Esei Feminisme dalam Pentadbiran Awam (Pengantar pentadbiran Awam)

1.0 PENGENALAN

Pentadbiran awam merupakan bidang terpenting dalam pengurusan kepentingan dan keperluan rakyat dalam sesebuah komuniti tidak kira di peringkat paling rendah iaitu kerajaan tempatan mahupun peringkat yang lebih tinggi seperti kerajaan kerajaan pusat. Fungsi badan pentadbiran awam ini amat penting dalam melicinkan pengurusan hal ehwal awam terutamanya aspek pendidikan, kesihatan, keselamatan dan kebersihan. Sebagai pentadbir, keutamaan pentadbir-pentadbir awam adalah untuk memenuhi kehendak-kehendak pelanggan dan menjalankan fungsi dalam hal-hal eksekutif serta pelaksanaan dasar-dasar awam. Perjalanan pengurusan sesebuah organisasi dalam pentadbiran awam merupakan satu proses pengurusan dengan manusia yang memiliki emosi, sensitiviti kaum, ideologi dan hukum-hakam agama yang perlu dipelihara. Salah satu sensitiviti penting dalam pentadbiran awam ialah soal perbezaan jantina atau gender. Persoalan ini menjadi isu apabila liberalisasi dalam politik, ekonomi dan sosial berlaku selain peningkatan gerakan-gerakan bersifat egalitarian serta suara-suara yang memperjuangkan hak-hak asasi manusia. Kelaziman untuk para lelaki berada dalam sesebuah organisasi pentadbiran dan pengurusan telah mula dipersoalkan kerana terdapat bukti-bukti kemunculan golongan wanita yang mampu untuk menjalankan peranan sebagai pentadbir, persoalan keadilan terhadap wanita dalam penyertaan secara langsung dalam urusan kenegaraan dan kewujudan gerakan-gerakan yang lebih sistematik dalam mempersoalkan layanan terhadap kaum wanita. Gerakan ini disebut sebagai gerakan feminisme dan popular pada peringkat awal di negara-negara Barat khususnya di negara Amerika Syarikat dan United Kingdom. Perjuangan menggerakkan kesedaran dan tindakan-tindakan politik berlandaskan isu feminisme ini juga digagaskan di negara-negara Timur seperti Malaysia dan Indonesia yang mengetengahkan isu emansipasi wanita dalam pendidikan dan kekeluargaan. Hal ini membuktikan bahawa pendekatan feminisme ini wujud dalam masyarakat Barat dan Timur sekaligus membuktikan bahawa pendekatan ini merupakan pendekatan yang bersifat sejagat atau universal. Oleh itu, perbincangan ini akan membahaskan pendekatan feminisme, pergerakannya dalam masyarakat, tindakan-tindakan politik mereka sehingga mengubah definisi kuasa dalam pentadbiran awam yang sebelumnya lebih memandang peranan dan kebolehan kaum lelaki sebagai buruh mental dan fizikal dalam hal-hal pentadbiran awam.

2.0 TAKRIF PENTADBIRAN AWAM DAN FEMINISME

2.1 Definisi Pentadbiran Awam

Pentadbiran awam difahami umum sebagai sistem pengurusan hal-hal berkaitan kebajikan dan kepentingan seluruh rakyat seperti hal-hal kesihatan masyarakat, pendidikan kanak-kanak, bekalan asas seperti air dan elektrik, komunikasi massa dan keselamatan dalam negeri. Keperluan untuk pentakrifan pentadbiran awam ini secara tepat dan pelbagai adalah untuk menjelaskan perbezaan di antara struktur politik dan kepimpinan dengan struktur pentadbiran dan pengurusan. Kedua-dua struktur iaitu politik dan pentadbiran harus jelas kerana pentadbiran awam lebih bersifat fungsional kepada orang awam berbanding politik yang lebih menumpukan aspek kepimpinan terhadap rakyat. Hal ini amat penting agar pemisahan kuasa atau pembahagian tugas dibuat secara jelas, tidak mewujudkan campur tangan dan dipatuhi oleh para pentadbir awam dan ahli politik.

2.1.1 Definisi Pentadbiran Awam oleh Dwight Waldo

Sarjana Dwight Waldo (1913-2000) menghujahkan definisi pentadbiran awam dalam Classics of Public Administration kepada dua takrif yang lazim atau tipikal. Pertama, pentadbiran awam didefinisikan sebagai sebuah organisasi untuk pengurusan manusia dan benda-benda untuk mencapai matlamat kerajaan. Hal ini akan melibatkan para penjawat-penjawat awam dalam institusi berkaitan untuk menjalankan peranan sehingga tercapainya objektif sesuatu dasar kerajaan. Contohnya, kerajaan Malaysia telah mengumumkan polisi berkaitan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) pada tahun 2002 dan pelaksanaannya pada tahun tahun 2003. Dasar ini harus dijalankan di institusi pendidikan oleh guru-guru sebagai penjawat awam yang bertanggungjawab untuk melaksanakan dasar yang telah dibentuk kerajaan. Kedua, pentadbiran awam didefinisikan sebagai “seni dan sains pengurusan” sebagaimana dikaitkan kepada hal ehwal sesebuah negeri atau negara. Berdasarkan takrif yang lebih mendalam, pentadbiran awam dikaitkan sebagai satu cabang seni pengurusan apabila ia diaplikasikan sebagai kaedah-kaedah untuk menguruskan sesuatu isu. Selainnya, ia dianggap sebagai sains pengurusan apabila isu dijadikan bahan kajian yang sistematik.

