan fakta seterusnya menyimpulkan pendirian bahawa rakyat Amerika lebih mementingkan nilai kebebasan berbanding nilai keselamatan.


2.1 KERANGKA KONSEPTUAL: KEBEBASAN DAN KESELAMATAN

Persoalan berkenaan nilai kebebasan dan keselamatan sering menimbulkan dilema. Andaiannya, kebebasan yang mutlak akan mengancam keselamatan orang lain kerana tingkah laku seseorang atau sekumpulan individu yang tidak terkawal akan merosakkan ketertiban dalam masyarakat. Suasana sebegini akan didapati dalam keadaan anarki yang mana tiada autoriti yang berhak untuk mengawal tingkah laku manusia. Penekanan yang berlebihan kepada keselamatan pula akan membataskan kebebasan individu kerana sekatan-sekatan yang dikenakan dalam bentuk undang-undang oleh autoriti berkecenderungan untuk bersifat menekan dan menindas. Tekanan dan penindasan terhadap seseorang individu akan mengekang kebebasan dirinya untuk memperkembang potensi diri seterusnya menghilangkan penghargaan kepada nilai-nilai kemanusiaan atau semangat humanisme. Walau bagaimanapun, kedua-dua nilai ini mempunyai idealnya yang tersendiri dan dalam pada masa yang sama mempunyai kecenderungan untuk membawa keburukan. Oleh itu, bahagian ini akan menghuraikan konsep kebebasan dan keselamatan yang secocok dengan perbincangan mengenai rakyat Amerika.


2.2 Konsep Kebebasan

Kebebasan didefinisikan oleh ahli sosiologi Jerman, Ralf Dahrendorf sebagai suatu keadaan yang tiada paksaan. Ia dinilai dari segi sejauh mana seseorang manusia mampu untuk melaksanakan kehendak berdasarkan keputusan sendiri. Dalam keadaan bebas, perbuatan kekerasan dapat diminimumkan (Faisal 2011: 5). Namun, konsep kebebasan mempunyai pelbagai perspektif seperti kebebasan politik, ekonomi dan sosial. Ia juga dibezakan mengikut perspektif pemikir yang datang daripada latar belakang yang berlainan, sama ada tempat, masa mahupun budaya. Di Amerika Syarikat, kebebasan sivil dijamin dalam perisytiharan Bill of Rights iaitu dalam Pindaan Pertama atau First Amendment. Peruntukan ini menjamin kebebasan beragama, kebebasan berucap, kebebasan akhbar dan kebebasan untuk berhimpun.


2.2.1 Kebebasan dalam Konteks Wacana Politik

Menurut Harrison dan Boyd (2003), kebebasan sering diistilahkan sebagai liberty atau freedom. Istilah liberty membawa konotasi berkenaan sistem politik dalam sesebuah masyarakat, batasan-batasan perlembagaan ke atas kuasa kerajaan dan jaminan kebebasan dalam perlembagaan. Penggunaan perkataan freedom pula lebih longgar berbanding liberty kerana ia meliputi hubungan kebebasan dengan kerajaan dan kebebasan bagi individu dalam masyarakat. Perbezaannya ialah pada tahap prestij istilah liberty dan freedom yang mana istilah liberty lebih berprestij berbanding freedom.

Konteks wacana politik menekankan beberapa unsur penting bagi kebebasan iaitu kebebasan individu, kebebasan untuk memberi pendapat dan meluahkan perasaan, kebebasan menurut undang-undang, kebebasan ekonomi, harta dan kebebasan serta kebebasan nasional (Harrison & Boyd 2003: 85). Pertama, kebebasan individu meliputi kebebasan untuk meluahkan perasaan, kebebasan untuk berucap, kebebasan untuk beragama dan kebebasan untuk bergerak. Kedua, kebebasan untuk memberi pendapat dan meluahkan perasaan penting bagi menggerakkan pendapat berbeza berkenaan hal akademik, keagamaan dan pendapat politik agar persaingannya membantu ke arah kehidupan yang lebih baik. Ketiga, kebebasan menurut undang-undang menyediakan set batasan-batasan terhadap tingkah laku sosial yang mana kegagalan untuk mematuhinya akan menyebabkan seseorang itu dihukum. Batasan ini diadakan supaya perasaan bahawa kebebasan itu harus dihargai dengan sebaik-baiknya. Keempat, kebebasan ekonomi adalah untuk menjamin individu atau sesuatu perniagaan mencapai objektifnya tanpa campur tangan kerajaan. Dengan itu, peniaga-peniaga mempunyai kebebasan untuk mencapai keuntungan maksimum manakala para pekerja mempunyai kebebasan untuk mencapai kepuasan diri dalam sebuah sistem ekonomi yang cekap dan bermanfaat untuk kesejahteraan semua. Kelima, harta atau property dan kebebasan mempunyai dua konsep yang berbeza. Property bukan hanya dimaksudkan sebagai harta. Ia juga bermaksud pemilikan individu terhadap tubuh badan dan kapasiti diri yang boleh dirampas melalui penahanan tanpa bicara. Pandangan liberal pula mengandaikan bahawa pemilikan harta menentukan kebebasan individu. Semakin banyak harta, semakin tinggi kebebasan dirinya. Keenam, kebebasan nasional berkait rapat dengan kedaulatan nasional bagi konsep negara dan bangsa. Ia memberi kebebasan kepada semua bangsa untuk berkerajaan sendiri tanpa dominasi mahupun kawalan bangsa lain. Kebebasan nasional ini memberi sesebuah bangsa kebebasan untuk menjalankan kuasa politik dan undang-undang ke atas wilayahnya.


2.2.2 Mill dan Berlin: Kebebasan daripada Perspektif Pemikir Utama Kebebasan

Huraian berkenaan kebebasan tidak akan lengkap tanpa melihat kepada idea dua pemikir utama kebebasan. John Stuart Mill dan Isaiah Berlin merupakan dua orang pemikir utama yang menyumbangkan idea kepada perdebatan definisi kebebasan. Tujuannya adalah untuk memperluas pandangan mengenai konsep kebebasan yang merupakan gagasan besar dan penting dalam pembinaan negara Amerika Syarikat.

Konsep kebebasan menurut Mill dapat dirungkai daripada karya klasiknya yang berjudul On Liberty (1859). Kebebasan menurut Mill cenderung kepada kebebasan negatif atau negative freedom iaitu kebebasan yang memerlukan sekatan. Kebebasan juga merupakan asas kepada perkembangan moral dan kebolehan penaakulan manusia dengan sepenuhnya. Manusia harus mempunyai kebebasan untuk memilih agar mereka dapat menentukan sendiri apa yang membahagiakan diri sendiri. Namun, pergerakan massa dalam amalan demokrasi cenderung untuk mengancam kebebasan individu dalam ruangan peribadi. Hal ini kerana terdapatnya apa yang dirujuk sebagai tyranny of the majority. Selain itu, perlakuan yang mengancam orang lain dalam masyarakat harus dibataskan dengan sekatan-sekatan daripada individu lain atau kerajaan. Hal ini kerana kebebasan tidak seharusnya membawa kerosakan kepada orang lain. Apabila kerosakan terjadi akibat perlakuan seseorang, maka perlakuan itu harus disekat agar ia dapat mengelakkan kemudaratan. Sehubungan dengan itu, wujud perdebatan untuk menentukan ukuran kerosakan kepada orang lain kerana terdapat kerosakan yang boleh dilihat serta-merta dan ada pula kerosakan yang memerlukan masa yang panjang untuk memperlihatkan kesannya. Maka, konsep kebebasan oleh Mill ini amat sesuai dioperasikan dalam masyarakat demokratik Barat sebelum abad ke-19 tetapi kesejagatannya dari segi tempat dan masa boleh diragukan (Harrison & Boyd 2003: 92-93).

