GLOBALISASI TELAH MENJADIKAN ASIA TENGGARA SEBUAH WILAYAH YANG TELAH BERKEMBANG KE ARAH MENJADI LEBIH DEMOKRATIK. SEJAUH MANAKAH ANDA BERSETUJU DENGAN KENYATAAN INI

1.1                1.1     PENGENALAN

Esei ini meneliti sejauh mana globalisasi berperanan dalam menjadikan wilayah Asia Tenggara menjadi lebih demokratik. Tahap demokrasi ini boleh diukur dengan melihat sejauh mana hak asasi manusia dihormati seperti kebebasan untuk berhimpun, bercakap, berpersatuan dan bergerak. Salah satu ciri negara yang demokratik juga ialah wujudnya pilihan raya yang bebas dan adil kerana ia menjadi arena penglibatan politik rakyat untuk memilih  kerajaan yang mereka inginkan.  Jika pilihannya tidak berjaya menduduki apa-apa jawatan dalam kerajaan, sekurang-kurangnya dia telah berpartisipasi dan merasai bahawa dia mempunyai kuasa untuk memilih kerajaan bagi menguruskan hal ehwal negara. Kesuburan demokrasi juga boleh diukur menerusi perkembangan gerakan masyarakat sivil dalam menjalankan peranannya untuk mempengaruhi dasar-dasar awam dan penegakan hak-hak sivil rakyat.  Apapun, dalam sesebuah demokrasi itu harus wujud apa yang dikatakan sebagai demos dan kratia iaitu kuasa rakyat.  Maksudnya, setiap warga dalam sesebuah sistem yang demokratik harus merasakan dirinya mempunyai kuasa untuk mempengaruhi dasar-dasar awam menerusi pelbagai saluran yang tersedia dan dijamin oleh undang-undang negara.  Maka, bahagian pertama esei membincangkan premis globalisasi membawa kepada pendemokrasian menerusi beberapa perspektif. Kedua, perbincangan konseptual globalisasi dan pendemokrasian sebagai alat analisis kajian ini.  Ketiga, hujah-hujah yang menyokong premis globalisasi mengakibatkan wilayah Asia Tenggara menjadi lebih demokratik dikemukakan mengikut proses-prosesnya yang berlainan.  Setiap hujah akan diperkuatkan dengan contoh empirik yang bersesuaian. Umumnya, impak globalisasi terhadap pendemokrasian di Asia Tenggara berlaku lima cara iaitu (i) penerapan amalan demokrasi di negara-negara bekas jajahan, (ii) peranan masyarakat sivil transnasional, (iii) demokratisasi di Indonesia vis á vis dampak liberalisme ekonomi atau kapitalisme negara, (iv) reformasi sistem pentadbiran awam di Vietnam dan (v) peluasan ruang komunikasi demokratik menerusi cetusan teknologi internet mengkhusus kepada negara Malaysia.  Kelima-lima aspek tersebut menunjukkan globalisasi menjadikan wilayah Asia Tenggara menjadi lebih demokratik menerusi proses yang berpanjangan dan berperingkat walaupun globalisasi dikaitkan dengan kepantasan. Impaknya turut berlainan mengikut masa dan tempat yang menjadi tumpuan kajian.

2.1  PERSPEKTIF GLOBALISASI DAN PENDEMOKRASIAN DI ASIA TENGGARA

Terdapat tiga perspektif atau ulasan yang boleh dikemukakan berdasarkan premis globalisasi menjadikan wilayah Asia Tenggara menjadi lebih demokratik.  Pertama, globalisasi merupakan istilah yang sering muncul dalam kalangan sarjana untuk menjelaskan perkembangan dunia sejak dekad 1990-an.  Serentak dengan itu, proses pendemokrasian di Asia Tenggara turut dikaitkan sebagai hasil daripada proses globalisasi.  Jelasnya, sudut pandang proses pendemokrasian di Asia Tenggara dengan pendekatan globalisasi tidak sempurna kerana pendemokrasian di wilayah Asia Tenggara sudah bermula sejak zaman kolonial lagi.  Maka, premis ini hanya satu pendekatan atau penjelasan secara konseptual yang baharu sahaja.  Sedangkan premis Asia Tenggara menjadi lebih demokratik boleh juga dijelaskan berdasarkan kepada konsep pendemokrasian itu sendiri atau konsep kolonialisasi yang menerapkan nilai-nilai daripada negara kolonial kepada negara-negara jajahan.  Hal ini bertepatan dengan hujah Shamsul (2002:193), “…the task of examining globalization and democratic developments in Asia before us is an exercise which is both historical & contemporary in nature, as well as abstract and empirical…”.