2.1.2 Definisi Pentadbiran Awam oleh David H. Rosenbloom

David H. Rosenbloom (1943- kini) ialah seorang sarjana bidang pentadbiran awam dari Amerika Syarikat yang berkepakaran dalam bidang berkaitan pelaksanaan perlembagaan dalam pentadbiran awam. Beliau telah membahagikan pendefinisian pentadbiran awam kepada empat iaitu definisi dalam politik, definisi dalam perundangan, definisi dalam pengurusan dan definisi dalam pekerjaan. Keempat-empat definisi ini mempunyai signifikan dalam pendekatan feminisme. Dalam erti kata lain, teori feminis boleh disesuaikan atau mempunyai logika untuk dikaitkan secara bersama.
Pertama, definisi dalam politik menyatakan bahawa pentadbiran awam ialah kitaran pembentukan dasar awam dan pelaksanaan kepentingan awam. Dalam pendekatan feminisme, pembentukan dasar kerajaan yang mengambil kira hal-hal wanita merupakan salah satu ciri yang memperlihatkan pendekatan ini tidak terlepas daripada diambil kira dalam pembentukan dasar-dasar seperti Dasar Wanita Negara dan Dasar Wanita Negara 2009 di Malaysia yang mana dasar ini bertujuan untuk melibatkan golongan wanita dalam semua peringkat masyarakat. Kedua, definisi dalam perundangan menyebut pentadbiran awam sebagai pelaksanaan undang-undang. Dasar-dasar yang telah digazetkan haruslah dilaksanakan oleh badan eksekutif contohnya. Dasar 30% Wanita Peringkat Pembuat Keputusan. Ketiga, dalam pendefinisian bidang pekerjaan, pentadbiran awam disebut sebagai pelaksanaan idealisme. Peningkatan ilmu pengetahuan telah menyedarkan masyarakat tentang peranan wanita dalam sektor pentadbiran awam dan menjadikannya sebagai idealisme baharu dalam masyarakat. Maka, idealisme ini harus disesuaikan mengikut kehendak dan keperluan semasa dalam hal ehwal awam.

2.2 Definisi Feminisme

Pendefinisian dan penafsiran istilah feminisme juga penting kerana ia mempunyai konotasi berbeza mengikut kelompok masyarakat yang menggunakannya. Perbezaan penggunaan istilah ini boleh menimbulkan perbezaan mengikut zaman, etnik dan tahap pendidikan seseorang atau komuniti. Semasa Mary Wollstonecraft menerbitkan karyanya berjudul A Vindication of the Rights of Woman, masyarakat di Eropah ketika itu masih lagi memandang rendah terhadap kedudukan wanita. Beliau menulis karya tersebut semasa gelombang Zaman Pencerahan di Eropah dan kedudukan wanita di Eropah pada abad ke-21 ini jauh lebih baik berbanding sebelumnya. Tahap pendidikan juga membezakan pemahaman seseorang terhadap feminisme. Bagi golongan berpendidikan tinggi, tahap kesedaran mereka terhadap isu-isu wanita lebih matang berbanding mereka yang kurang didedahkan terhadap persoalan seperti ini. Oleh itu, pendefinisian ini bertujuan melihat feminisme daripada segi penggunaan istilah, pengertiannya dalam akademik dan perkembangan pergerakan feminisme.

2.2.1 Penggunaan Istilah Feminisme

Berdasarkan Stanford Encyclopedia of Philosophy, istilah feminisme lazimnya dikaitkan dengan tiga perkara oleh para penulis. Pertama, ia merupakan istilah kepada pergerakan kumpulan-kumpulan pendesak di Amerika Syarikat dan Eropah yang memperjuangkan kepentingan kaum wanita melalui tindakan politik sejak akhir abad ke-19 hingga kini. Kedua, ia diistilahkan sebagai ketidakadilan terhadap kaum wanita walaupun tiada apa-apa garis panduan jelas tentang apa yang dikelaskan ke dalam ketidakadilan. Ketiga, istilah feminisme digunakan untuk merujuk kualiti diri atau sifat-sifat kewanitaan pada pertengahan 1800-an tetapi ia tidak lagi digunakan setelah perhimpunan First International Women’s Conference di Paris pada tahun 1892. Sejak itu, istilah ini dirujuk sebagai ketidakadilan terhadap wanita.

2.2.2 Pengertian dalam Bidang Akademik

Selain itu, dalam bidang akademik, feminisme dikelaskan kepada dua aspek atau pengertian. Aspek pertama ialah feminisme sebagai wadah intelektual. Persoalan-persoalan mengenai kaum wanita seperti penyertaan dalam pembuatan dasar, penerimaan kepada mereka sebagai pentadbir organisasi dan budaya kerja wanita dalam sektor awam dijadikan sebagai disiplin ilmu dan bidang kajian sehingga tertubuhnya institut kajian seperti di Amerika Syarikat iaitu Centre for Women Policy Studies (CWPS). Kedua, feminisme dirujuk sebagai pergerakan politik yang mendesak polisi-polisi kerajaan agar tidak menekan golongan wanita sebagai ahli masyarakat, membuka ruang penyertaan politik kepada wanita dan mengangkat kedudukan wanita dalam struktur sosial masyarakat. Oleh itu, dapat disimpulkan bahawa bidang akademik mentakrifkan feminisme sebagai nama kepada bidang pengajian dan istilah kepada pergerakan politik yang membawa isu-isu wanita.