Berbanding hujah klasik oleh Mill, Berlin pula menggagaskan ideanya berkenaan konsep kebebasan dalam karya berjudul Two Concepts of Liberty (1958). Berlin menggariskan dua jenis kebebasan iaitu kebebasan positif atau positive freedom dan kebebasan negatif atau negative freedom. Positive freedom ialah kebebasan untuk melakukan sesuatu tindakan. Ideal bagi kebebasan ini ialah sikap optimisnya terhadap tanggungjawab kerajaan dalam membantu seseorang individu untuk mencapai potensi diri ke peringkat maksimum. Dalam hal ini, bantuan harus diberikan kerana seseorang itu mempunyai kekangan semulajadi lantas membataskan keinginan untuk bebas sebebas-bebasnya. Bentuk bantuan yang harus dihulurkan oleh kerajaan adalah dalam bentuk pendidikan dan bantuan kewangan kepada golongan miskin agar mereka dapat mengembangkan potensi diri. Namun, terdapat kritikan bagi positive freedom ini. Pada satu tahap tertentu, wujud segolongan individu yang berada pada tahap yang lebih baik berbanding individu lain. Golongan ini lazimnya tidak mempunyai rasa empati terhadap yang golongan yang kurang bernasib baik (Harrison & Boyd 2003: 93-94).

Negative freedom pula menekankan kebebasan daripada sekatan luaran. Melalui konsep ini, seseorang berhak untuk menikmati kebebasan yang dimiliki selagi ia tidak melanggar undang-undang dan adat. Maka, kerajaaan harus bertanggungjawab untuk menyediakan kerangka perundangan yang menentukan batasan-batasan kebebasan bagi seseorang individu. Hal ini kerana kebebasan bukan hak segelintir tetapi semua manusia. Dalam negative freedom, kerajaan tidak mempunyai peranan untuk menyediakan bantuan dalam bentuk pendidikan mahupun kewangan sebagaimana yang dipraktikkan dalam positive freedom. Menurut Berlin, peranan kerajaan untuk menyediakan perkara-perkara tersebut akan menyerahkan pilihan individu dalam pendidikan dan ekonomi kepada kerajaan sehingga menyebabkan kebebasan untuk membuat pilihan tidak lagi menjadi hak individu. Terdapat juga kritikan bahawa negative freedom ini tidak menyediakan ideal sebagaimana positive freedom dari segi bantuan untuk individu memperkembangkan potensi diri (Harrison & Boyd 2003: 94-95). Namun, ciri inilah yang membezakan antara negative freedom dan positive freedom. Negative freedom memberi kebebasan dalam hal kebajikan kerana individu harus menentukan pilihannya manakala positive freedom tertakluk kepada bantuan yang diberikan oleh kerajaan. Bantuan oleh kerajaan ini akan membataskan pilihan individu kerana ia perlu patuh kepada pilihan kerajaan tetapi idealnya ia membantu individu untuk mencapai kebebasan.


2.2.3 Ucapan The Four Freedoms oleh Franklin Delano Roosevelt

Franklin Delano Roosevelt (1882-1945) merupakan Presiden Amerika Syarikat yang memegang jawatan Presiden sebanyak tiga kali tempoh jawatan. Beliau menyampaikan ucapan The Four Freedoms ini pada bulan Januari 1941. Ucapan ini begitu penting kerana ia disampaikan ketika dunia berada di ambang Perang Dunia Kedua. Pada bulan Disember 1941, pengkalan tentera Amerika Syarikat di Pearl Harbor telah diserang oleh tentera Jepun. Ucapan ini menekankan empat kebebasan asas yang menjadi idaman masyarakat dunia setelah peperangan tamat. Hal ini menggambarkan bahawa matlamat akhir peperangan yang disertai Amerika Syarikat adalah untuk mencapai kebebasan. Ia membuktikan betapa tingginya nilai kebebasan yang diletakkan oleh Amerika Syarikat.

Empat kebebasan yang ditekankan oleh Roosevelt adalah yang pertama, kebebasan untuk berucap iaitu memberi pandangan dan berbincang di mana-mana sekalipun di dunia ini. Kedua, kebebasan untuk beragama. Ketiga, kebebasan daripada kehendak atau ekonomi yang makmur dalam kalangan penduduk dunia. Keempat, kebebasan daripada ketakutan iaitu ancaman persenjataan sesebuah negara ke atas negara lain (Hermoyo 2005: 208-209). Keempat-empat kebebasan ini boleh dikategorikan kepada dua iaitu kebebasan untuk melakukan sesuatu tanpa sekatan kepada tingkah laku (freedom of) dan kebebasan daripada ancaman luaran (freedom from). Freedom of terdiri daripada kebebasan untuk berucap dan kebebasan untuk beragama manakala freedom from terdiri daripada kebebasan daripada kehendak dan kebebasan daripada ketakutan (Janda et al. 2009: 13).

2.3 Konsep Keselamatan

Menurut Alagappa (1998) dan Hammerstad (2000), dipetik dalam Sity dan Zarina (2005), konsep keselamatan merupakan konsep baharu dan sering digunakan dalam disiplin sains sosial. Walau bagaimanapun, konsep ini kabur kerana tiada keseragaman dalam pendefinisiannya. Ia dibayangi dengan persoalan tentang keselamatan apa, keselamatan untuk siapa, keselamatan yang bagaimana dan sebagainya. Maka, bagi pendefinisian secara umum, keselamatan diertikan sebagai keadaan yang bebas daripada ancaman (Sity dan Zarina 2005: 187-188).

2.3.1 Konsep Keselamatan Negara dan Keselamatan Insan

Terdapat dua konsep utama berkenaan pengajian keselamatan iaitu keselamatan negara dan keselamatan insan. Bagi Trout dan Harf (1982), dipetik dalam Sity dan Zarina (2005), keselamatan negara merupakan satu konsep yang dirintis oleh Amerika Syarikat setelah tamatnya Perang Dunia Kedua. Matlamatnya adalah untuk mempertahankan sempadan sesebuah negara daripada diceroboh kuasa ketenteraan seterusnya mengekalkan kemerdekaan dan kedaulatannya. Konsep keselamatan negara ini dapat dilihat daripada perspektif hubungan antarabangsa iaitu realisme. Selain konsep keselamatan negara, konsep keselamatan insan turut mendapat perhatian para sarjana yang mengkaji jaringan keselamatan dunia. Keselamatan insan menurut Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) meliputi tujuh kategori iaitu ekonomi, makanan, kesihatan, persekitaran, peribadi, masyarakat dan politik (Sity dan Zarina 2005: 190). Terdapat juga perkara-perkara lain yang mendapat perhatian PBB bagi menkonseptualkan keselamatan insan iaitu kebuluran, konflik etnik, keganasan, pencemaran, dan perdagangan dadah. Sehubungan itu, konsep keselamatan insan ini adalah berasaskan andaian bahawa insan atau rakyat harus didahulukan dalam aspek kualiti hidup atau jika tidak, ia akan menjadi ancaman kepada keselamatan negara.

2.3.2 Perbandingan Konsep Keselamatan Negara dan Keselamatan Insan

Berdasarkan perbincangan Sity dan Zarina (2005), konsep keselamatan insan dan keselamatan negara boleh dijelaskan menerusi perbezaan-perbezaan yang terdapat pada beberapa aspek iaitu unit analisis, punca ancaman, isu ancaman dan unsur ancaman. Pertama, unit analisis bagi keselamatan negara ialah negara itu sendiri manakala keselamatan insan menjadikan insan atau rakyat atau penduduk di sesebuah negara itu sebagai alat analisis. Kedua, punca ancaman bagi keselamatan negara ialah ancaman luaran iaitu negara lain. Keselamatan insan menerima ancaman luaran sebagai punca tetapi ia mengiktiraf punca ancaman domestik seperti yang telah dicadangkan oleh PBB. Ketiga, isu ancaman keselamatan negara menekankan isu ketenteraan (ancaman tradisional) manakala keselamatan insan turut menerima isu ancaman ketenteraan tetapi lebih terfokus kepada isu bukan ketenteraan (ancaman bukan tradisional) seperti isu pencemaran dan keganasan yang bersifat sejagat. Keempat, unsur ancaman dalam keselamatan negara datang daripada aktor negara manakala keselamatan insan menerima unsur ancaman daripada aktor negara dan bukan negara seperti organisasi antarabangsa yang bersifat politikal dan syarikat multinasional yang bersifat ekonomi.