            Kedua, berdasarkan perspektif kajian negara, konsep kedaulatan nasional sering dikaitkan dengan keabsahannya untuk menjalankan undang-undang ke atas populasi di dalam wilayahnya sendiri.  Ohmae (1995) dan Robertson (2004) menyatakan bahawa globalisasi mengakibatkan kedaulatan nasional sesebuah negara menjadi semakin rapuh.  Dalam keadaan pasaran ekonomi yang begitu mendesak, negara tiada pilihan lain untuk meneruskan survivalnya kecuali dengan meliberalisasikan pasaran kepada ekonomi dunia.  Dalam keadaan ini, aktor bukan negara iaitu syarikat pelbagai nasional atau multinational corporation (MNCs) berperanan dalam pelaburan di sesebuah negara.  Maka, negara mula kehilangan kawalannya terhadap pasaran ekonomi.  Namun begitu, negara mewujudkan usaha untuk mempertahankan kedaulatan nasionalnya daripada terus dicerobohi kuasa asing.  Tindak balas untuk mempertahankan kedaulatan nasional juga adalah usaha untuk mengekalkan status quo di sesebuah negara.  Hakikatnya, tindakan ini bersifat konservatif lantas menongkah nilai liberalisme yang secocok dengan demokrasi.

            Ketiga, oleh kerana kajian ini melihat impak globalisasi terhadap pendemokrasian di Asia Tenggara, kepelbagaian agama, bangsa, bahasa dan budaya harus diambil kira untuk menetapkan perspektif yang sesuai.  Bagi tujuan tersebut, pendapat Robertson (2004) dan Roberts & Hite (2000) boleh diambil kira.  Menurut sarjana-sarjana ini, sebab dan akibat globalisasi mempunyai perbezaan hampir di setiap tempat dan masa kerana wujudnya pengubahsuaian struktur dan budaya tempatan terhadap kesan globalisasi.  Sehubungan dengan itu, impak globalisasi tidak semestinya menjadikan negara lebih demokratik tetapi lebih autokratik.  Ia amat bergantung kepada aspek yang menjadi tumpuan.

2.2       KONSEP GLOBALISASI

Pelbagai takrifan diberi kepada globalisasi baik dari sudut ekonomi, komunikasi mahupun geografi.  Hay & Marsh (2000), mendefinisikan globalisasi sebagai pengaliran modal tidak kira sama ada dalam bentuk kewangan mahupun modal fizikal, manusia, maklumat dan budaya.  Robertson (2004) pula menyifatkan globalisasi sebagai fenomena ekonomi.  Ia berkaitan dengan integrasi ekonomi di seluruh dunia yang mana sistem ekonomi kapitalisme liberal sudah menjadi ragam ekonomi yang dominan di seluruh dunia.  Berbeza dengan Langhorne (2001), beliau tidak mendefinisikan globalisasi daripada sudut ekonomi.  Bagi beliau, globalisasi merujuk kepada perubahan teknologi, khususnya perkembangan komunikasi elektronik seperti telefon, komputer dan satelit.  Kemajuan teknologi dan maklumat ini mengupayakan manusia untuk menjalinkan hubungan merentasi kewarganegaraan, kerajaan, masa dan persekitaran fizikal.  Kini, masalah jarak dan masa bukan lagi penghalang untuk manusia berhubung sesama sendiri.  Sehubungan itu, Harvey (1989) menganggap globalisasi sebagai satu proses pemampatan masa dan ruang.  Dunia dirasakan menjadi semakin kecil.

2.2.1    Aliran dalam Pendekatan Globalisasi

Secara lebih teoritikal, pendekatan globalisasi dapat dipecahkan kepada tiga aliran utama.  Hujah yang mendasari pecahan pendekatan globalisasi ini adalah berkenaan soalan keberadaan globalisasi.  Adakah ia wujud atau tidak?  Kemudian, jika ia wujud, persoalannya adalah bila ia bermula.  Adakah ia fenomena baru atau lama?  Maka, perbahasan ini menggariskan tiga tesis utama dalam pendekatan globalisasi iaitu tesis keras, tesis penolakan dan tesis lembut.  Selain itu, setiap aktor yang menerima kewujudan globalisasi mencadangkan tindak balas yang perlu diambil oleh aktor-aktor yang terlibat.

            Pertama, tesis keras dikenali juga sebagai hyperglobalizer, juggernaut atau hard approach.  Antara sarjana dalam aliran ini ialah Ohmae dan Scholte.  Bagi pendukung tesis keras ini, mereka menerima globalisasi sebagai sesuatu yang benar-benar wujud dan ia merupakan fenomena baru.  Dalam keadaan ini, negara-negara tidak mempunyai pilihan, mereka harus bersedia dan menerima impak daripada globalisasi.  Oleh itu, penyesuaian struktur dalaman negara haruslah serasi dengan keperluan daripada negara-negara lain.  Negara-negara komunis selepas kejatuhan Kesatuan Soviet pada 1991 umpamanya perlu membuka ekonomi kepada pasaran dan tidak boleh bergantung kepada sistem autarky atau self-reliance yang mengakibatkan negara-negara tersebut semakin miskin.

            Kedua, tesis penolakan dirujuk juga sebagai skeptics, rejectionists atau soft approach.  Tesis dalam aliran ini pula didukung oleh Paul Hirst, Thompson, Wallerstein, Krasner dan Gilpin.  Sarjana-sarjana ini menolak tesis yang pertama, bagi mereka globalisasi tidak wujud dan mitos semata-mata.  Cuma, dalam keadaan dunia semasa, teknologi telah mempercepatkan proses komunikasi dan hubungan sesama manusia.  Hakikatnya, tiada keperluan untuk aktor-aktor seperti  negara menyesuaikan strukturnya dengan desakan daripada struktur luaran.