2.3 Perkembangan Pergerakan Feminisme

Perkembangan gerakan feminisme telah berlaku sejak akhir abad ke-19 hingga sekarang dengan tiga gelombang kebangkitan. Setiap daripadanya membawa isu berlainan dan terjadi mengikut pengaruh politik dan ekonomi semasa. Gelombang pertama berlaku pada akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20 seiring dengan perkembangan industri dan urbanisasi di Amerika Syarikat. Isu utama gelombang kebangkitan ini ialah tentang hak wanita dalam memilih dan menyuarakan pendapat sehingga termaktubnya The Nineteenth Amendment pada tahun 1920 di Amerika Syarikat. Gelombang kedua pula berlaku pada akhir 1960-an dan awal 1970-an. Dalam gelombang kedua ini, isu yang menjadi tumpuan ialah hak-hak dalam seksualiti, reproduksi, pendidikan, layanan di tempat kerja dan di rumah. Ia juga bertujuan untuk memberikan tekanan supaya Equal Rights Amendment diluluskan untuk mencapai kesamarataan sosial. Gelombang ketiga terjadi apabila transformasi berlaku terhadap feminisme serentak dengan perkembangan pemikiran post-modernism ketika pertengahan tahun 1990-an. Kritikan dan sikap skeptis telah disuarakan terhadap gelombang kedua feminisme yang gagal melihat perbezaan layanan terhadap wanita kerana faktor ras, etnik, kewarganegaraan dan agama. Jadi, setiap perkembangan ini mempunyai pengaruh dalam memberi tekanan terhadap kedudukan kaum wanita dalam pentadbiran awam lebih-lebih lagi ia melibatkan pindaan-pindaan besar dalam perlembagaan.

3.0 REALITI DEFINISI KUASA DALAM PENTADBIRAN AWAM

Topik ini bertujuan untuk melihat definisi kuasa dalam pentadbiran awam. Struktur kuasa dalam pentadbiran awam sebelum pendekatan feminisme ini diuar-uarkan memperlihatkan penguasaan kaum lelaki. Hampir keseluruhan pemilikan pangkat dan jawatan dalam sektor ini dimonopoli oleh kaum lelaki. Pemilikan pangkat dan jawatan ini menunjukkan pemilikan kuasa yang terpusat dalam sesebuah organisasi. Dalam erti kata lain, siapa yang memiliki jawatan dan pangkat dalam organisasi maka mereka yang memiliki kuasa. Pemilikan kuasa yang terhad dalam kalangan lelaki menunjukkan budaya maskulin dalam pengurusan, perkhidmatan dan hal-hal kebajikan awam.
Dalam bahagian ini, penghuraian mengenai keadaan atau realiti sebenar pentadbiran awam mengikut pendekatan feminisme akan dijalankan. Ia bertujuan untuk menjelaskan signifikan pendekatan feminisme ini terhadap sektor awam, sama ada persoalan feminisme ini diberi perhatian atau diabaikan oleh sektor pentadbiran awam kerana pewajaran terhadap pendekatan ini mempunyai logiknya yang tersendiri. Bilangan wanita yang kecil menjadi isu untuk diketengahkan dalam pentadbiran awam yang segah dengan budaya maskulin.

3.1 Teori Feminis dalam Pentadbiran Awam

Teori feminis ialah teori yang mengambil perhatian kepada pengkajian ketidaksamarataan gender dalam perspektif wanita. Teori ini memberikan penekanan kepada pemboleh ubah yang menyebabkan kewujudan layanan berat sebelah atau diskriminasi terhadap wanita seterusnya menerangkan persoalan mengapa masih ada lagi sektor-sektor tertentu dalam pentadbiran awam yang tidak menerima wanita sebagai tenaga kerja.

3.1.1 Teori Deskriptif dan Konsepsual

Untuk menilai pendekatan feminisme dalam pentadbiran awam, terdapat dua teori yang digunakan oleh para sarjana dalam bidang ini iaitu teori deskriptif dan teori konsepsual. Teori deskriptif ialah penerangan yang dijalankan untuk menerangkan keadaan wanita dalam pentadbiran awam berdasarkan kajian secara empirik. Teori konsepsual pula penerangan yang dijalankan berdasarkan penghuraian struktur dan amalan-amalan dalam pentadbiran awam tersebut. Teori secara konsepsual ini kurang daya analisis dalam pengkajian sebaliknya menekankan penghuraian sahaja.
Teori deskriptif mengenai feminisme dalam pentadbiran awam ini telah dikemukakan oleh Nesta M. Gallas (1976). Beliau mengaplikasikan kajian secara empirik terhadap kes bilangan kecil wanita yang berkhidmat dalam pentadbiran awam seterusnya menetapkan pandangan bahawa bilangan kecil ini merupakan senario negatif dalam sektor awam. Oleh itu, beliau menyarankan agar tindakan afirmatif atau affirmative action dilakukan untuk memperbaiki keadaan ini. Tindakan ini dijalankan untuk memperkukuh penglibatan wanita yang selama ini tidak memberangsangkan. Beberapa langkah strategik telah dikemukakan beliau untuk meningkatkan keberkesanan penyertaan wanita iaitu bimbingan kerjaya, menghapuskan gejala gangguan seksual di tempat kerja, penyediaan pusat penjagaan kanak-kanak dan pembentukan polisi kerajaan iaitu Family Leaves Policies.
Teori konsepsual pula dikemukakan oleh Robert B. Denhardt dan Jan Perkins (1976) dengan menghuraikan budaya yang terdapat dalam pentadbiran awam. Bersandarkan pemerhatian mereka, budaya maskulin atau hierarki dalam pentadbiran awam telah mengecilkan jumlah penyertaan wanita dalam sektor ini. Kebiasaan dalam sektor ini ialah pengambilan gender lelaki sebagai pilihan untuk mentadbir dan berkhidmat kerana keupayaan mereka lebih membawa kesan positif terhadap kelancaran sistem tersebut. Oleh itu, pembukaan peluang penyertaan sahaja tidak memadai untuk melihat keberkesanan khidmat wanita dalam sektor ini sebaliknya tradisi atau pandangan berbentuk stereotaip harus diubah agar ia memotivasikan golongan wanita ini.
Setelah melihat keadaan sebenar penyertaan wanita dalam pentadbiran awam ini yang mana ia melibatkan hanya sebilangan kecil mereka, topik seterusnya akan membincangkan penghalang-pengahalang atau faktor saiz bilangan yang kecil golongan wanita dalam sektor awam. Oleh itu, topik selanjutnya akan menemukan jawapan kepada persoalan bilangan kecil wanita dalam pentadbiran awam yang telah dibincangkan dalam topik ini.