Secara lebih mendalam, kedua-dua konsep keselamatan yang dibincangkan ini membezakan persoalan keselamatan antara negara-negara yang digolongkan kepada Negara Dunia Pertama, Negara Dunia Kedua dan Negara Dunia Ketiga. Negara-negara Dunia Pertama dan Kedua menekankan soal keselamatan negara kerana kedua-duanya berhadapan dengan persoalan dilema keselamatan atau security dilemma yang menyatakan bahawa sesebuah negara mengandaikan pengumpulan kekuatan ketenteraan negara lain sebagai persediaan untuk menyerang negara mereka. Namun, bagi Negara Dunia Ketiga atau negara membangun, persoalan keselamatan datang daripada keselamatan insan. Ancaman-ancaman seperti kebuluran, konflik etnik, pencemaran alam sekitar dan wabak penyakit dalam kalangan penduduk di sesebuah negara itu sendiri akan membahayakan keselamatan negara untuk terus kekal sebagai negara yang merdeka dan berdaulat. Hal ini kerana ancaman-ancaman sebegini boleh membuka ruang kepada campur tangan asing daripada aktor negara dan bukan negara terhadap hal-hal domestik di Negara Dunia Ketiga.


3.1 PERSOALAN KEBEBASAN DAN KESELAMATAN DALAM KALANGAN RAKYAT AMERIKA SYARIKAT

Berdasarkan kerangka konseptual iaitu kebebasan dan keselamatan, jelas bahawa konsep kebebasan mempunyai gagasan yang lebih terdahulu dan luas berbanding konsep keselamatan. Idea berkenaan kebebasan boleh dirungkai sejak abad ke-16 lagi apabila ahli falsafah liberal Inggeris, John Locke mengutarakan ideanya berkenaan penolakan terhadap hak ketuhanan raja atau divine rights of the king dan mengiktiraf kerajaan yang ditubuhkan atas dasar kontrak sosial dalam karya berjudul Two Treaties of Government. Kerajaan yang disarankan oleh Locke ini harus memelihara hak-hak individu untuk bebas, hidup dan memiliki harta. Gagasan idea kebebasan ini dijelmakan lagi dalam bentuk kerajaan terhad atau limited government yang menjadi asas kepada kerajaan Amerika Syarikat kerana ia mengambil falsafah-falsafah dan tradisi Inggeris sebagai panduan untuk menubuhkan kerajaan.

Soal keselamatan pula hanya timbul di Amerika Syarikat dengan meluas apabila negara tersebut terlibat dalam Perang Dunia Kedua dan Perang Dingin sekitar tahun 1940-an dan 1950-an. Ia timbul kerana wujudnya dilema keselamatan antara Amerika Syarikat dengan Kesatuan Soviet. Isu keselamatan ini timbul kembali pada abad ke-21 iaitu selepas peristiwa serangan 11 September 2001 ke atas World Trade Center dan Pentagon. Kali ini, isu keselamatan dan kebebasan jauh lebih jelas dalam konteks masyarakat Amerika kerana pengenalan Patriot Act yang bertujuan menjamin keselamatan negara telah dipersoalkan kerana sesetengah peruntukannya mencabuli kebebasan sivil.

Selain itu, kebebasan juga adalah lebih besar gagasannya berbanding keselamatan. Hujah ini disandarkan kepada analisis konseptual keselamatan. Pendefinisian secara umum bagi keselamatan ialah keadaan yang ‘bebas’ daripada ancaman (Sity dan Zarina 2005: 187-188). Pendefinisian keselamatan ini bergantung kepada kata ‘bebas’ itu sendiri. Apatah lagi, bebas yang dimaksudkan ialah bebas daripada ancaman. Ancaman lazimnya membangkitkan ketakutan. Secara tidak langsung, keselamatan boleh diterjemahkan sebagai kebebasan daripada ketakutan atau dikategorikan sebagai freedom from yang terkandung dalam negative freedom oleh Berlin atau freedom from fear dalam ucapan The Four Freedom oleh Roosevelt. Jelasnya, daripada segi konseptual, kebebasan merupakan asas kepada konsep keselamatan sebagaimana kenyataan,

“…civil liberties are the foundations of all kinds of security…”

(Jie 2004: 156)

3.2 Kaedah Analisis: Perbandingan Nilai Kebebasan dan Keselamatan daripada Perspektif Politik Perbandingan

Bagi merasionalkan pendirian bahawa rakyat Amerika lebih mementingkan kebebasan daripada keselamatan, analisis terhadap perkara ini akan menggunakan perspektif politik perbandingan. Politik perbandingan menjawab persoalan perbandingan bagi istilah-istilah relativiti seperti ‘lebih bebas’, ‘lebih selamat’, ‘lebih demokratik’ dan ‘lebih stabil’. Namun, dalam konteks perbandingan antara nilai kebebasan dan keselamatan ini, ia tidak membandingkan dua unit analisis dengan nilai tunggal. Analisis ini merupakan keterbalikan daripadanya iaitu perbandingan bagi dua nilai bagi satu unit analisis iaitu nilai kebebasan dan nilai keselamatan bagi satu unit analisis iaitu rakyat Amerika.

Oleh itu, beberapa kaedah analisis akan digunapakai bagi menghujahkan pendirian bahawa kebebasan lebih dipentingkan daripada keselamatan. Kaedah-kaedah tersebut ialah analisis berkenaan sejarah (Wilson 1996), analisis institusi (Wilson 1996) atau struktur kerajaan (Mahler 1995), analisis kajian kes (Wilson 1996), analisis dasar awam (Mahler 1995) dan analisis tingkah laku politik (Mahler 1995). Pertama, analisis berkenaan sejarah bertujuan melihat semula fakta-fakta sejarah Amerika Syarikat. Kedua, analisis institusi atau struktur kerajaan bertujuan melihat badan-badan dalam kerajaan iaitu legislatif, eksekutif dan judisiari. Ketiga, analisis kajian kes bertujuan melihat secara spesifik kepada satu-satu ciri politik khusus dalam sesebuah negara. Ia harus diperkuatkan dengan perbandingan dengan negara lain. Namun, dalam hal ini ia akan melihat kepada peristiwa serangan 11 September 2001 yang membawa kepada pencabulan kebebasan sivil. Ia akan diperkuatkan dengan perbandingan terhadap peristiwa serangan Pearl Harbor di Hawaii pada Disember 1941. Keempat, analisis dasar awam bertujuan untuk meneliti apa yang dilakukan oleh kerajaan. Kelima, analisis tingkah laku politik akan melihat kepada bagaimana rakyat bertindak dalam sesebuah sistem politik dan mengaitkannya dengan nilai-nilai yang dipegang oleh mereka.

3.3 Analisis Berkenaan Sejarah: Periode Revolusi Kemerdekaan Amerika, Periode Perangkaan Perlembagaan dan Negara dan Periode Pasca Perang Dunia Kedua dan Perang Dingin.

Bahagian ini bertujuan untuk membuktikan bahawa dalam ketiga-tiga periode sejarah penting Amerika Syarikat, slogan kebebasan atau liberty, asas-asas falsafah liberalisme yang menekankan nilai kebebasan dan matlamat untuk mempertahankan ideal kebebasan adalah sesuatu yang pokok bagi rakyat Amerika. Dalam pensejarahan Amerika Syarikat, soal keselamatan negara muncul buat pertama kali dalam dunia global pada selepas Perang Dunia Kedua dan ketika Perang Dingin berlangsung. Walau bagaimanapun, nilai kebebasan tetap menunjukkan keutuhannya dalam kalangan rakyat Amerika.