            Ketiga, tesis lembut atau trasformationalist atau mid-way didokong oleh Giddens, Bauman dan Mittelment.  Aliran yang ketiga ini menerima kewujudan globalisasi sebagai sesuatu yang mengimpak aktor-aktor di dalamnya.  Namun, ia bukanlah sesuatu yang baharu tetapi merupakan proses yang sedang berlaku di dunia.  Dalam keadaan ini, aktor-aktor yang terlibat khususnya negara masih berpeluang untuk menyusun strategi bagi meminimumkan kesan negatif globalisasi seperti keruntuhan negara bangsa, penghakisan budaya tempatan dan campur tangan luar daripada aktor negara dan bukan negara.        

2.2.2    Globalisasi dan Pendemokrasian

Gelombang globalisasi dan pendemokrasian berlaku dalam tempoh yang hampir sama.  Menurut Robertson (2004:6), gelombang globalisasi berlaku dalam tiga cetusan iaitu selepas 1500, selepas 1800 dan selepas 1945.  Cetusan gelombang pertama selepas 1500 adalah ketika ekonomi merkantilis semakin berkembang pesat menerusi perdagangan antara negara.  Ketika itu, wujud pengangkutan seperti kapal dan kemajuan sains untuk menentukan arah jalan di lautan.  Cetusan gelombang kedua pula berlaku selepas 1800 iaitu setelah revolusi industri di Eropah.  Ketika itu negara-negara seperti British, Perancis, Sepanyol dan Belanda menjalankan dasar kolonialisme di negara-negara kecil seperti di Asia Tenggara dengan slogan ‘gold, gospel and glory’.  Cetusan gelombang ketiga pula berlaku selepas 1945 iaitu selepas usai Perang Dunia Kedua.  Serentak dengan itu, slogan New World Order semakin popular dengan pertembungan dua ideologi besar dunia iaitu kapitalisme dan demokrasi melawan sosialisme dan komunisme.  Pertembungan ini menyaksikan Perang Dingin (1947-1991) antara Amerika Syarikat yang memperkenalkan idea-idea demokrasi liberal dengan Kesatuan Soviet yang mendukukung fahaman komunis. Salah satu taktik Perang Dingin adalah menerusi perlumbaan teknologi.  Maka, hal inilah yang memungkinkan kepantasan globalisasi atas desakan faktor ideologi dan faham ekonomi yang berbeza kutubnya.

               Selaras dengan kerancakan globalisasi ini, berlakulah pendemokrasian sebagai salah satu hasil atau by-product kepada globalisasi.  Menurut hujahan Huntington, gelombang pendemokrasian yang berlaku atas tiga faktor (transformation, replacement dan transplacement) mencetuskan tiga gelombang.  Pertama, long wave dari 1828 hingga 1926 membawa pendemokrasian di Eropah Barat dan Amerika Utara.  Kedua, short wave dari 1943 hingga 1962 membawa pendemokrasian kepada negara-negara jajahan via dasar dekolonialisasi seperti negara-negara di Asia Tenggara sendiri iaitu Indonesia (1945), Filipina (1946), Myanmar (1948) dan Malaysia (1957) – sekadar beberapa contoh.  Ketiga, big wave dari tahun 1975 hingga 1990-an berlaku di negara-negara Amerika Latin dan negara-negara komunis selepas tamat Perang Dingin (1991). 

            Berdasarkan gelombang globalisasi dan pendemokrasian ini, kedua-dua fenomena ini boleh dihubungkait antara satu sama lain kerana periode berlakunya setiap gelombang itu adalah hampir sama antara satu sama lain.  Selain itu, aktor-aktor yang terlibat dalam gelombang pendemokrasian dan globalisasi ini ialah aktor yang sama.  Dalam konteks perbincangan ini, cetusan gelombang globalisasi kedua melibatkan negara-negara kolonial British, Belanda, Sepanyol dan Perancis.  Negara-negara ini menjajah negara-negara Asia Tenggara iaitu Malaysia, Indonesia, Filipina dan Myanmar.  Ketika, gelombang pendemokrasian kedua tercetus dari 1943-1962, negara-negara inilah yang memerdekakan diri daripada negara-negara kolonial tersebut. 

Hal ini bermakna, pendemokrasian sememangnya mempunyai hubungan dengan globalisasi tetapi prosesnya tidak berlaku secara terus atau linear causal atau unidirectional.  Inilah yang menyebabkan hubungan tersebut sukar untuk dibuktikan.  Proses globalisasi mengimpak terhadap pendemokrasian berlaku secara two-way process.  Sumbangan globalisasi dalam menjadikan wilayah Asia Tenggara lebih demokratik dibincangkan dalam bahagian seterusnya.