4.0 KEKANGAN PENYERTAAN WANITA DALAM PENTADBIRAN AWAM
Topik ini akan membincangkan kekangan terhadap wanita dalam paradigma politik, psikologi dan sosiologi. Hal ini kerana faktor-faktor tersebut selalu menjadi penghalang kepada wanita untuk melibatkan diri ke dalam lapangan kerja yang sudah menjadi kelaziman bagi kaum lelaki. Penghalang seperti adat resam, dasar-dasar kerajaan dan aturan agama juga menjadi sebab mengapa wanita kurang motivasi dan keyakinan untuk tampil dalam memberi komitmen terhadap masyarakat. Perbincangan ini menekankan faktor-faktor tersebut kerana ia merupakan fokus gelombang gerakan feminisme ketiga yang mengkritik kekurangan penekanan terhadap aspek etnik, kewarganegaraan dan agama.

4.1 Paradigma Politik, Psikologi dan Sosiologi
Ketiga-tiga paradigma iaitu politik, psikologi dan sosiologi melihat kepada peranan dan kedudukan kaum wanita dalam pentadbiran awam. Setiap daripadanya mengemukakan faktor kekurangan penyertaan wanita dalam pentadbiran awam seperti dasar-dasar kerajaan, faktor psikologi atau mentaliti kaum wanita dan pengaruh struktur sosial terhadap penyertaan wanita dalam bidang-bidang berkaitan pendidikan, kesihatan, keselamatan, kebajikan dan pengurusan.

4.1.1 Paradigma Politik

Sarjana sains politik memberikan penekanan terhadap penyertaan wanita dalam pentadbiran awam sebagai unsur terpenting kepada keterbukaan sektor pentadbiran awam terhadap wanita. Para sarjana sains politik tidak bersetuju dengan unsur keperluan politik sebagai faktor yang mendorong kurangnya penyertaan wanita dalam pentadbiran awam. Oleh itu, keinginan wanita untuk turut serta dalam pelaksanaan dasar-dasar awam ini menjadi penentu sama ada sektor pentadbiran awam ini patut dibuka seluas-luasnya kepada wanita atau tidak.
Beberapa kajian telah dijalankan untuk menilai sumbangan wanita dalam pentadbiran awam iaitu kritikan terhadap gaya kerja wanita berdasarkan pengalaman-pengalaman lepas, kajian gerakan feminisme yang tersusun untuk menuntut lebih banyak penyertaan kaum wanita dan kajian terhadap penelitian peranan wanita sebagai pengundi sehingga peranan sebagai pembuat dasar. Salah satu pergerakan yang wujud semasa gelombang kedua gerakan feminisme ialah tuntutan terhadap Equal Rights Amendment (ERA). Tuntutan ini mengemukakan isu ketidakseimbangan dalam hak-hak wanita untuk turut serta dalam pelbagai bidang kemasyarakatan. Pindaan ini seterusnya telah membuka peluang kepada wanita untuk terlibat secara aktif dalam masyarakat berbanding kaum lelaki. Selain pendapat Jo Freeman (1975) terhadap faktor isu-isu ketidakadilan dan layanan berat sebelah terhadap wanita, menurut Ethel Klein (1984),faktor perubahan gaya hidup berteraskan pengalaman kerja berbanding pengalaman di rumah telah menguatkan lagi kesedaran feminis terhadap perundangan yang menyekat penyertaan mereka. Sebagai jalan penyelesaian kepada desakan-desakan ini, pemansuhan undang-undang yang menindas dan penggubalan dasar yang menggalakkan penyertaan kepada kaum wanita untuk terlibat aktif dalam peranan golongan elit pentadbiran awam telah dilaksanakan.

4.1.2 Paradigma Psikologi

Menurut Riger dan Galligan (1980), ahli psikologi melihat pembentukan atau pembinaan sifat-sifat wanita secara psikologinya bertentangan dengan keperluan-keperluan dalam peranan sebagai seorang pengurus. Wanita menjadi dewasa dengan sifat lemah lembut, penyayang, belas kasihan dan banyak bersimpati. Sifat-sifat semulajadi ini tidak sesuai untuk digandingkan dengan peranan sebagai pentadbir yang memerlukan seseorang itu untuk bersikap tegas dan teguh dalam pendirian terutamanya dalam arahan sebagai ketua. Maka, sifat-sifat yang terbentuk secara psikologi ini akan merendahkan motivasi diri wanita dan menutup peluang kepada mereka untuk turut serta dalam sektor pentadbiran awam.
Terdapat beberapa pandangan hasil daripada kajian ahli psikologi terhadap sifat-sifat wanita yang menghakis minat dan kepercayaan masyarakat terhadap penyertaan mereka dalam pentadbiran awam. Dalam Bright Women oleh Martina Horner, dia menyatakan bahawa wanita sebenarnya mempunyai naluri yang takut akan kejayaan dalam jawatan-jawatan tinggi kerana kejayaan tersebut akan menidakkan sifat-sifat kewanitaan mereka. Menurut Horner (1969) lagi, wanita mempunyai naluri yang menolak keinginan untuk berjaya seperti kaum lelaki. Tambahannya, Hennig dan Jardim (1977) juga mempunyai pandangan sama bahawa wanita memiliki kekurangan dalam sikap untuk berjaya selain kemahiran dan bakat dalam pengurusan. Selain kekurangan-kekurangan ini, kajian yang telah dijalankan oleh Bowman, Worthy dan Greyser (1965) mendapati perbandingan antara lelaki dan wanita memperlihatkan wanita kurang minat terhadap peranan sebagai pengurus, tawaran kerja terhad dan gaji yang kecil. Walaubagaimanapun, kekangan-kekangan ini tidak seharusnya menjadi alasan untuk wanita diserapkan dalam pentadbiran awam kerana pendekatan feminisme itu mempunyai gerakan terancang untuk mengangkat kedudukan kaum wanita. Gomez Meija (1983) menyatakan bahawa peluang kepada wanita ialah perkara terpenting kerana peluang ini akan membiasakan wanita dengan suasana kerja. Lelaki dan wanita boleh berubah mengikut perubahan masa. Penyelesaian kepada permasalahan ini ialah pendidikan yang berterusan kepada kaum wanita agar mereka menyedari keupayaan dalam diri selain taraf pendidikan itu sendiri mengubah budaya maskulin atau cultural masculine dalam pentadbiran awam.