3.3.1 Periode Pertama: Revolusi Amerika

Revolusi Amerika yang bertujuan untuk memerdekakan koloni daripada cengkaman kolonial British memperlihatkan slogan kebebasan atau liberty sering muncul dalam setiap siri penentangan. Pada abad ke-18, rakyat Amerika menikmati kebebasan yang lebih baik berbanding bangsa-bangsa lain di dunia. Ia berlaku akibat penjajahan bangsa-bangsa asing ke atas tanah air masing-masing. Namun, setelah Peperangan Tujuh Tahun (1756-1763) antara Britain dan Perancis, Britain mengalami masalah ekonomi akibat hutang perbelanjaan peperangan yang banyak. Bebanan perbelanjaan peperangan ini telah dibebankan ke atas koloninya di Amerika. Pengenalan cukai-cukai yang membebankan seperti Sugar Act, Stamp Act dan Townshend Revenue Act telah mengakibatkan pemberontakan dalam kalangan rakyat Amerika daripada pelbagai warga di koloni-koloni. Antaranya ialah daripada golongan saudagar, peguam dan pedagang-pedangang mewah. Golongan-golongan ini mewujudkan persatuan antara koloni yang dinamakan Sons of Liberty (Janda et al. 2009: 57). Ia berobjektifkan penentangan terhadap cukai yang membebankan rakyat di koloni-koloni kerana tujuan cukai tersebut adalah untuk menanggung perbelanjaan perang dan kepentingan ekonomi pedagang British. Contohnya, pada bulan Oktober 1765, penduduk di Charleston, South Carolina telah mengibar bendera Britain dengan perkataan liberty melintanginya sebagai tanda protes terhadap Stamp Act. Beberapa bulan kemudian, golongan hamba pula telah berarak dan melaungkan slogan liberty sebagai tanda kesepaduan warga koloni menentang penindasan-penindasan kolonial. Selain daripada Sons of Liberty, wujud kumpulan yang tertumpu kepada wanita sahaja iaitu Daughters of Liberty yang berkiblatkan penentangan terhadap Britain (Janda et al. 2009: 57). Kumpulan ini mendesak pakaian buatan Britain disingkirkan daripada pasaran koloni-koloni Amerika. Dalam pada masa yang sama, mereka hanya makan makanan Amerika dan minum minuman teh herba tempatan sebagai tanda penentangan terhadap penindasan kebebasan mereka. Salah satu peristiwa penting dalam sejarah Revolusi Amerika ialah Boston Tea Party. Dalam peristiwa ini, kira-kira 50 hingga 60 orang penduduk yang berpakaian seperti peribumi Amerika telah membuang 350 kotak teh dari atas kapal sebagai tanda protes terhadap monopoli penjualan teh oleh Britain tanpa peluang kepada pedagang lain di koloni untuk terlibat sama dalam perdagangan teh (Shakila 2005: 34).

3.3.2 Periode Kedua: Perangkaan Perlembagaan

Perangkaan Perlembagaan Amerika 1788 mengambil masa yang panjang untuk diisytiharkan sebagai undang-undang bertulis yang lengkap bagi sebuah kerajaan yang kuat. Ia bermula dengan Declaration of Independence 1776. Deklarasi ini dikarang oleh Thomas Jefferson manakala ideanya digarap daripada John Adams. Idea-idea yang diterapkan dalam deklarasi ini mengambil semangat falsafah liberal Inggeris oleh John Locke. Terdapat tiga asas dalam deklarasi ini. Pertama, konsep inalienable right yang terdiri daripada hak untuk hidup, bebas dan kebahagiaan. Kedua, teori kontrak sosial yang menekankan persetujuan tanggungjawab dan peranan oleh kerajaan dengan rakyat yang mana kegagalan kerajaan untuk memelihara inalienable right akan mengakibatkan kerajaan sah untuk digulingkan. Ketiga, idea kerajaan terhad atau limited government yang menekankan campur tangan paling minimum oleh kerajaan dalam hal-hal kebebasan sivil dan ekonomi. Ketiga-tiga asas-asas kebebasan dalam tradisi liberal Inggeris ini dijelmakan dalam tiga bahagian utama Declaration of Independence 1776. Bahagian pertama, ia meliputi hak penting yang harus dinikmati oleh rakyat Amerika iaitu kehidupan, kebebasan dan kebahagiaan. Maka, kerajaan bertanggungjawab untuk memeliharan hak-hak tersebut dan jika gagal rakyat berhak untuk menukar kerajaan. Bahagian kedua, deklarasi ini menyenaraikan 27 tuduhan koloni terhadap Raja England diantaranya ialah Raja England tidak bersetuju untuk meluluskan undang-undang yang baik, mengenakan cukai tanpa kebenaran, menggantung perundangan Amerika dan memutuskan hubungan perdagangan luar Amerika. Bahagian ketiga pula menekankan hak koloni untuk bebas dan merdeka (Shakila 2005: 38).

Seterusnya, para Founding Fathers of America merangka Articles of Confederation yang turut mementingkan semangat republiksnisme. Ia diratifikasikan di kesemua 13 buah negeri pada 1 Mac 1781. Semangat kebebasan ini termaktub dalam Article II dalam Article of Confederation yang menjamin kedaulatan, kebebasan dan kemerdekaan tiga belas koloni yang telah mengisytiharkan kemerdekaan dalam Declaration of Independence 1776 pada awalnya. Penubuhan negara berbentuk konfederasi ini adalah untuk mengekalkan kuasa negeri-negeri. Ia selaras dengan prinsip republikanisme yang melihat kuasa kerajaan pusat yang berada jauh dari negeri-negeri sebagai ancaman ke atas kebebasan (Janda et al. 2009:64). Prinsip sebegini terbentuk akibat pengalaman sejarah koloni-koloni di bawah pemerintahan kolonial British. Akhirnya, Perlembagaan Amerika 1787 telah dikuatkuasakan bagi membentuk sebuah kerajaan yang kuat di peringkat nasional. Perlembagaan ini dibentuk setelah beberapa peristiwa penting yang menjurus ke arah pembentukannya iaitu Shays Rebellion, Virginia Plan dan New Jersey Plan. Terdapat tujuh artikel yang menjadi mukadimah atau preamble bagi Perlembagaan Amerika 1787. Ketiga-tiga artikel awal dalam perlembagaan ini memperuntukkan kuasa bagi tiga badan utama dalam kerajaan iaitu legislatif, eksekutif dan judisiari. Doktrin pemisahan kuasa menjadi panduan bagi pembentukan ketiga-tiga badan ini agar ia bebas antara satu sama lain seterusnya menyediakan fungsi semak dan imbang (Janda et al. 2009: 72).

3.3.3 Periode Ketiga: Pasca Perang Dunia Kedua dan Perang Dingin

Dalam sejarah Amerika Syarikat, pasca Perang Dunia Kedua menyaksikan persoalan keselamatan negara menjadi agenda penting dalam kerajaan. Keselamatan negara terus menjadi persoalan penting bagi Amerika Syarikat dalam era Perang Dingin (1947-1991) antara Amerika Syarikat dan sekutunya dengan Kesatuan Soviet dan sekutunya. Hal ini kerana wujudnya dilema keselamatan antara kedua-dua buah pakatan ketenteraan di bawah North Atlantic Treaty Organisation (NATO) bagi negara-negara blok kapitalis dan Warsaw Pact bagi negara-negara blok komunis. Walau bagaimanapun, persoalan kebebasan tetap menjadi nilai paling penting bagi Amerika Syarikat terutamanya dalam kalangan rakyat yang hidup di bawah pemerintahan demokrasi dan sistem ekonomi kapitalisme yang mendokong ideal kebebasan. Premis ini disandarkan kepada dua dasar Amerika Syarikat yang bertujuan memelihara negaranya dan sekutu-sekutu lain daripada ancaman ideologi komunisme.

Pertama, Truman Doctrine telah diimplementasikan oleh Presiden Amerika Syarikat, Harry S. Truman ketika Kesatuan Soviet mendokong perjuangan gerila komunis di Greece dan Turki pada tahun 1947. Doktrin ini bertujuan mempertahankan kedua-dua negara tersebut daripada jatuh ke tangan Kesatuan Soviet dan ideologi komunisme. Menurut Truman, doktrin ini berobjektifkan pembelaan terhadap rakyat yang bebas daripada penaklukan bersenjata oleh minoriti iaitu gerila komunis dan ancaman luar iaitu Kesatuan Soviet (Dye 1997: 662). Dalam erti kata lain, Amerika Syarikat cuba untuk melihara amalan demokrasi selain memelihara kawasan yang berpotensi untuk pasaran ekonominya.