3.1       PENDEMOKRASIAN DI ASIA TENGGARA VIS Á VIS GLOBALISASI

Pendemokrasian di Asia Tenggara berlaku menerusi empat cara.  Pertama, pendemokrasian berlaku menerusi peranan negara-negara kolonial.  Kedua, pendemokrasian berlaku menerusi dampak yang dibawakan oleh ekonomi liberal kapitalisme.  Ketiga, penyuburan demokrasi sebagai tindak balas terhadap impak negatif globalisasi.  Keempat, demokratisasi menerusi perkembangan teknologi maklumat.  Dalam hal ini, globalisasi bukanlah prasyarat untuk mendemokrasikan wilayah Asia Tenggara.  Namun, ia ternyata membantu untuk mempercepatkan proses pendemokrasian dengan sokongan daripada agen-agen pendemokrasian yang bertindak balas terhadap impak globalisasi yang lazimnya bersifat negatif.  Tegasnya, demokrasi dijadikan sebagai jalan keluar kepada permasalahan tersebut.
  
3.2       PENERAPAN AMALAN DEMOKRASI PASCA ERA KOLONIAL

Ketika gelombang globalisasi kedua (selepas 1800), kedatangan negara-negara Barat atau kolonial ke Asia Tenggara berpunca daripada kekayaan hasil bumi di wilayah ini seperti bijih timah, getah, lada hitam dan kopi.  Secara tidak langsung, ekonomi di Asia Tenggara mula membina rangkaian dengan ekonomi komersial di pasaran dunia yang kian berkembang.  Ini mewujudkan kebergantungan antara negara di Asia Tenggara dan pasaran global.  Agenda penjajahan mereka tidak terbatas dalam aspek ekonomi sahaja.  Wujud usaha untuk menerapkan nilai-nilai Barat untuk memudahkan penguasaan mereka ke atas penduduk di negara jajahan.  Salah satunya adalah menerusi pengenalan sistem demokrasi ala Barat.

            Penerapan amalan demokrasi dalam sistem politik tempatan ini disandarkan kepada dua situasi ekonomi dan politik.  Pertama, dari segi ekonomi, dekolonialisasi mengakibatkan negara-negara yang dijajah terperangkap dalam kebergantungan ekonomi.  Sosok-sosok ekonomi tempatan terpaksa disesuaikan dengan ekonomi pasaran antarabangsa.  Maka, negara-negara bekas tanah jajahan terlibat dalam ragam ekonomi kapitalisme liberal yang dominan.  Selaras dengan itu, sistem politik demokrasi adalah secocok untuk dipraktikkan dengan ekonomi kapitalisme liberal kerana galakan persaingan.  Kedua, dari segi politik,  negara-negara Asia Tenggara mula didedahkan dengan amalan demokrasi sejak ia dijajah lagi.  Amalan demokrasi selepas kemerdekaan adalah kesinambungan daripada penerapan pada zaman kolonial.             

Penerapan ciri-ciri demokrasi ini bertentangan dengan ciri-ciri asal sistem politik yang tidak demokratik.  Wujud peralihan sistem politik feudal tradisional seperti sistem monarki kepada sistem politik demokrasi atau penyesuaian antara kedua-duanya menjadi konsep raja berperlembagaan.  Penerapan amalan demokrasi di Asia Tenggara meliputi pewujudan perlembagaan, institusi politik dengan pemisahan kuasa dan sistem pilihan raya.  Di Indonesia contohnya, wujud Volksraad sejak 1916 iaitu dewan perwakilan bagi mendedahkan golongan bangsawan ke arah berkerajaan sendiri.  Indonesia pernah berada dalam satu tempoh yang demokratik pada 1950-an.  Perkara ini wujud menerusi pengiktirafan kebebasan sivil, pilihan raya parlimen dan tempatan.  Pilihan raya pada 1955 contohnya adalah paling demokratik jika dibandingkan dengan empat dekad berikutnya iaitu era Orde Baru.  Malaysia turut menjadi lebih demokratik selepas kemerdekaan hasil pelaksanaan pilihan raya di peringkat persekutuan, negeri dan kerajaan tempatan.  Perlembagaan Persekutuan juga diwujudkan menerusi Suruhanjaya Reid bagi menjadi rangka pentadbiran negara.  Tambahannya, wujud pemisahan kuasa kepada tiga cabang iaitu badan legislatif, badan eksekutif dan badan judisiari walaupun tidak sepenuhnya mengikut ideal pemisahan kuasa (trias politica).  Dalam konteks Filipina pula, wujud demokrasi yang stabil tetapi kurang kualiti sejak 1946 hingga 1972.  Hal ini kerana pilihan raya 1949 telah berlaku penipuan pilihan raya yang mendorong penubuhan suruhanjaya pilihan raya (COMELEC) dan badan pemerhati National Citizens Movement for Free Elections (NAMFREL).

3.3       PENDEMOKRASIAN DAN LIBERALISME EKONOMI

Pendemokrasian turut berlaku dengan cara tindak balas terhadap amalan ekonomi kapitalisme liberal.  Walaupun negara mempunyai keyakinan untuk berhadapan dengan impak negatif globalisasi yang membawa integrasi ekonomi di seluruh dunia, terdapat aktor-aktor dalam negara yang tidak dapat menahan kesan globalisasi lalu mencari jalan keluar menerusi pendemokrasian.  Hal ini dapat dilihat menerusi demokratisasi di Indonesia pada era Soeharto.  Selain itu, apabila sesebuah negara menerima impak globalisasi dengan cara menyesuaikan keadaan asal ekonomi tempatan, wujud pelbagai masalah berbangkit.  Dalam kesulitan ini, demokrasi juga dijadikan wahana untuk melepaskan negara daripada permasalahan-permasalahan yang timbul akibat penyesuaian ekonomi tempatan dengan pasaran global.  Hal ini pula dapat diteliti menerusi lokalisasi politik di Vietnam pasca Doi Moi (1986).  Bahagian berikut meneliti perkara ini satu-persatu.