4.1.3 Paradigma Sosiologi
Kajian sosiologi berfokus kepada kajian terhadap ciri-ciri yang terdapat pada struktur sesebuah organisasi. Rosabeth Moss Kanter dalam artikelnya yang diterbitkan pada tahun 1976 menyebut bahawa pekerjaan tidak wujud dalam satu keadaan yang bebas sebaliknya ia terikat kepada sesebuah institusi. Kewujudan institusi ini menentukan struktur-struktur seperti siapa berkhidmat untuk siapa, siapa mendominasi siapa dan bagaimana ahli dalam satu-satu bidang pekerjaan berhubung sesama mereka. Struktur-struktur ini menjadi topik analisis dan penghuraian dalam bidang sosiologi. Dalam Men and Women of The Corporation, Kanter menetapkan tiga pemboleh ubah dalam analisis organisasinya. Pertama ialah pengagihan peluang, kedua ialah pengagihan kuasa dan terakhir ialah pecahan golongan masyarakat dalam sesebuah organisasi. Kesemua pemboleh ubah ini mempunyai kesan terhadap penyertaan wanita dalam pentadbiran awam.
Pertama, agihan peluang dalam sesebuah organisasi perkhidmatan mengesankan wanita daripada segi keberkesanan khidmat dan peranan mereka. Wanita dalam ruang dan peluang yang kecil berkecenderungan untuk mempunyai motivasi diri yang rendah, kurang keyakinan diri dan mencari kepuasan diri melalui aktiviti-aktiviti luar daripada bidang kerja lalu mengganggu prestasi kerja. Keadaan struktur organisasi yang tidak peka terhadap agihan peluang ini mengakibatkan wanita tampil sebagai pekerja yang tidak kondusif terhadap perubahan-perubahan di tempat kerja. Perkara sepertinya mengurangkan ketrampilan wanita seterusnya mengecilkan peluang dan keyakinan pasaran terhadap wanita. Kedua, struktur kuasa dalam pentadbiran awam terpusat kepada ketua dan ia menunjukkan budaya maskulin dalam pentadbiran awam. Golongan wanita pula tergolong dalam lingkungan pekerja-pekerja yang mempunyai kedudukan dengan kuasa yang rendah. Maka, kedudukan ini mengakibatkan impak golongan wanita kurang kelihatan kerana mereka terbiasa dengan keadaan tanpa tanggungjawab dan sentiasa patuh kepada arahan ketua. Ketiga, asal-usul atau kelompok masyarakat yang diwakili oleh wanita juga mempengaruhi persepsi masyarakat terhadap kebolehan wanita untuk berkhidmat dalam bidang pentadbiran awam iaitu bidang yang memerlukan komitmen tinggi. Menurut Kanter, wanita juga terkadang untuk didiskriminasi struktur organisasi kerana etnik atau agama yang diwakilinya. Perkara ini terjadi kerana kelompok etnik atau agama yang mereka wakili itu sendiri mengalami diskriminasi sekaligus memperlihatkan seolah-olah wanita itu sendiri yang tidak berpeluang untuk menampilkan dirinya. Maka, ketiga-tiga pemboleh ubah yang dianjurkan Kanter ini mengecilkan kebolehan dan penampilan wanita dalam pentadbiran awam lalu mengekang keterbukaan sektor ini kepada kaum wanita.

5.0 RASIONAL PENGLIBATAN WANITA DALAM PENTADBIRAN AWAM
Pendekatan feminisme ternyata mengubah definisi kuasa dalam pentadbiran awam. Jika sebelum ini pentadbiran awam hanya membuka peluang penyertaan yang luas kepada kaum lelaki sahaja sebagai pengurus dan pentadbir, isu-isu yang dibawa oleh gerakan-gerakan feminisme seperti keadilan sosial, ekuiti dan diskriminasi telah membuka mata pihak-pihak bertanggungjawab iaitu kerajaan, institusi pendidikan dan badan-badan bukan kerajaan untuk menggalakkan dan member peluang penyertaan kepada kaum wanita dalam sektor awam. Apatah lagi dalam zaman globalisasi dan keterbukaan minda masyarakat melalui kemajuan teknologi maklumat telah menyedarkan golongan wanita tentang hak dan keistimewaan mereka untuk turut serta menyumbang dan berbakti dalam masyarakat. Oleh itu, definisi lama kuasa dalam pentadbiran awam telah berubah secara beransur-ansur akibat daripada pendekatan feminisme berdasarkan rasional-rasional tertentu.