Kedua, Amerika Syarikat mengamalkan containment policy untuk memelihara negara-negara terutamanya Negara Dunia Ketiga daripada menjadi diancam dan dikuasai ideologi komunisme. Marshall Plan iaitu rancangan pemulihan ekonomi yang diperkenalkan sempena nama Setiausaha Negara, George C. Marshall merupakan salah satu program di bawah containment policy. Rancangan pemulihan ekonomi untuk negara-negara Eropah Barat merupakan satu usaha untuk membangunkan semula negara-negara setelah lumpuh akibat Perang Dunia Kedua. Dengan usaha sebegini, negara-negara tersebut diharapkan agar dapat dipertahankan daripada pengaruh dan penaklukan komunis. Daripada perspektif ketenteraan pula, Amerika Syarikat telah menyertai beberapa siri peperangan yang melibatkan penentangan terhadap tentera negara komunis seperti Perang Korea pada bulan Jun 1945 dan Perang Vietnam pada bulan Februari 1965 (Dye 1997:662-664).

Sesungguhnya, komitmen Amerika Syarikat dalam program pemulihan ekonomi dan peperangan ini menunjukkan sikap Amerika Syarikat yang mementingkan keselamatan negara daripada ancaman luar iaitu ideologi komunisme. Namun, matlamat akhir bagi Amerika Syarikat adalah untuk mempertahankan amalan demokrasi dan kapitalisme kerana Perang Dingin itu sendiri merupakan perang ideologi antara Negara Dunia Pertama dan Negara Dunia Kedua. Hal ini jelas membuktikan bahawa nilai kebebasan menjadi matlamat hakiki bagi Amerika Syarikat dalam Perang Dingin. Secara tidak langsung, ia menunjukkan bahawa nilai kebebasan menjadi pertimbangan penting bagi rakyat Amerika yang hidup di bawah sistem politik demokrasi berpresiden dan sistem ekonomi kapitalisme yang berkiblatkan pasaran bebas dengan alasan keselamatan negara.

3.4 Analisis Institusi atau Struktur Kerajaan: Badan Legislatif, Eksekutif dan Judisiari dalam Konsep Pengasingan Kuasa

Dalam struktur kerajaan Amerika Syarikat, badan-badan penting seperti legislatif, eksekutif dan judisiari merupakan asas kepada pemerintahan. Kewujudan badan ini diperuntukkan dalam Perlembagaan Amerika 1787. Ia termaktub dalam Article I , Article II dan Article III dalam Perlembagaan Amerika 1787. Ketiga-tiga badan ini merupakan tunjang kepada pemerintahan di Amerika yang disifatkan sebagai ‘oleh rakyat, daripada rakyat dan untuk rakyat’ oleh Abraham Lincoln dalam ucapan di Gettysburg pada tahun 1863. Badan legislatif merupakan badan pembuat undang-undang dan dasar awam. Ia menjadi tempat bagi rakyat mewakilkan kehendak dan kepentingan mereka kepada perwakilan-perwakilan. Badan eksekutif pula bertanggungjawab untuk melaksanakan dasar awam yang merupakan kebajikan rakyat dengan mengikut lunas undang-undang. Badan judisiari berperanan sebagai pentafsir undang-undang. Ia menjadi tempat untuk rakyat menuntut keadilan apabila berlaku pertikaian berhubung undang-undang negara (Magleby 2008: 23).

Jelas bahawa ketiga-tiga badan ini amat penting dalam menjalankan pemerintahan terhadap rakyat. Maka, setiap satu daripada badan ini mestilah bebas antara satu sama lain. Setiap badan harus mempunyai kebebasan untuk menjalankan potensi masing-masing tanpa dicampuri bidang kuasanya oleh badan lain. Kebebasan untuk melaksanakan (freedom of) dan kebebasan daripada sekatan-sekatan (feeedom from) untuk menjalankan fungsi masing-masing penting bagi memastikan pemerintahan dapat dijalankan dengan telus dan adil. Oleh itu, pada Founding Fathers of America telah mengambil nasihat ahli falsafah liberal Perancis, Baron de Montesquieu dalam karyanya The Spirit of The Law supaya diadakan badan-badan yang mempunyai bidang kuasa yang berasingan melalui doktrin trias politica. Doktrin trias politica ini menekankan pengasingan kuasa yang bertujuan untuk memenuhi tiga matlamat atau kebijaksanaan. Pertama, ia memastikan setiap badan bebas antara satu sama lain. Kedua, ia memastikan kebebasan atau liberty dapat dipertahankan daripada diancam seorang tirani atau sekumpulan manusia atau oligarki. Ketiga, ia memastikan tiada percantuman bidang kuasa yang akan menyebabkan kebebasan setiap badan hilang. Prinsip-prinsip ini amat penting untuk menjamin struktur kerajaan yang bebas sebagaimana kenyataan bahawa,

“…kekuasaan legislatif bergabung dengan kekuasaan eksekutif dalam diri satu orang atau sebuah lembaga pemerintahan, maka tidak akan ada kebebasan, kerana orang dapat merasa takut bahawa raja yang sama atau senat yang sama yang membuat undang-undang kejam itu akan melaksanakannya dengan kejam pula…”

(Revitch & Thernstrom 2005: 82)

Jaminan kebebasan dalam pelaksanaan doktrin pengasingan kuasa terhadap institusi kerajaan di Amerika Syarikat ini menunjukkan bahawa nilai kebebasan diterapkan dalam struktur kerajaan yang menjadi sosok di mana beroperasinya segala kehendak, kepentingan, pelaksanaan dan penyelesaian pertikaian dalam kalangan rakyat Amerika. Jelasnya, rakyat Amerika lebih cenderung untuk mementingkan nilai kebebasan dalam institusi politik negara.

3.5 Analisis Kajian Kes: Persoalan Kebebasan atau Keselamatan Negara dalam Peristiwa 11 September 2001 dan Patriot Act

Persoalan keselamatan negara muncul semula dalam sejarah Amerika Syarikat pada abad ke-21. Ia berpunca daripada peristiwa serangan pengganas pada 11 September 2001 yang merupakan isu terorisme di peringkat global. Dalam peristiwa serangan terhadap World Trade Centre dan Pentagon di Amerika Syarikat tersebut, . Persoalan keselamatan negara dan kebebasan sivil telah menjadi dilema dalam kalangan rakyat Amerika. Pengenalan Patriot Act dan Department of Homeland Security menjadi pertikaian dalam kalangan rakyat Amerika kerana ia menyekat kebebasan sivil dengan alasan keselamatan negara. Isu pencabulan kebebasan sivil dengan alasan keselamatan sebegini menunjukkan bahawa nilai kebebasan tetap menjadi kecenderungan kepada rakyat Amerika walaupun mereka tetap mementingkan nilai keselamatan. Hujah ini didokong statistik kajian berkenaan persoalan kebebasan sivil dan keselamatan negara dalam perspektif serangan pengganas 11 September 2001.

Survei terhadap responden menunjukkan bahawa demografi rakyat Amerika mempunyai pengaruh yang amat penting bagi menentukan penerimaan kepada kebebasan atau keselamatan. Faktor demografi tersebut ialah ras, umur, pendidikan dan jenis komuniti. Bagi aspek ras, golongan African American cenderung untuk memilih kebebasan sivil. Faktor demografi umur iaitu golongan muda antara 18 hingga 24 menunjukkan mereka lebih mengutamakan kebebasan manakala golongan tua mementingkan keselamatan. Tahap pendidikan pula menunjukkan bahawa mereka yang berpendidikan tinggi lebih mementingkan kebebasan kerana tahap kesedaran berkenaan hak. Bagi jenis komuniti, penduduk kawasan bandar lebih komited untuk mempertahankan kebebasan sivil berbanding keselamatan negara.