3.3.1    Demokratisasi Indonesia vis á vis Dampak Liberalisme Ekonomi

Pemerintahan era Orde Baru (1966-1998) di bawah Soeharto mengamalkan ekonomi pasaran bebas atau state capitalism.  Pemerintahan beliau juga bercirikan autokrasi dan anti komunis.  Oleh kerana ciri anti komunis ini, pemerintahan beliau mendapat bantuan rangsangan ekonomi daripada Amerika Syarikat.  Dasar-dasar liberalisme ekonomi beliau di Indonesia dapat dilihat daripada beberapa aspek.  Pertama, wujud Pakto atau Paket Oktober yang bertujuan untuk menswastakan institusi perbankan seterusnya menggalakkan persaingan institusi tersebut.  Kedua, langkah deregulasi ekonomi dan nyah birokrasi dilaksanakan untuk meningkatkan tarikan pelaburan asing dan modal tempatan ke dalam ekonomi Indonesia.  Ketiga, pelbagai sektor swasta diwujudkan terutama dalam bidang pembuatan.  Sektor-sektor swasta ini semakin penting dalam ekonomi Indonesia selain kebergantungan ekonomi dalam eksport minyak dan komoditi utama.  Selaras dengan kemajuan ekonomi Indonesia, pelbagai golongan kelas menengah dan masyarakat sivil wujud sebagai watch dog kepada kerajaan. Antaranya ialah Lembaga Bantuan Hukum (undang-undang), Wahana Lingkungan Hidup (alam sekitar) dan Yayasan Lembaga Konsumen Indonesia (hak-hak pengguna). 

            Walau bagaimanapun, dampak liberalisme ekonomi dekad 1990-an semakin parah dalam kalangan rakyat bawahan. Mereka amat terkesan akibat ketidakseimbangan agihan kekayaan negara.  Ekonomi liberal yang dipraktikkan pula hanya monopoli ekonomi oleh keluarga dan kroni Soeharto.  Hal ini menggalakkan penularan masalah korupsi, kolusi dan nepotisme (KKN) di Indonesia.  Soeharto juga tidak dapat menangani senario politik pasca Perang Dingin ini dengan baik kerana kebergantungan awalnya terhadap Amerika Syarikat telah berakhir. Amerika Syarikat memberikan alasan Indonesia tidak sesuai untuk pasaran ekonominya kerana tidak mempunyai kepekaan terhadap hak pekerja dan undang-undang perlindungan alam sekitar.  

Keadaan ekonomi dengan kadar inflasi yang tinggi diparahkan lagi apabila pada krisis kewangan 1997, hutang Indonesia terhadap World Bank, International Monetary Fund (IMF) dan lain-lain berjumlah US$70 bilion.  Pada Disember 1997, hutang sebanyak US$20.8 bilion harus dilunaskan dalam tempoh setahun selain nilai rupiah yang jatuh pada nisbah Rp. 17,000 bersamaan US$1.  Impak globalisasi menerusi ekonomi dan aktor global seperti IMF dan World Bank tidak dapat ditanggung oleh rakyat dan tuntutan pendemokrasian daripada kepimpinan Orde Baru semakin memuncak.  Maka, Soeharto peletakan jawatan pada tahun 1998 membawa kepada era baru demokrasi di Indonesia (Dewi Fortuna 2005:201-232).  Era reformasi mewujudkan autonomi daerah, kepelbagaian parti politik dan media massa atau pers yang lebih bebas di Indonesia.  Selain peranan masyarakat sivil daripada kumpulan mahasiswa, peranan IMF dari luar Indonesia turut menyumbang ke arah pendemokrasian di Indonesia kerana bantuan pakej kewangan menuntut structural adjustment daripada Indonesia ke arah yang lebih demokratik.
 
3.3.2    Pembaharuan Demokratik di Vietnam: Kesinambungan Dasar Doi Moi

Vietnam turut tidak ketinggalan dalam kesan globalisasi.  Impak sistem ekonomi kapitalisme memaksanya untuk membuka pasaran ekonomi menerusi pelaksanaan dasar Doi Moi pada tahun 1986.  Dasar tersebut berjaya meningkatkan ekonomi sehingga lapan peratus pada pertengahan 1990-an selain muncul pengeksport terbesar beras dan kopi pada akhir dekad 1990-an.  Namun, kesan negatif daripada pelaksanaan Doi Moi tetap berlaku.  Wujud jurang sosial dan stratifikasi sosial dalam masyarakat melibatkan kedua-dua golongan elit dan golongan miskin.  Pertamanya, golongan elit terlibat dengan rasuah, autoritarianisme dan birokrasi.  Keduanya, golongan miskin pula terlibat dalam defisit, riba dan masalah upah buruh rendah.  Berbeza dengan kes Indonesia, permasalahan ini dapat dikesan oleh pemerintah dan mereka amt bersedia dengan penyesuaian dan pembaharuan.