5.1 Faktor-faktor Penerimaan Pentadbiran Awam Terhadap Penyertaan Wanita
Walaupun pada awalnya ciri-ciri maskulin mendominasi struktur kuasa dalam pentadbiran awam, keterbukaan sektor ini terhadap penyertaan golongan wanita berpunca daripada pendekatan feminisme. Idealisme tentang keadilan dan layanan sama rata antara lelaki dan wanita ini digerakkan dengan beberapa medium utama seperti pergerakan politik, pendidikan dan penggunaan ruang demokrasi seperti konsep kebebasan dalam bersuara dan penyampaian idea. Desakan-desakan, tahap kesedaran, peningkatan saiz bilangan wanita, keperluan dalam pentadbiran awam dan pelaksanaan Dasar Wanita Negara menjadi faktor-faktor yang mewajarkan penerimaan pentadbiran awam terhadap penyertaan wanita.
Faktor-faktor ini boleh dibahagikan kepada dua iaitu faktor dalaman dan faktor luaran. Faktor dalaman yang mengubah ciri-ciri maskulin ini ialah keperluan dalam sektor pentadbiran awam itu sendiri. Perkhidmatan awam seperti bidang kesihatan contohnya memerlukan penglibatan wanita yang ramai untuk bekerja di bahagian-bahagian rawatan yang memerlukan wanita sebagai tenaga kerja. Contohnya, pesakit-pesakit beragama Islam perlu menjaga batas dalam hukum-hakam agama apabila berhadapan dengan lelaki bukan muhrim. Perkara ini membawa kesulitan kepada mereka untuk mengekalkan kesucian hukum agama. Maka, jalan penyelesaian terbaik ialah menambah tenaga pakar seperti doktor dalam kalangan wanita di hospital-hospital dan klinik-klinik supaya ia memudahkan perkhidmatan. Pertambahan bilangan wanita ini secara tidak langsung mencabar budaya maskulin dalam bidang kesihatan. Selain itu, pembentukan Dasar Wanita Negara juga merupakan keperluan yang mesti dilaksanakan. Ia merupakan salah satu birokrasi dalam ideal type oleh Max Weber iaitu rasional-perundangan. Di bawah dasar wanita ini, ia menggalakkan penyertaan dan sumbangan golongan wanita dalam pelbagai bidang dan lapisan masyarakat selain wujudnya sebuah lagi dasar iaitu Dasar 30% Wanita Peringkat Pembuat Keputusan yang menuntut agar sebanyak 30 peratus daripada jumlah tenaga kerja dalam perkhidmatan awam terdiri daripada golongan wanita. Berdasarkan perundangan, dasar yang telah dibentuk ini perlu dilaksanakan kerana setiap sektor awam sudah terikat dengan undang-undang tersebut dan menjadi satu kesalahan jika mereka tidak mematuhinya. Dasar ini juga rasional untuk dijalankan kerana ia hanya melibatkan 30 peratus golongan wanita dan ia selaras dengan peningkatan jumlah populasi wanita. Oleh itu, sektor pentadbiran awam harus membuka peluang kepada kaum wanita agar ia tidak tertutup kepada kaum lelaki sahaja.
Faktor luaran pula ialah faktor-faktor yang datang bukan daripada keperluan dalam pentadbiran awam tetapi lebih berunsurkan desakan-desakan, tekanan politik dan institusi-institusi di luar konteks pentadbiran awam. Pertama, gerakan feminisme yang berlaku sejak zaman Wollstonecraft ketika gelombang pertama sehingga gelombang kedua dan gelombang ketiga memberikan tekanan dan desakan kepada sektor ini untuk membuka peluang kepada wanita. Hal ini boleh terjadi apabila polisi sesebuah kerajaan cuba untuk disesuaikan dengan kehendak-kehendak idealisme pengundi-pengundi parti yang bertanding dan menang dalam pilihan raya. Demi memperlihatkan kepekaan parti-parti politik ini terhadap kehendak rakyat dan mengekalkan kuasa mereka, polisi-polisi kerajaan mula diubah seperti polisi berkaitan pentadbiran awam. Salah satunya ialah pendekatan feminisme. Faktor ini mendorong pindaan polisi pentadbiran awam agar ia tampak relevan dengan kehendak semasa. Selain itu, bilangan populasi wanita juga kian meningkat berbanding lelaki. Peningkatan bilangan ini harus selaras dengan nisbah antara bilangan wanita dan lelaki dengan nisbah bilangan wanita dalam pentadbiran awam dan lelaki dalam pentadbiran awam. Maka, jelas bahawa faktor peningkatan jumlah bilangan populasi wanita mendesak penyertaan wanita untuk berkongsi kuasa dengan lelaki dalam pentadbiran awam.

5.2 Pendekatan Feminisme dan Pentadbiran Awam Baharu
Perbincangan tentang Pentadbiran Awam Baharu ini dipetik daripada huraian esei Towards A New Public Administration oleh George Fredrickson (1971) berdasarkan penghuraian Ahmad Atory Hussain dalam Pentadbiran Awam: Asas Pemikiran dan Falsafah. Esei ini menerangkan apa yang dikatakan sebagai ‘Pentadbiran Awam Baharu’. Matlamat utama ‘Pentadbiran Awam Baharu’ ialah persamaan sosial atau social equity dalam struktur organisasi pentadbiran awam. Ia dijalankan secara beransur-ansur atau secara encrementalism untuk mencapai tuntutan keadilan sosial atau social justice. Kaedah-kaedah untuk mencapai matlamat ini ialah melalui pemencaran kuasa atau desentralisasi. Pemilikan kuasa dalam pentadbiran awam jika dilihat daripada aspek gender dimiliki kaum lelaki. Oleh itu, pendekatan feminisme merupakan satu idealisme yang menuntut agar kuasa ini dipencarkan dengan menambah bilangan wanita dalam pentadbiran awam. Selain itu, ia menuntut agar hierarki dalam pentadbiran awam diubah agar dapat membantu ke arah matlamat keadilan sosial. Maka, pendekatan feminisme ini merupakan salah satu persoalan yang harus diberikan perhatian untuk mencapai ‘Pentadbiran Awam Baharu’ yang mempunyai pemilikan kuasa yang terpencar antara lelaki dan wanita berbanding kuasa sebelumnya yang hanya terpusat kepada lelaki.