Peratusan Pilihan Pro Kebebasan Sivil atau Pro Keselamatan (%)

Soalan

Kebebasan Sivil

Keselamatan

1. Menyerahkan sesetengah kebebasan sivil

55

45

2. Menyiasat penunjuk perasaan

92

8

3. Pemprofilan kaum

82

18

4. Pemeriksaan tanpa waran

77

23

5. Pemantauan telefon dan emel

66

34

6. Penahanan wajib bukan warganegara

53

47

7. Keperluan kepada kad pengenalan

46

54

8. Kritikan guru terhadap dasar anti pengganas

40

60

9. Jenayah oleh kumpulan pengganas

29

71

Jadual 1

Peratusan Pilihan Orang Awam terhadap Pilihan Pro Kebebasan Sivil dan Pro Keselamatan

(Sumber: Davis & Silver 2004)

Jadual 1 menunjukkan peratusan pilihan orang awam di Amerika Syarikat yang berumur 18 tahun dan ke atas terhadap kebebasan sivil atau keselamatan. Kajian melalui kaedah survei telefon ini diadakan dari 14 November 2001 hingga 15 Januari 2002 terhadap 1448 orang responden. Pemilihan masa dan soalan bagi survei ini adalah mengikut kesesuaian selang masa peristiwa 11 September 2001 yang menimbulkan persoalan keselamatan negara dan kebebasan sivil dalam kalangan rakyat Amerika. Walaupun persoalan keselamatan negara begitu penting ketika pasca pengenalan Patriot Act dan Homeland Security, kecenderungan responden untuk memilih kebebasan sivil menunjukkan rakyat Amerika lebih mementingkan persoalan kebebasan. Peratusan menunjukkan 55 peratus responden memilih kebebasan sivil berbanding keselamatan. Selain itu, enam daripada sembilan soalan spesifik berkenaan pilihan sama ada pro kebebasan sivil atau pro keselamatan menunjukkan responden memilih kebebasan sivil. Jelasnya, berdasarkan kajian kes ini, rakyat Amerika lebih cenderung untuk memilih kebebasan sivil berbanding keselamatan.

Bagi perbandingan, pada Perang Dunia Kedua, Amerika Syarikat turut berhadapan dengan persoalan kebebasan sivil dan keselamatan negara. Selepas seminggu serangan ke atas Pearl Harbor di kepulauan Hawaii berlaku, Presiden Amerika Syarikat Franklin Delano Roosevelt menegaskan bahawa Amerika Syarikat berjanji akan mempertahankan kebebasan yang dijamin dalam Perlembagaan Amerika. Secara lebih spesifik, Roosevelt merujuk kepada Bill of Rights yang diperjuangkan para pengasas Amerika Syarikat. Walau bagaimanapun, pegawai-pegawai daripada War Department telah mengeluarkan kenyataan bahawa terdapat ancaman daripada orang asing terutamanya yang berketurunan Jepun di kawasan West Coast. Sehubungan dengan itu, Congressional Subcommittee on Aliens and Sabotage menyarankan agar sesiapa sahaja yang berketurunan Jepun dan seumpamanya untuk ditahan dan diasingkan. Hasilnya, Roosevelt menandatangani Executive Order 9066 yang membenarkan saranan tersebut untuk dilaksanakan. Lebih daripada 120, 000 orang warga Amerika Syarikat berketurunan Jepun telah ditahan di kem pengasingan dan dinafikan kebebasan dan hak sivil mereka.

Jelasnya, tindakan ini menunjukkan bahawa keselamatan negara lebih penting daripada kebebasan. Namun begitu, nilai kebebasan tetap melebihi kepentingan nilai keselamatan. Perkara ini dapat dilihat daripada tindakan Amerika Syarikat di bawah pentadbiran Ronald Reagan yang memohon maaf atas kesalahan menahan dan mengasingkan rakyat Amerika Syarikat berketurunan Jepun ketika Perang Dunia Kedua. Selainnya, bayaran pampasan sebanyak $20,000 kepada kira-kira 60,000 mangsa yang ditahan di kem pengasingan pada Perang Dunia Kedua telah dilunaskan. Permohonan maaf di bawah peruntukan Civil Liberties Act 1988 itu menunjukkan bahawa nilai kebebasan melebihi kepentingan nilai keselamatan kerana perbuatan menahan mereka di bawah Executive Order 9066 dianggap sebagai kesalahan menyekat kebebasan sivil (Ji 2004: 140-142).

3.6 Analisis Dasar Awam: First Amendment dalam Bill of Rights dan Praktiknya di Amerika Syarikat

Dasar awam merupakan output bagi proses dalam sistem politik sesebuah negara. Dasar-dasar awam merupakan artikulasi kehendak dan kepentingan rakyat yang terdiri daripada badan berkepentingan, badan pendesak dan orang awam di dalam sesebuah sistem politik. Kehendak dan kepentingan ini diaggregasikan dalam sistem politik apabila ia disatukan dalam peringkat pembuatan dasar iaitu badan legislatif. Dasar awam yang terbentuk akan dilaksanakan oleh badan eksekutif kepada rakyat yang menuntut kepentingan dan kehendak mereka dalam proses input. Jelasnya, dasar awam merupakan terjemahan daripada kepentingan dan kehendak rakyat seterusnya menggambarkan sikap mereka dalam sesebuah sistem politik.

Kepentingan dan kehendak rakyat Amerika terhadap kebebasan dapat dilihat menerusi First Amendment dalam Bill of Rights. Bill of Rights merupakan sepuluh pindaan terawal bagi Perlembagaan Amerika 1787 yang mana salah satunya ialah First Amendment yang menjamin kebebasan beragama, kebebasan berucap, kebebasan penerbitan dan kebebasan untuk berhimpun. Bill of Rights ini diusulkan oleh golongan Antifederalist yang melihat kepentingan jaminan bertulis bagi kebebasan rakyat Amerika manakala golongan Federalist berpendapat bahawa ia tidak perlu kerana Perlembagaan Amerika 1787 sendiri telah mengasaskan kerajaan terhad yang berteraskan prinsip pemeliharaan terhadap kebebasan sivil (Magleby 2008: 375). Jelasnya, First Amendment ini merupakan bukti wujudnya desakan kuat ke atas jaminan kebebasan apatah lagi ia merupakan pindaan yang pertama di antara sepuluh pindaan yang diratifikasikan dalam perlembagaan.

3.6.1 Kebebasan Beragama: Kes Church of The Lukumi Babalu Aye, Inc. and Ernesto Pichardo v. City of Hialeah

Kebebasan beragama menurut First Amendment ialah jaminan bahawa kerajaan tidak akan membentuk undang-undang yang menubuhkan apa-apa agama atau melarang kebebasan beragama. Praktik kebebasan beragama dan dokongan kepada kebebasan beragama dapat dirujuk menerusi kes Church of The Lukumi Babalu Aye, Inc. and Ernesto Pichardo v. City of Hialeah. Dalam kes ini, imigran kelahiran Cuba iaitu Ernesto Pichardo telah menubuhkan gereja Church of The Lukumi Babalu Aye dan mengamalkan ajaran agama Santeria. Agama Santeria ini merupakan ajaran yang dilarang di negara asal beliau di Cuba. Peruntukan kebebasan beragama di Amerika Syarikat diharapkan dapat menyediakan peluang kepada beliau untuk mengamalkan ajaran dan ritual agama tersebut. Namun, majlis tempatan di Hialeah telah memperuntukkan ordinan yang melarang ritual penyembelihan haiwan atas dasar pemeliharaan hak haiwan. Dalam penghakiman kes ini, Supreme Court telah mengisytiharkan agama Santeria ini bebas untuk diamalkan kerana peruntukan First Amendment menjamin kebebasan beragama dan ia meliputi agama-agama minoriti (Magleby 2008: 382). Jelasnya, kebebasan beragama sememangnya dijamin menerusi Perlembagaan Amerika 1787 selain membuktikan nilai kebebasan didokong secara serius oleh institusi kehakiman yang menjadi pembela kepada rakyat Amerika yang inginkan kebebasan beragama.