            Penyesuaian dijalankan oleh pemerintah dengan melaksanakan proses nyah pusat atau desentralisasi kuasa dengan tujuan melibatkan rakyat dalam pembuatan keputusan.  Pembaharuan yang lebih demokratik diwujudkan sebagai jalan penyelesaian terhadap masalah jurang sosial dan stratifikasi masyarakat.  Melalui Artikel 3 dan Artikel 4 Perlembagaan Vietnam, peruntukannya mengiktiraf peranan rakyat atau people’s mastery.  Pengiktirafan hak rakyat diperkuatkan lagi dengan slogan “the party as leader, the people as master, and the state as administrator”.  Bersesuaian dengan senario pada 1900-an, satu perintah iaitu Decree 29/1998/ND-CP Promulgating The Regulation on Exercise of Democracy in Communes mewajibkan penglibatan pembuatan dasar di peringkat tempatan seperti di bandar dan kawasan kampung.  Ia bertujuan untuk meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti golongan elit dalam birokrasi serta pembanterasan amalan rasuah.

            Sehubungan dengan pelaksanaan perintah tersebut, mesyuarat peringkat kampung telah menjadi ciri demokrasi di Vietnam kerana penyuburan wacana dan perbincangan masyarakat tempatan dijalankan di setiap pelusuk kampung.  Permesyuaratan tersebut dijalankan berdasarkan kepada garis panduan Commune and Village Development Budget (CDVB).  Ia menggalakkan penglibatan semua isi rumah dewasa di Vietnam.  Cabarannya tetap ada.  Penglibatan golongan wanita adalah terhad kerana mereka disibukkan dengan tugas harian di rumah.  Selain itu, terdapat siri perbincangan yang tidak efektif kerana hanya membicarakan hal ehwal pentadbiran di peringkat kampung seperti larangan-larangan dan bayaran untuk pentadbiran tempatan.  Masalah komunikasi turut menjadi permasalahan utama kerana penglibatan orang luar ke kampung-kampung tradisi di Vietnam menimbulkan masalah bahasa.  Orang luar yang dimaksudkan ialah para pentadbir dan pegawai dalam struktur kerajaan, kebanyakan mereka adalah daripada etnik majoriti di Vietnam iaitu Kinh.  Bahasa yang digunakan oleh mereka adalah tidak sama fonetiknya dengan etnik-etnik minoriti.

            Walaupun perubahan di Vietnam ini mempunyai banyak kelemahan, ia tetap berjaya menggerakkan institusi tempatan menjadi lebih demokratik kerana peningkatan tahap penglibatan, ketelusan dan akauntabilitinya.  Sebelum pembaharuan ini diadakan, sistem politik di Vietnam adalah bersifat top-down atau berbentuk democratic centralism.  Selepas daripada itu, Far Eastern Economic Review dalam edisi 7 Disember 2000 menyatakan demokrasi di Vietnam telah ditransformasikan menjadi, “…What’s clear is that Hanoi can no longer rule by remote control…”. Tegasnya, tindak balas penyesuaian daripada negara terhadap kesan negatif globalisasi telah menjadikan Vietnam lebih demokratik (Jørgensen 2005:316-344).

3.4       MASYARAKAT SIVIL TRANSNASIONAL   

Globalisasi dalam ekonomi membawa pelbagai permasalahan yang besar terhadap usaha pemeliharaan alam sekitar daripada penipisan lapisan ozon, kesan rumah hijau dan pemanasan global.  Ia turut menimbulkan isu feminisme dan buruh kerana golongan ini sering dikaitkan dengan kerja lebih masa, upah buruh rendah dan diskriminasi di tempat kerja seperti gangguan seksual.  Maka, isu-isu yang timbul daripada permasalahan ini memerlukan arena baharu dalam demokrasi di Asia Tenggara.  Dalam konteks ini, isu-isu tersebut melahirkan gerakan masyarakat sivil yang aktif dalam memperjuangkan hak-hak minoriti seperti wanita, menjadi watch dog kepada pemerintah dan menjadi arena aktivisme rakyat.  Daripada perspektif masyarakat sivil itu sendiri, globalisasi menghasilkan bentuk baharu bagi ruang dan kekangan politik (Uhlin 2002:157).  Maka, gerakan masyarakat sivil telah wujud di negara-negara yang kurang autokratik seperti di Filipina dan Thailand.  Negara seperti Myanmar yang diperintah junta tentera langsung tidak diberikan hak untuk menubuhkan persatuan.  Dengan kewujudan masyarakat sivil ini, menurut Scholte (1999), akan memperkuat demokrasi dengan memberikan pendidikan, mewakili kumpulan yang tidak mempunyai suara politik, ruang perdebatan, meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti serta persaingan.