6.0 PEWAJARAN PENDEKATAN FEMINISME DALAM MENGUBAH DEFINISI PENTADBIRAN AWAM

Pewajaran harus diberi untuk membuktikan bahawa pendekatan feminisme telah mengubah definisi kuasa dalam pentadbiran awam. Perubahan budaya maskulin dalam struktur kuasa sektor ini terjadi apabila undang-undang, peluang penyertaan dan pendidikan dijalankan untuk membela nasib wanita dalam pentadbiran awam. Pewajaran ini akan dilakukan dengan mengemukakan bukti-bukti daripada keadaan dan peristiwa sebenar agar ia jelas dan terbukti benar.

6.1 Pembentukan Dasar-dasar
Salah satu kaedah untuk mengubah budaya maskulin dalam pentadbiran awam ialah dengan memperkenalkan dasar-dasar yang bersifat pembela kepada wanita. Dasar-dasar ini merupakan perundangan yang telah digubal kerana terdapatnya desakan-desakan masyarakat dan keperluan yang datang dari dalam organisasi pentadbiran awam itu sendiri. Negara Malaysia contohnya telah membentuk pelbagai dasar untuk mengangkat martabat kaum wanita melalui Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Dasar-dasar yang telah diperkenalkan ialah Dasar Wanita Negara, Dasar Wanita Negara 2009 dan Dasar 30% Wanita Peringkat Pembuat Keputusan. Dasar Wanita Negara bertujuan untuk menjamin kesaksamaan terhadap wanita, peluang penyertaan dan mengintegrasikan wanita dalam pelbagai sektor. Antara prinsip dan garis panduan utama bagi dasar ini ialah penghargaan terhadap potensi wanita ke dalam semua sektor. Prinsip ini bermakna bahawa keupayaan wanita dalam pentadbiran awam harus dihargai dengan melibatkan penyertaan mereka berbanding hanya kaum lelaki sahaja. Selain itu, peranan dasar ini juga adalah untuk menghapuskan diskriminasi dan perkara yang merugikan kaum wanita. Pentadbiran awam yang hanya melibatkan sejumlah kecil wanita sangat merugikan mereka. Maka, dasar ini diadakan untuk membela dan menaikkan tahap keupayaan wanita. Dasar terpenting untuk membuktikan kuasa oleh lelaki telah terpencar kepada wanita ialah Dasar 30% Wanita Peringkat Pembuat Keputusan. Dalam dasar ini kerajaan bersetuju untuk melibatkan 30 peratus wanita dalam peringkat pembuat keputusan dalam sektor awam. Selain itu, kerajaan Malaysia juga berharap agar ia menjadi ikutan sektor swasta dan bukan kerajaan. Jadi, pengenalan dasar-dasar ini telah mewajarkan bahawa sebenarnya kuasa dalam pentadbiran awam telah juga dimiliki wanita.

6.2 Galakan Penyertaan

Dalam perbincangan paradigma politik, penyertaan wanita ditekankan sebagai unsur utama untuk mengubah definisi kuasa. Galakan penyertaan kepada wanita telah menambah jumlah wanita dalam pekerjaan. Ternyata gerakan politik pro-feminis telah mempengaruhi Amerika Syarikat dalam menyediakan lebih banyak peluang kepada mereka. Peristiwa ini berlaku secara beransur-ansur ketika gelombang kedua gerakan feminisme di barat. Pada Disember 1961, Presiden Amerika, John F Kennedy telah menubuhkan Presidential Commission on The Status of Women. Idea penubuhan suruhanjaya ini adalah daripada Esther Peterson iaitu rakan kepada pengurus kempen pilihan raya Kennedy. Isu pindaan Equal Rights Amendment (ERA) yang dibawa oleh gerakan feminisme dalam kempen pilihan raya 1940 hingga 1960 bersama desakan-desakan telah memaksa Kennedy untuk menubuhkan suruhanjaya ini sehingga ia diluluskan beberapa tahun selepas itu. Berdasarkan laporan suruhanjaya ini pada Oktober 1963, beberapa saranan telah dikemukakan untuk memberi peluang penyertaan yang lebih kepada wanita iaitu khidmat penjagaan kanak-kanak, penghapusan sekatan undang-undang, kelebihan untuk wanita terlibat dalam politik dan kesamarataan peluang dalam bidang pekerjaan. Pada tahun 1964, Equal Employment Opportunity Commission (EEOC), sebuah lagi suruhanjaya yang diberi autonomi oleh kerajaan untuk meggubal undang-undang melalui Title VII of The Civil Rights Act of 1964. EEOC telah menggubal undang-undang bertujuan untuk menghapuskan diskriminasi gender dalam pengambilan kerja, gaji, program perintis dan syarat-syarat pekerjaan. Berdasarkan contoh-contoh di Amerika Syarikat ini, penubuhan suruhanjaya-suruhanjaya yang memiliki matlamat serupa untuk menggalakkan penyertaan wanita telah meningkatkan jumlah penyertaan mereka dalam pekerjaan seperti perkhidmatan awam seterusnya mengubah kelaziman pengambilan lelaki sebagai tenaga kerja terutamanya di peringkat pembuat keputusan yang memiliki kuasa di dalam struktur organisasi.