3.6.2 Kebebasan Berucap: Kes Aubin v. City of Chicago

Kebebasan berucap di Amerika Syarikat meliputi kebebasan untuk menyatakan pandangan atau idea dan kebebasan untuk berwacana. Dengan mengambil kira keluasan makna kebebasan berucap, khususnya kebebasan untuk menyatakan pandangan atau idea, jelas bahawa ia turut meliputi tindakan-tindakan simbolik untuk meluahkan perasaan dan idea. hal ini dapat dilihat menerusi kes Aubin v. City of Chicago. Kes ini menimbulkan pertikaian hangat apabila seorang pelajar di Chicago Institute of Art, Dread Scott atau Scott Tyler telah mempamerkan hasil seninya bertajuk ‘What is the proper way to display a flag?’. Scott Tyler telah menghamparkan bendera Amerika Syarikat di atas lantai dan selari dengan bendera tersebut, terdapat sebuah buku ulasan mengenai hasil karya tersebut. Bagi mengulas karya tersebut, para pengunjung harus memijak bendera Amerika Syarikat yang dihamparkan di atas lantai. Pameran ini telah menghangatkan suasana kerana ia didakwa menghina identiti kebangsaan dan menunjukkan rasa tidak hormat kepada negara. Beberapa siri protes diadakan di Chicago Institute of Art. Selaras dengan itu, Chicago City Council telah meluluskan ordinan yang melarang apa jua penghinaan terhadap bendera Amerika Syarikat. Namun, American Civil Liberties Union telah mencabar ordinan tersebut di Circuit County Court dengan mewakili Scott Tyler di mahkamah. Dalam penghakiman yang telah dibuat oleh Hakim Kenneth L. Gillis, ordinan tersebut diisytiharkan sebagai tidak sah di sisi perlembagaan kerana hak Scott Tyler untuk meluahkan idea menerusi karya ‘What is the proper way to display a flag?’ tersebut dijamin dalam First Amendment yang menjamin kebebasan untuk berucap.[1] Jelasnya, dalam pertikaian undang-undang yang melibatkan soal patriotisme dan kebebasan untuk berucap, kebebasan untuk para pengkarya tetap mendahului segalanya. Begitu juga dalam beberapa kes bakar bendera seperti Texas v. Johnson (1989), United States v. Eichman (1990) dan United States v O’Brien (1968). Keputusan mahkamah memutuskan bahawa perbuatan membakar bendera adalah tidak menyalahi undang-undang kerana ia turut diliputi kebebasan berucap yang dijamin dalam First Amendment.[2]

3.6.3 Kebebasan Penerbitan: Etika dan Tanggungjawab Kewartawanan di Amerika Syarikat

Kebebasan dalam bidang kewartawanan dan akhbar termasuk dalam keluasan makna kebebasan penerbitan dalam First Amendment. Tambahannya, etika kewartawanan di Amerika Syarikat dijamin oleh Society of Proffesional Journalists, Code of Ethics. Peruntukan dalam Society of Proffesional Journalists ini menjamin kebebasan bersuara, bertugas secara objektif, tepat dan adil untuk kepentingan rakyat Amerika. Menurut Mus Chairil (1997), wartawan di Amerika Syarikat mempunyai tanggungjawab dan amanah yang perlu dipikul daripada para penggubal Perlembagaan Amerika 1787 yang memperjuangkan kebebasan media di negara itu. Media di Amerika Syarikat berperanan sebagai alat semak dan imbang serta penegur atau watch dog kepada kerajaan. Para pengamal media di Amerika Syarikat ialah wakil kepada rakyat Amerika. Justeru itu, prinsip ini memerlukan kebebasan media untuk menjayakannya. Society of Proffesional Journalists menjamin dan memperuntukkan kebebasan media bagi pengamal media. Sebarang salah laku pemimpin, isu kebajikan rakyat dan pendapat awam harus disuarakan oleh media agar ia terus mewakili kepentingan rakyat Amerika. Jelasnya, kebebasan di Amerika Syarikat turut merangkumi amalan media komunikasi.

3.6.4 Kebebasan Berhimpun: Kes Gregory v. Chicago

Kebebasan untuk berhimpun merupakan salah satu saluran rakyat Amerika untuk berpartisipasi dalam sebuah sistem politik yang demokratik. Kebebasan ini turut dijamin dalam First Amendment sebagaimana kebebasan-kebebasan lain. Hal ini dapat dibuktikan melalui penghakiman bagi kes Gregory v. Chicago. Fakta kes ini menyatakan bahawa sekumpulan penunjuk perasaan telah berarak dengan aman ke rumah Datuk Bandar Chicago kerana membantah isu segregasi dalam sistem persekolahan awam di bandar tersebut. Semasa perarakan dan perhimpunan ini berlangsung, sekumpulan pemerhati yang rata-ratanya bersetuju dengan segregasi dalam sistem persekolahan mula mengancam para penunjuk perasaan dengan membaling batu dan telur. Pihak polis menasihatkan para penunjuk perasaan supaya bersurai tetapi tidak diendahkan. Maka, mereka telah ditahan termasuk penganjurnya iaitu Dick Gregory. Sehubungan dengan itu, Gregory telah mencabar penahanan mereka sebagai penafian kepada kebebasan untuk berhimpun yang dijamin dalam First Amendment. Dalam penghakiman di Supreme Court, kesemua Sembilan orang hakim yang diketuai Justice Earl Warren telah mengambil keputusan bahawa penahanan para penunjuk perasaan tersebut adalah bercanggahan dengan First Amendment yang menjamin kebebasan untuk berhimpun. Kes Gregory v. Chicago ini telah menjadi kes rujukan bagi kes-kes seterusnya yang mempunyai fakta kes serupa. Ia turut memperkuat jaminan kebebasan berhimpun di bawah First Amendment.[3] Dengan itu, peruntukan kebebasan berhimpun dalam First Amendment telah menjadi salah satu saluran penting yang menjamin kebebasan rakyat Amerika untuk menyampaikan kehendak dan tuntutan mereka dalam saluran yang bersifat kolektif seperti demonstrasi dan protes.

3.7 Analisis Tingkah Laku Politik: Gerakan Golongan Masyarakat Minoriti

Terdapat beberapa kumpulan minoriti dalam kalangan rakyat Amerika. Faham berkenaan golongan minoriti bukan sahaja terbatas kepada segi angka atau jumlah mereka. Minoriti dalam konteks ini turut merangkumi kumpulan-kumpulan yang terpinggir dan tertindas akibat dasar-dasar yang mendiskriminasi mereka daripada bebas menggunakan potensi diri atau batasan perlakuan-perlakuan yang datang daripada kehendak untuk memenuhi naluri mereka sendiri. Terdapat tiga kumpulan minoriti yang akan digunakan sebagai contoh kepada penganalisaan tingkah laku politik kumpulan minoriti iaitu berdasarkan gender, perkauman dan seksualiti.

Pertama, gerakan minoriti daripada wanita atau feminis bertujuan untuk mencapai kesamarataan peluang antara lelaki dan wanita. Dalam erti kata lain, gerakan feminis bertujuan untuk membebaskan wanita daripada kongkongan patriarki atau lelaki. Tokoh-tokoh feminis dalam kumpulan berkepentingan, National Woman Suffrage Association dan American Woman Suffrage Association seperti Susan B. Anthony, Elizabeth Cady Stanton dan Alice Paul telah memperjuangkan hak pengundian bagi wanita atau universal women suffrage. Keberjayaan mereka diukur daripada ratifikasi Nineteenth Amendment pada tahun 1920 yang menjamin hak mengundi bagi wanita. Kejayaan ini diteruskan oleh kumpulan-kumpulan berkepentingan seperti National Woman Organisation (NOW) untuk menjamin hak kesamarataan wanita dalam perlembagaan melalui Equal Rights Amendment (ERA). Usul untuk ERA tersebut telah diluluskan oleh Kongres pada tahun 1972. Namun, ia gagal diratifikasikan kerana ia kekurangan undi daripada tiga negeri untuk mencapai jumlah maksimum bagi usul tersebut diluluskan dan diperuntukkan dalam perlembagaan (Berman & Murphy 1996: 533-536).