            Oleh itu, kewujudan masyarakat sivil di Asia Tenggara tidak hanya terhad di negara masing-masing sahaja, ia telah berkembang menjadi arena aktivisme rakyat di peringkat antarabangsa.  Hal ini dapat dilihat menerusi peranan beberapa gerakan mayarakat sivil.  Pertama, masyarakat sivil berfungsi sebagai pemantau pilihan raya.  NAMFREL dan Pollwatch yang aktif dalam pemantauan pilihan raya di Thailand mewujudkan Komite Independen Pemantau Pemilu (KIPP) di Indonesia.  kerjasama juga telah diadakan antara badan pemantau pilihan raya ini.  Aktivis dari Thailand dan Filipina memantau pilihan raya di Indonesia pada tahun 1999, selepas penggulingan Soeharto dan semasa penjalanan referendum di Timor Timur pada Ogos 1999. 

Kedua, masyarakat sivil membantu untuk memperkasa suara golongan terpinggir iaitu pekerja asing, mangsa penyeludupan, golongan miskin bandar, petani dan nelayan kecil.  Di Malaysia contohnya, kumpulan Tenaganita bekerjasama dengan badan bukan kerajaan dari Indonesia untuk menyelesaikan masalah amah Indonesia di Malaysia.  Selain itu, Coordination of Action Research on AIDS and Mobility (CARAM) menumpukan perhatian terhadap masalah kesihatan migran seperti penularan virus HIV atau penyakit AIDS.  Ini kerana pakej kesihatan di sesebuah negara kerapkali meminggirkan golongan migran.  Ketiga, masyarakat sivil antarabangsa di Asia Tenggara berperanan sebagai arena baharu bantahan awam.  Asia Pacific Economic Cooperation (APEC) disertai gerakan masyarakat sivil, tetapi tidak efektif.  Maka, penubuhan forum rakyat atau People’s Forum dijadikan arena untuk membantah dasar-dasar APEC yang tidak menguntungkan semua.  Dengan itu, ia turut mempromosikan kesamarataan dan agenda yang lebih demokratik di Asia Tenggara.

3.5       PELUASAN RUANG KOMUNIKASI DEMOKRATIK DI MALAYSIA

Globalisasi turut dikaitkan dengan perkembangan teknologi komunikasi elektronik.  Perkembangan tersebut turut membantu perkembangan wilayah Asia Tenggara untuk menjadi lebih demokratik.  Kekangan demokrasi di Malaysia dapat dilihat menerusi aspek kebebasan media.  Hal ini kerana wujud pelbagai campur tangan dalam organisasi media menerusi kuasa ekonomi dan kuasa undang-undang.  Bagi kuasa ekonomi syarikat akhbar tempatan seperti Syarikat Utusan, New Straits Times Press, Nanyang Press dan Tamil Nesan dikuasai secara proksi.  Campur tangan dalam syarikat akhbar ini dijalankan oleh parti pemerintah iaitu UMNO, MCA dan MIC menerusi syarikat nomini atau proksi dengan cara pengambil alihan saham.  Keadaan ini mewujudkan ruang komunikasi yang tidak demokratik untuk para pembangkang malahan dalam kalangan rakyat Malaysia sendiri.  Berita-berita yang disampaikan bersifat positif kepada pemerintah sahaja. 

Dengan penguasaan berterusan parti pemerintah dalam media cetak dan media elektronik seperti Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan saluran televisyen lain milik Media Prima, BN dapat menguasai pemikiran rakyat dan kuasanya.  Bagi kuasa melalui undang-undang pula, media milik pembangkang telah dikawal menerusi pemberian permit penerbitan dan pelesenan mesin cetak.  Undang-undang yang mengawal media pembangkang termasuklah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, Akta Hasutan 1970 dan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960.  Selain itu, akhbar-akhbar ini turut dikawal pengedarannya.  Sebagai contoh, akhbar Harakah hanya boleh diedarkan kepada ahli PAS sahaja.

            Realiti kebebasan media di Malaysia adalah tidak demokratik kerana hanya parti pemerintah diberikan ruang seluas-luasnya dalam menyampaikan maklumat kepada orang ramai.  Sedangkan dalam negara yang demokratik, rakyat perlu mempunyai akses media yang adil bagi semua struktur dalam masyarakat termasuklah parti politik, badan bukan kerajaan dan golongan minoriti.  Keadaan ini turut mengakibatkan demokrasi di Malaysia dirujuk sebagai statist democracy iaitu demokrasi yang tidak berkembang.  Oleh itu, globalisasi mewujudkan Malaysia yang lebih demokratik, selaras perkembangan teknologi maklumat yang dibawakan oleh globalisasi.  Ranah komunikasi maklumat menjadi semakin canggih dan pelbagai. 

Perhubungan yang pantas dan mudah menerusi internet oleh JARING dan Multimedia Super Corridor di Malaysia menjadikan perkembangan demokrasi di Malaysia semakin cepat dan canggih.  Perkembangan capaian terhadap internet dalam kalangan rakyat meningkat dari tahun ke tahun.  Perangkaan rasmi daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Maklumat mencatatkan pertumbuhan capaian internet dari 12.7 peratus pada tahun 2004 kepada 14.3 peratus pada tahun 2007.  Senario ini membawa kepada perkembangan akhbar atas talian dan blog.  Kewujudan media daripada internet telah menyumbang kepada peluasan ruang komunikasi yang lebih demokratik di Malaysia.  Antara akhbar atas talian yang berpengaruh ialah Malaysiakini, HarakahDaily, Malaysian Insider dan Sinar Harian.