6.3 Pendidikan

Pendidikan kepada kaum wanita juga merupakan salah satu faktor peningkatan kesedaran kaum wanita mengenai hak-hak dan pembentukan minat mereka dalam penglibatan kerjaya. Penulisan Mary Wollstonecraft (1759 – 1797) mengenai kesamarataan wanita dalam hak-hak kepada pelajaran telah menerbitkan A Vindication of the Rights of Woman: With Structures on Political and Moral Subjects pada tahun 1972. Penulisan tersebut merupakan kritikan terhadap keadaan yang tidak menyumbang kea rah pendidikan terhadap golongan wanita. Beliau dianggap sebagai tokoh falsafah wanita yang merintis pergerakan pendekatan feminisme. Wollstonecraft berpendapat bahawa pendidikan ialah perkara terpenting yang menggerakkan perubahan terhadap wanita kerana melaluinya pelbagai perkara dapat mengubah keyakinan dan kesedaran dan meningkatkan kemampuan mereka. Peluang pendidikan yang tinggi dan sempurna akan dapat menaikkan kualiti diri seseorang wanita. Kebiasaannya, seseorang yang berpelajaran tinggi akan juga mempunyai cita-cita dan minat yang mendalam terhadap kerjaya. Maka, tuntutan pendekatan feminisme ini terhadap hak-hak wanita kepada pendidikan telah merintis kesedaran dan perjuangan mengenai hak-hak mereka terhadap pendidikan. Pendidikan ini seterusnya menjadi galakan kepada mereka untuk memajukan pula diri dalam kerjaya seperti keinginan untuk menyandang pangkat yang lebih tinggi dalam pekerjaan. Contohnya, terdapat beberapa tokoh wanita yang berjaya dalam bidang perkhidmatan mereka di Malaysia ini. Antaranya ialah Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz iaitu Gabenor Bank Negara Malaysia sejak bulan Mei 2000. Beliau merupakan wanita pertama yang menyandang jawatan tersebut di negara ini. Selain itu, dalam bidang pendidikan, Prof. Dato' Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin memegang jawatan Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Contoh-contoh ini membuktikan bahawa pendidikan mampu untuk menaikkan kaum wanita kepada satu tempat yang selama ini dipegang oleh lelaki. Pendidikan secara perlahan-lahan telah meningkatkan penyertaan mereka dalam pentadbiran awam dan mencabar budaya maskulin dalam sektor tersebut.

7.0 KESIMPULAN

Pemilikan kuasa dalam struktur organisasi pentadbiran awam sebelum ini dimiliki dan didominasi oleh lelaki. Keadaan ini dinamakan sebagai budaya maskulin kerana kebiasaan bagi sesebuah organisasi pentadbiran awam untuk meletakkan kaum lelaki sabagai teras dalam organisasi tersebut terutamanya pentadbir, pengurus dan staf-staf sokongan. Kewujudan pendekatan feminisme yang mempersoalkan layanan berat sebelah atau ketidaksamarataan terhadap kaum wanita seperti konsep persamaan sosial dalam pentadbiran awam dan keadilan sosial telah mencabar budaya maskulin atau pemusatan kuasa terhadap kaum lelaki. Definisi kuasa dalam pentadbiran awam sebelum ini yang menunjukkan penguasaan lelaki telah mula berubah secara beransur-ansur setelah pelbagai desakan dijalankan dalam pelbagai kaedah seperti gerakan politik di Amerika Syarikat dan negara barat lain. Perubahan ini berlaku seiring dengan perkembangan demokrasi atau liberalisasi dan sistem pendidikan yang lebih terbuka. Bilangan penyertaan wanita yang kecil sebelum ini telah bertambah dengan adanya bermacam-macam dasar seperti Dasar Wanita Negara dan Dasar 30% Wanita Peringkat Pembuat Keputusan yang menggalakkan lagi penyertaan wanita dalam pentadbiran awam di Malaysia. Galakan penyertaan juga telah menambah bilangan wanita seperti penggubalan undang-undang, Equal Rights Amendment (ERA) di Amerika Syarikat. Sesungguhnya, pengagihan atau desentralisasi kuasa dalam pentadbiran awam ini merupakan sesuatu yang baik kepada struktur pengagihan kuasa pentadbiran awam itu sendiri. Kata-kata Lord Acton, “absolute power tends to corrupt absolutely”, menunjukkan bahawa kuasa yang terpusat kepada satu gender dalam pentadbiran awam telah menyebabkan kuasa itu diseleweng sehingga wujudnya ketidakadilan kepada wanita dan mendorong mereka menyuarakan pandangan dalam gerakan feminisme. Selain itu, timbul persoalan sama ada perubahan ini menimbulkan krisis identiti terhadap pentadbiran awam itu sendiri. Bagi Frank Marini, perubahan ini bukanlah krisis identiti terhadap pentadbiran awam sebaliknya satu kepentingan dan penglibatan yang perlu kepada pentadbiran awam kerana penglibatan golongan wanita amat-amat penting dalam masyarakat yang kompleks ketika ini. Kesimpulannya, pendekatan feminisme yang telah mengubah defnisi kuasa dalam pentadbiran awam harus diterima kerana ia merupakan suatu perubahan yang perlu ke arah penglibatan seluruh peringkat masyarakat dalam hal ehwal yang melibatkan kepentingan awam atau kepentingan semua. Maka, wajarlah untuk pendekatan ini diterima sebagai budaya baharu dalam pentadbiran awam kerana matlamat pengagihan kuasa yang adil, persamaan sosial dalam struktur pentadbiran awam dan matlamat akhirnya iaitu keadilan sosial.

RUJUKAN
Ahmad Atory Hussain 1990. Pentadbiran Awam: Asas Pemikiran dan Falsafah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Deckard, B.S. 1975. The Women’s Movement. New York: Harper and Row Publisher.

Lynn, N.B. & Wildavsky A (pnyt.). 1990. Public Administration: The State of the Discipline. New Jersey: Chatam House Publishers, Inc.

Stetson, D.M. 2004. Women’s Rights in the USA Third Edition: Policy Debates and Gender Roles. New York: Routledge Taylor and Francis Group.

Absolute Astronomy. 2010. Dwight Waldo.
http://www.absoluteastronomy.com/topics/Dwight_Waldo [26 Mac 2010]

Haslanger, S & Tuana, N. 2003. Topics in Feminism. http://plato.stanford.edu/entries/feminism-topics/ [26 Mac 2010]

Smathers. Equal Rights Amendment.
http://www.floridamemory.com/floridahighlights/era/era.cfm [26 Mac 2010]

Tomaselli, S. 2008. Mary Wollstonecraft.
http://plato.stanford.edu/entries/wollstonecraft [26 Mac 2010]


Ulasan