Kedua, gerakan besar-besaran ke arah pembebasan kumpulan minoriti orang kulit hitam daripada diskriminasi ras dipimpin oleh seorang tokoh, Martin Luther King Jr. King. Beliau menubuhkan Southern Christian Leadership Conference yang memperjuangkan hak-hak sivil. Peristiwa pengeboman gereja dan rumah King telah menimbulkan sentimen perkauman dalam kalangan orang kulit hitam dan orang kulit putih. Sebagai tindak balas, King menganjurkan protes tanpa permit dan dihukum penjara pada Mac 1963. Setelah pembebasan King, perarakan besar-besaran di Washington telah diadakan pada 28 Ogos 1963 dengan tujuan memperjuangkan hak sivil golongan minoriti. Dalam ucapan beliau yang masyhur, ‘I have A Dream’ King mengakhirinya dengan kata-kata, ‘Free at last! Thank God Almighty, we are free at last!’. Jelasnya, gerakan pembebasan hak-hak sivil minoriti orang kulit hitam berpunca daripada diskriminasi. Maka, mereka telah menggunakan saluran demokratik dan gerakan aman ke arah pembebasan daripada penindasan orang kulit putih terutamanya dalam dasar-dasar awam. Perjuangan pembebasan ini berhasil dengan penggubalan Civil Rights Act 1964 (Magleby 2008: 401).

Jelasnya, kedua-dua kumpulan minoriti ini mementingkan kebebasan bagi kumpulan minoriti mereka sendiri. Lebih daripada itu, perjuangan ke arah pembebasan mereka ini menggunakan saluran yang demokratik iaitu melalui kumpulan berkepentingan dan kumpulan pendesak. Kebebasan mereka untuk menuntut kehendak dan kepentingan terhadap pembebasan pula dijamin oleh First Amendment dalam Bill of Rights yang telah dikemukakan pada awal kemerdekaan Amerika oleh kumpulan Antifederalist. Hak-hak tersebut ialah kebebasan bersuara, kebebasan berhimpun dan kebebasan untuk mengenakan petisyen kepada kerajaan yang melanggar hak-hak mereka. Maka, berdasarkan tingkah laku politik rakyat Amerika ini, ia menunjukkan bahawa mereka hidup dalam sebuah sistem politik demokrasi yang mementingkan ideal kebebasan berbanding ideal keselamatan.

4.1 RUMUSAN

Esei ini telah membahaskan persoalan berkenaan rakyat Amerika yang lebih mementingkan kebebasan berbanding keselamatan. Konsep kebebasan dan keselamatan merangkumi gagasan yang luas. Dalam bahagian konseptual, kebebasan telah didefinisikan kepada dua konteks iaitu sama ada kebebasan tanpa sekatan atau kebebasan dengan sekatan. Kebebasan juga disamakan dengan potensi diri individu. Semakin tinggi potensi individu, semakin tinggi tahap kebebasan. Selain itu, kebebasan juga dihuraikan dengan mengambil ucapan tokoh berpengaruh di Amerika iaitu Presiden Amerika Syarikat, Franklin Delano Roosevelt iaitu The Four Freedom yang menekankan kebebasan untuk melakukan (freedom of) dan kebebasan daripada sekatan (freedom from). Bagi konsep keselamatan pula, ia dibahagikan kepada dua iaitu keselamatan negara dan keselamatan insan. Perbandingan bagi kedua-kedua konsep keselamatan ini terletak pada unit analisis, punca ancaman, aktor dan isu ancaman. Sehubungan dengan itu, konsep keselamatan insan lebih sesuai dijadikan pemerihalan kepada isu keselamatan di Negara Dunia Ketiga atau negara membangun manakala konsep keselamatan insan lebih sesuai untuk menjelaskan isu keselamatan di negara dunia pertama dan negara dunia kedua. Maka, kesemua konsep kebebasan adalah sesuai untuk dioperasikan dalam konteks Amerika Syarikat manakala keselamatan di Amerika Syarikat hanya sesuai untuk dikonseptualkan kepada keselamatan negara. Dalam bahagian seterusnya, esei ini membahaskan kebebasan lebih penting daripada keselamatan dengan mengambil perspektif politik perbandingan. Beberapa alat analisis iaitu analisis berkenaan sejarah (Wilson 1996), analisis institusi (Wilson 1996) atau struktur kerajaan (Mahler 1995), analisis kajian kes (Wilson 1996), analisis dasar awam (Mahler 1995) dan analisis tingkah laku politik (Mahler 1995). Berdasarkan keseluruhan analisis yang telah digembleng dalam kajian berkenaan sikap rakyat Amerika ini, jelas bahawa rakyat Amerika lebih mementingkan kebebasan daripada keselamatan. Namun, terdapat sesetengah keadaan yang mana pertimbangan keselamatan negara jauh lebih penting daripada kebebasan sivil sebagaimana pada Perang Dunia Kedua dan pasca 11 September 2001. Lebih daripada itu, kajian membuktikan bahawa kebebasan sivil tetap lebih menonjol kepentingannya daripada keselamatan negara. Tuntasnya, rakyat Amerika lebih mementingkan kebebasan daripada keselamatan. Liberty!

RUJUKAN

Berman, L. & Murphy, B.A. 1996. Approaching democracy. New Jersey: Prentice Hall.

Faisal Mustaffa (pnyt.). 2011. Apa ada dengan liberalisme?. Petaling Jaya: Orange Dove.

Davis, D.W. & Silver, B.D. 2004. Civil liberties vs. security: public opinion in the context of the terrorist attacks on America. American Journal of Political Science. 48(1): 28-46.

Dye, T.R. 1997. Politics in America. Edisi ke-2. New Jersey: Prentice Hall.

Harrison, K. & Boyd, T. 2003. Understanding political ideas and movements. New York: Manchester University Press.

Janda, K., Berry, J.M. 2009. The challenge of democracy. Edisi ke-10. Boston: Wadsworth.

Magleby, D.B., O’brien, D.M., Light, P.C., Peltason, J.W., Cronin, T.E. & Clarke, M. 2008. Government by the people. Edisi ke-7. New Jersey: Pearson & Prentice Hall.

McKay, D. 2009. American politics and society. Edisi ke-7. West Sussex: Blackwell Publishing.

Revitch, D. & Thernstrom, A. 2005. Demokrasi: klasik dan moden. Terj. Hermoyo. Jakarta: Yayasan Obor Indonesia.

Shakila Yacob. 2005. Amerika Syarikat: pembentukan negara bangsa. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa & Pustaka.

Shun-jie, Ji. 2004. Civil liberties vs. national security: lessons from September 11th attacks on America. Tamkang Journal of International Affairs. 8(2): 133-159.

Sity Daud & Zarina Othman. 2005. Keselamatan insan dan jaringan keselamatan sosial. Dlm. Sity Daud & Zarina Othman (pnyt.). 2005. Politik dan Keselamatan. hlm. 187-207. Bangi: Penerbit UKM.

2005. Art on trial: the arts, the First Amendment and the courts. http://www.tjcenter.org/ ArtOnTrial/flag.html [15 Disember 2011].

2011. Defining freedom. http://documents.mccormickfoundation.org/Civics/programs/ Education/FreedomExpress/ExhibitGuide/pages/definingfreedom_speech_answer3.htm [15 Disember 2011].

2011. You be the judge: Gregory v. Chicago. http://documents.mccormickfoundation. org/Civics/programs/Education/FreedomExpress/ExhibitGuide/pages/gregoryvchicago.htm [21 Disember 2011].



[1] http://www.tjcenter.org/ArtOnTrial/flag.html [15 Disember 2011].

[2]

http://documents.mccormickfoundation.org/Civics/programs/Education/FreedomExpress/ExhibitGuide/pages/definingfreedom_speech_answer3.htm [15 Disember2011].

[3] http://documents.mccormickfoundation.org/Civics/programs/Education/FreedomExpress/ExhibitGuide/pages/gregoryvchicago.htm [21 Disember 2011].

Ulasan