Dengan kewujudan media alternatif ini, persaingan antara parti pemerintah dan parti pembangkang dapat ditingkatkan.  Ini kerana media arus perdana yang memihak kepada parti pemerintah terpaksa bersaing dengan media alternatif yang pro kepada pembangkang.  Selain itu, kadar interaksi dan aplikasi dalam media alternatif turut meyuburkan wacana politik dalam kalangan rakyat Malaysia.  Oleh itu, dengan kemajuan teknologi yang dibawakan arus globalisasi ini, ia telah membantu Malaysia untuk menjadi lebih demokratik dalam aspek kebebasan media.  Persaingan antara parti pemerintah dan parti pembangkang juga menjadi lebih kompetitif.

4.1       KESIMPULAN

Berdasarkan perbincangan konseptual globalisasi, pendemokrasian sememangnya menjadi salah satu hasil daripada proses tersebut.  Namun, ia tidak menyumbang ke arah pendemokrasian secara terus atau unidirectional tetapi lebih kepada proses yang berperingkat-peringkat.  Oleh itu, globalisasi memperluas pemahaman mengenai pendemokrasian di Asia Tenggara.  Kaedah yang dibawakan oleh globalisasi terhadap pendemokrasian juga adalah berbeza iaitu menerusi negara kolonial sebagai agen yang membawa pendemokrasian ketika gelombang kedua globalisasi, tindak balas terhadap dampak ekonomi liberal kapitalisme, tindak balas masyarakat sivil terhadap kesan negatif globalisasi dan sumbangan perkembangan teknologi maklumat.  Dalam perbincangan ini, negara seperti Indonesia tidak dapat menahan arus globalisasi sehingga terpaksa menjalani pendemokrasian di peringkat struktur politik negara pada tahun 1998.  Terdapat juga negara yang dapat menyesuaikan diri dengan impak globalisasi dan mengadakan pembaharuan demokratik seperti Vietnam tidak memerlukan perubahan struktur politik di peringkat negara.  Dalam kes Malaysia pula, permasalahan demokrasi lebih kepada persoalan kebebasan hak asasi yang mana kebebasan media dapat diperluas menerusi perkembangan teknologi maklumat.  Di peringkat struktur yang lebih tinggi, masyarakat sivil antarabangsa telah bertindak balas  terhadap kesan negatif globalisasi.  Peranan aktor bukan negara ini sedikit sebanyak turut menymbang ke arah wilayah Asia Tenggara yang lebih demokratik.  Maka, pendekatan globalisasi ini telah meluaskan lagi pemahaman tentang pendemokrasian di Asia Tenggara.  Kesimpulannya, globalisasi sememangnya telah menjadikan Asia Tenggara sebagai wilayah yang lebih demokratik dengan lebih pantas menerusi impak positif dan negatifnya.


RUJUKAN
             
Case, W.  2002.  Politics in Southeast Asia: democracy or less.  Surrey: Curzon Press.

Dewi Fortuna Anwar.  2005.  The fall of Fuharto: understanding the politics of the global.  Dlm.  Loh Kok Wah, F. & Öjendal, J. (pnyt.).  Southeast Asian responses to globalization: restructuring governance and deepening democracy, 201-232.  Singapore: Institute of Southeast Asian Studies.


Harvey, David, 1989, The Condition of Postmodernity, Oxford: Blackwell.


Hay, C. & Marsh, D.  2000.  Demystifying Globalization.  Palgrave: MacMillan

Jørgensen, B.  2005.  Democracy among the grassroots: local responses to democratic reforms in Vietnam.  Dlm.  Loh Kok Wah, F. & Öjendal, J. (pnyt.).  Southeast Asian responses to globalization: restructuring governance and deepening democracy, 316-344.            Singapore: Institute of Southeast Asian Studies.


Langhorne, R.  2001.  The Coming of Globalization: Its Evolution and Contemporary Consequences.  Palgrave: MacMillan.


Loh Kok Wah, F. & Öjendal, J. (pnyt.). 2005. Southeast Asian responses to globalization: restructuring governance and deepening democracy. Singapore: Institute of Southeast Asian Studies.

Rashila Ramli. 2002. Perkembangan teoritis hubungan antarabangsa dalam era global. dlm. Ghazali Mayudin. (pnyt.). Politik Malaysia: perspektif teori dan praktik. hlm. 153-171. Bangi: Penerbit UKM.

Robertson, R. 2003. The three waves of democratization: a history of a developing global consciousness.  London: Fernwood.

Robertson, R. 2004. The Historical Context and Significance of Globalization.  Development and Change 35(3): 557-565.

Shamsul A.B.  2002.  Globalization and democratic developments in Southeast Asia: articulation and social responses. dlm. Kinnvall & Jönsson, K. (pnyt.). Globalization and democratization in Asia: the construction of identity. hlm. 193-209. London: Routledge.


Uhlin, A. 2002. Globalization, democratization and civil society in Southeast Asia: observation from Malaysia and Thailand. dlm. Kinnvall & Jönsson, K. (pnyt.). Globalization and democratization in Asia: the construction of identity. hlm. 149-165. London: Routledge.

Ulasan